Contoh Karangan Langkah-langkah mencegah wabak COVID-19

PENYAKIT paling kritikal diperkatakan di seluruh negara dan dunia ialah wabak COVID-19 yang mula dikesan di Wuhan, China sekitar pertengahan Disember tahun lalu. Penularan wabak COVID-19 secara global telah menjangkiti lebih 26.9 juta manusia dan mengakibatkan kehilangan lebih 880,000 nyawa setakat ini. Selain itu, penyebaran jangkitan koronavirus juga telah mengubah corak kehidupan manusia serta merencatkan pertumbuhan ekonomi dengan begitu drastik.

Langkah-langkah mencegah virus Corona

Kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020 untuk mencegah virus Corona. Seterusnya, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan digantikan dan akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020. Sempadan negara kita masih ditutup dengan keputusan tidak membenarkan warga asing masuk ke negara kita sebab setakat ini jangkitan Covid-19 di negara luar masih serius. Namun, dimanakah peranan dan tanggungjawab kita sebagai rakyat bagi membantu dalam membasmi penularan wabak COVID-19 ini?

Jaga jarak 1 meter

Elakkan 3S / 3C : iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).

Penjarakan fizikal (physical distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter. Elakkan bersalaman dan bersentuhan terutamanya orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya. Sekiranya memerlukan anda untuk keluar seperti membeli barang atau ke tempat kerja atas urusan yang tidak dapat dielakkan, pastikan anda menjaga jarak satu meter supaya tidak bersentuhan.

Lakukan Saringan, Dapatkan rawatan segera jika bergejala

Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan. Sila datang dan membuat saringan kesihatan secara percuma di pusat kesihatan tanpa perlu dicari. Bantulah kerajaan dengan tampil secara sukarela dan menjalani pemeriksaan saringan yang ditetapkan.

Are you KOL or Blogger? Now Everyone can make money online with ACCESSTRADE! 💰

Memakai topeng muka dengan betul

Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu terutamanya memakai topeng muka. Sekiranya anda tidak sihat seperti batuk atau selsema, pakailah topeng muka dan segeralah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital. Jangan menggunakan topeng muka yang sama berulang-ulang kali, sebaiknya keraplah menukar topeng muka dari masa ke semasa.

BERMULA 1 Ogos 2020, pemakaian pelitup muka atau topeng muka di pengangkutan awam dan tempat-tempat awam yang sesak adalah diwajibkan. Mereka yang didapati ingkar peraturan ini akan dikenakan tindakan tegas seperti kompaun dan dihadapkan ke mahkamah.

Kuarantin diri

Berkuatkuasa 24 Julai, kerajaan mewajibkan prosedur Kuarantin Wajib 14 hari kepada mana-mana warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara di Stesen Kuarantin yang ditetapkan oleh Kerajaan, sama ada di institut latihan awam atau hotel.

Akibat kegagalan mematuhi perintah, tiada lagi kuarantin di rumah dan antara impak utama situasi ini adalah penggunaan semula hotel sebelum ini ditutup sebagai stesen kuarantin.

Kekal berada di dalam rumah atau ‘Stay at Home’

Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung. Dengan kekal berada di rumah dapat menghindarkan diri kita daripada dijangkiti virus COVID-19. Inilah masa terbaik untuk meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga. Ibu bapa boleh menjadi kreatif dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama anak-anak seperti membersihkan rumah, bertukang, memasak, berkebun dan bersukan yang bersifat dalaman dan tidak perlu keluar.

Tingkatkan kebersihan diri dan kawasan rumah

Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh. Campurkan satu penutup peluntur dan sembilan penutup air sahaja dan mula disinfeksi tempat yang kerap disentuh seperti tombol pintu, suis lampu, telefon, alat kawalan, kepala paip dan pintu peti ais.

Sentiasa mengutamakan kebersihan diri seperti kerap mandi dan kerap mencuci tangan dengan betul menggunakan sabun atau menggunakan bahan pencuci tangan (hand sanitizer). Selain itu, disinfeksi kawasan rumah juga sangat digalakkan untuk membasmi virus.


Kesimpulannya, Kerajaan sudah memainkan peranan mereka untuk membasmi virus COVID-19 dengan seriusnya, maka marilah kita menyokong usaha kerajaan untuk memulihkan keadaan supaya boleh kembali kepada sedia kala. Diharapkan dalam tempoh ini, negara kita akan pulih dan wabak ini boleh dikawal.

1 thought on “Contoh Karangan Langkah-langkah mencegah wabak COVID-19”

Leave a Comment