Contoh Karangan – Pendermaan Organ

Kesedaran dalam kalangan masyarakat kita mengenai kepentingan menderma organ masih berada pada peringkat yang amat rendah. Walaupun penderma dibenarkan oleh kebanyakan agama termasuk Islam, tetapi masih ramai yang berasa ragu untuk berbuat demikian kerana belum ada ahli masyarakat di sekeliling mereka yang sudah berderma untuk dijadikan model. Malah, mereka tidak sanggup berderma bukan sahaja kepada ahli masyarakat yang lain tetapi juga kepada ahli keluarga sendiri disebabkan bimbang akan mendatangkan kemudaratan serta kecacatan pada jenazah dan dirinya. Selain itu, banyak persoalan yang berkaitan dengan etika dan hukum agama juga ditimbulkan berhubung dengan perkara ini. Antaranya, pembedahan pemindahan organ merupakan perbuatan menyeksa jenazah atau menyebabkan jenazah itu tidak dapat dikebumikan dalam keadaan yang sempurna.

Pada mereka, pemindahan dan pendermaan organ haram di sisi agama Islam. Walhal, hukum mengenai pemindahan organ ini telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang diadakan. Jadi, isu mengenai pemindahan organ ini tidak seharusnya berbangkit dan dibangkitkan oleh mana-mana pihak. Hal ini kerana pemindahan dan pendermaan organ diharuskan dalam Islam bagi membantu menyelamatkan manusia yang lain serta mengurangkan penderitaan yang dialami oleh seseorang insan berikutan penyakit yang dihidap. Pemindahan organ ini sebenarnya pernah dilakukan oleh pakar perubatan Islam pada masa silam. Yang diharamkan oleh Islam ialah perbuatan mencacatkan tubuh badan manusia untuk tujuan suka-suka ataupun untuk kecantikan diri.

Are you KOL or Blogger? Now Everyone can make money online with ACCESSTRADE!πŸ’°

Dalam konteks perubatan, pemindahan organ dibuat bukan bertujuan untuk mencacatkan anggota tubuh, jauh sekali untuk  mencabuli kehormatan jenazah, tetapi merupakan satu kaedah perawatan terhadap penyakit yang berbahaya. Orang ramai sedar bahawa pemindahan organ tidak dilakukan secara sembarangan, sebaliknya dilakukan setelah mendapat kebenaran daripada diri, waris, atau keluarga si mati, mengikut peruntukan undang-undang, tetapi masalahnya ialah masyarakat tiada keinginan membantu orang lain dengan mengorbankan sedikit keselesaan diri. Kita tidak dapat menafikan bahawa faktor budaya menjadi penghalang untuk masyarakat menderma organ. Sejak kecil lagi, kita dididik menderma wang ringgit, masa dan tenaga, tetapi kita tidak pernah diajar untuk menderma organ.

Bagi mereka yang berfikiran terbuka, memang ada keinginan untuk menderma organ, tetapi ada sahaja yang menghalang seperti ahli keluarga. Jikalau rakan yang menghalang tidak mengapa, tetapi jika bantahan daripada ibu, sudah tentu kita tidak sanggup ingkar. Dalam sesetengah kes, ada yang sudah sanggup untuk berderma, tetapi disebabkan rakan-rakan menakut-nakutkan dengan mengatakan tubuh tidak lagi mampu berfungsi seperti sedia kala menyebabkan keinginan itu terbantut. Proses mengharapkan orang ramai agar sanggup menderma organ mengambil masa yang lama. Setakat ini, kempen yang terlalu sedikit menyebabkan orang ramai tidak mendapat gambaran yang sebenar. Untuk tahun-tahun mendatang, diyakini akan lebih banyak orang yang mempunyai hati mulia seperti Wan Hafizah yang sanggup menderma sebahagian hatinya kepada seorang bayi yang tiada pertalian darah dengannya.

Leave a Comment