Bengkel Kecemerlangan Akademik

Contoh karangan UPSR – Bengkel Kecemerlangan Akademik

Satu program kecemerlangan akademik telah diadakan oleh pihak sekolah kamu dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG ) di sekolah. Kamu telah ditugaskan untuk menulis berita tentang program kecemerlangan akademik tersebut.

Rangka karangan Bengkel Kecemerlangan Akademik

Pendahuluan : tempat peristiwa dan tarikh – Program Kecemerlangan Akademik
Idea 1 : lokasi program kecemerlangan diadakan – jangka masa program – perasmi program
Idea 2 : objektif program kecemerlangan – teknik menjawab soalan – berdisiplin dan yakin diri
Idea 3 : pelbagai bentuk aktiviti – ceramah, bengkel, renungan – dikendalikan oleh Guru Pakar
Idea 4 : menurut seorang peserta – memperoleh banyak ilmu – yakin untuk menghadapi UPSR
Penutup : upacara penutup program – Yang Dipertua PIBG – cemerlang, disiplin, pekerti mulia


Contoh karangan Bengkel Kecemerlangan Akademik

ALOR SETAR, Sabtu – Sekolah Kebangsaan Taman Mergong Jaya dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG ) sekolah terbabit mengadakan Program Kecemerlangan Akademik yang bermula pada 20 April 2012 dan berakhir pada 21 April 2012. Program ini dihadiri oleh 85 orang murid. Program tersebut mendapat sambutan yang amat memuaskan daripada ibu bapa dan penjaga murid.

Program Kecemerlangan Akademik yang berlangsung di bangunan Menara Jaya di sini telah dirasmikan olej Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah. Tuan Haji Asmee bin Haji Tajuddin. Menurut Tuan Haji Asmee, objektif program ini untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang teknik belajar yang berkesan. Para peserta juga dibimbing tentang cara menjawab soalan UPSR yang betul dan pengurusan masa yang baik. Selain itu, program ini bertujuan untuk meningkatkan disiplin dan yakin diri dalam kalangan murid.

Program Kecemerlangan ini diisi dan disuntik dengan pelbagai bentuk serta teknik penyampaian ilmu yang berkesan. Antaranya termasuklah ceramah, bengkel, kembara akademik, dan sesi renungan. Seramai enam orang guru yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing telah mengendalikan program kecemerlangan akademik ini.

Menurut seorang peserta program, Dhia Irdina binti Ahmad Rafaei, dia berasa sungguh gembira kerana berpeluang untuk mengikuti program tersebut. Menurutnya lagi, setelah mengikuti program tersebut, dia memperoleh banyak tip pembelajaran. Di samping itu, dia juga lebih berkeyakinan untuk menghadapi peperiksaan UPSR yang akan datang.

Upacara perasmian penutup Program Kecemerlangan Akademik ini telah disempurnakan oleh Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Taman Mergong Jaya, Tuan Haji Arif bin Ahmad Saufi. Beliau mengharapkan program ini dapat melahirkan murid yang cemerlang, berdisiplin, dan bepekerti mulia.

Leave a Comment