buku buku

CONTOH KARANGAN SPM – Punca Jerebu

Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas dan berkembang ini, masyarakat pada hari ini sering berhadapan dengan masalah jerebu yang makin meruncing.

Fenomena jerebu ini seolah-olah telah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana telah seringkali melanda negara kita. Pada tahun 2005, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan telah menyebabkan jerebu yang teruk di Semenanjung Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Kelang. Di samping itu, Kuala Selangor dan Pelabuhan Kelang telah diisytiharkan darurat kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua kawasan itu telah melebihi 500, iaitu tahap darurat. Pada tahun 2006, masalah jerebu turut berlaku sekali lagi. Masalah jerebu yang banyak mengundang kontroversi ini, sebenarnya disebabkan oleh beberapa punca, persis kata orang tua-tua, “jikalau tiada angin, masakan pokok bergoyang”.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada masalah jerebu ialah pembakaran hutan secara besar-besaran. Realitinya, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendirinya akibat suhu meningkat. Hal ini berlaku demikian kerana fenomena pemanasan global yang sedang berlaku di muka bumi ini. Di negara jiran kita, Indonesia pembakaran hutan sering berlaku kerana pihak Indonesia ingin membina infrastruktur yang baharu seperti bangunan, sekolah dan lebuh raya. Hal ini mengakibatkan pembakaran hutan secara berleluasa. Apabila angin bertiup dari Sumatera ke Malaysia, angin tersebut akan membawa jerebu bersama-sama ke negara kita. Natijahnya, udara kita semakin tercemar sementelahan pula Indeks Pencemaran Udara di negara kita melebihi paras berbahaya ibarat di hujung tanduk. Oleh itu, pembakaran hutan akan menyebabkan asap dan debu serta bahan yang telah separuh bakar berterbangan di atmosfera lalu berlakulah jerebu.

Pembakaran secara terbuka tanpa kawalan juga menyebabkan keadaan jerebu menjadi semakin serius. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap. Mereka terlalu malas untuk membawa sampah sarap mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah semula. Jadi, mereka telah mengambil jalan singkat dengan membakar sampah sarap mereka tanpa kisah jika asap daripada pembakaran terbuka itu yang sedikit demi sedikit membawa kepada masalah jerebu.

Saban tahun, jumlah kenderaan di jalan raya semakin meningkat seumpama cendawan tumbuh selepas hujan. Fenomena ini menyebabkan kuantiti gas pencemar seperti karbon monoksida dan sodium dioksida meningkat. Gas-gas yang dibebaskan pula tidak dapat dibebaskan ke atmosfera dan sebaliknya terperangkap dalam lapisan bumi. Kejadian gas-gas yang terperangkap ini bagai selimut yang menutupi bumi. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita.

Kegiatan industri yang tidak terkawal juga turut menjadi punca kepada masalah jerebu. Hal ini berlaku demikian kerana sesebuah negara banyak bergantung pada bidang perindustrian yang mengaut keuntungan yang lumayan demi kemajuan negara. Malah, kebanyakan pengusaha lebih bersikap seperti enau melepaskan pucuk masing-masing kerana tidak menitik beratkan aspek alam sekitar dengan melepaskan asap-asap kilang ke udara. Mereka tidak sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan alat penapisan asap untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asap-asap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh mengakibatkan udara menjadi berjerebu. Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Pelepasan asap kilang yang tidak terkawal dan tidak mengikut prosedur tertentu akan memburukkan keadaan jerebu di negara kita lagi.

Kesimpulannya, jerebu merupakan fenomena alam yang memberi kesan yang buruk kepada manusia. Fenomena jerebu yang disebabkan oleh proses alam semula jadi tidaklah menyebabkan jerebu yang buruk berbanding dengan jerebu yang disebabkan oleh aktiviti manusia. Kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini, sebaliknya langkah-langkah efektif perlu diambil sebelum kemelut tersebut berada di luar kawalan. Sekiranya masalah jerebu tidak mendapat perhatian ramai, nescaya generasi yang akan datang ketandusan nilai cinta akan alam sekitar. Oleh itu, semua orang haruslah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah berjerebu di Malaysia yang semakin serius supaya masyarakat sejagat dapat hidup dengan selamat. Tidak gunanya kita meratapi kehilangannya suatu ketika nanti jika langkah-langkah pencegahan tidak dimulakan dan dilakukan dari sekarang kerana pepatah Melayu ada berbunyi, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.

Leave a Comment