Langkah-langkah Mengatasi vandalisme

Contoh Karangan Langkah-langkah Mengatasi vandalisme

Pengenalan jenis definisi:

Gejala vandalisme dalam kalngan remaja semakin menjadi-jadi di negara kita. Hal ini kerana, golongan remaja mudah terpengaruh dengan sesuatu gejala atau budaya yang tidak sihat terutamanya gejala vandalisme. Maksud vandalisme menurut kamus dewan ialah satu bentuk jenayah di sisi moral dan undang-undang negara. Sebarang perbuatan seperti menconteng, mengotori, atau merosakkan harta benda awam dianggap sebagai vandalisme. Vandalisme juga dikenali sebagai gejala laku musnah iaitu tabiat seseorang membinasakan harta benda awam dan juga harta benda orang lain. Perkataan vandalisme ini berasal daripada nama sebuah puak di Eropah yang dikenali sebagai Vandal.

Kebiasaannya, gejala vandalisme ini dianggap sebagai satu bentuk jenayah, tetapi pada keadaan tertentu vandalisme ini juga merupakan satu bentuk jenayah ritual yang dilakukan oleh golongan manusia yang tidak puas hati terhadap keadaan masyarakat. Motif kejadian vandalisme biasanya terletak pada aspek emosi. Vandalisme ini dianggap sebagai suatu cara untuk melepaskan geram atau pun cara untuk menghilangkan kebosanan semata-mata. Walaupun mereka dianggap ringan, tetapi masyarakat awam dan terutamanya kerajaan terpaksa menanggung kerugian yang besar akibat daripada vandalisme tersebut. Oleh sebab itu, setiap ahli masyarakat dan kerajaan perlu mengatasi masalah vandalisme yang banyak mendatangkan kerugian kepada negara. Persoalannya, bagaimanakah caranya untuk mengatasi masalah vandalisme dalam kalangan masyarakat terutama melibatkan golongan remaja di negara kita?

Pengenalan Jenis Situasi:

Perbuatan yang merosakkan segala benda awam merupakan vandalisme. Di Malaysia pelbagai kemudahan diberikan oleh kerajaan untuk keselesaan rakyat tetapi malangnya kebanyakan daripada kemudahan awam yang disediakan ini telah dirosakkan oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab Bayangkan sikap remaja yang tidak bertanggungjawab melakukan perkara sedemikian tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat yang memerlukan kemudahan awam berkenaan. Berita di muka akhbar dan berita televisyen sering melaporkan mangsa terkorban dalam kebakaran ataupun mati akibat kemalangan jalan raya kerana tidak sempat untuk mendapat rawatan susulan di hospital.

Salah satu faktor yang menyebabkan kejadian di atas berlaku adalah vandalisme. Telefon awam yang sudah dirosakkan menyebabkan kita tidak dapat membuat panggilan untuk mendapatkan bantuan perubatan, serta paip yang sudah dirosakkan menyebabkan bomba tidak boleh mendapat bekalan air untuk memadamkan api dan akhirnya membawa kepada berlakunya tragedi. Apa akan jadi, jika mangsa yang terlibat merupakan “darah daging” remaja yang melakukan vandalisme berkenaan? Oleh sebab itu, setiap ahli masyarakat dan kerajaan perlu mengatasi masalah vandalisme yang banyak mendatangkan kerugian kepada negara. Persoalannya, apakah langkah-langkah untuk membanteras masalah vandalisme dalam kalangan masyarakat?

🟡🟢🔴🔵🟣 Oily? Acne? Enlarge Pores? Switzerland Skincare Exclusive Trial Pack @ RM0.99 ONLY

Langkah-langkah Mengatasi vandalisme

Dalam konteks mengatasi masalah vandalisme , ibu bapalah ialah orang perlu memainkan peranan penting membanteras masalah sosial ini. Didikan agama dan nilai moral yang sempurna haruslah ditanam dalam jiwa anak-anak mereka semenjak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka supaya menghargai harta benda awam yang terdapat di kawasan tempat tinggal mereka mahupun di tempat lain. Selain itu, mereka harus memantau aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh anak-anak mereka dan mengetahui latar belakang rakan-rakan anak mereka. Sekiranya mereka mendapati anak-anak mereka terlibat dalam gejala vandalisme ini, tindakan sewajarnya harus dilakukan. Hal ini termasuklah dengan memberi amaran tegas kepada anak-anak mereka untuk mereka tidak mengulangi perbuatan sedemikian kerana boleh menyusahkan masyarakat. Tindakan ini memang sesuai dengan kata orang-orang tua, “Sayangkan anak, tangan-tangankan”. Seyogia, dengan tindakan sebegini masalah vandalisme tidak akan menjadi fobia sehingga merencat kehidupan masyarakat untuk menjalani kehidupan secara lebih kondusif. Tegasnya, ibu bapa merupakan orang yang paling penting membanteras gejala vandalisme dalam kalangan remaja.

Di samping itu, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh saja apabila gejala vandalisme ‘menjalar’ dengan berleluasa di kawasan perumahan dan mereka perlu prihatin terhadap masalah sosial berkenaan . Perbuatan seperti menconteng dinding bangunan, merosakkan telefon awam, merosakkan buaian di taman permainan danjuga merosakkan tong sampah awam wajar diambil perhatian. Pemimpin masyarakat di sesebuah kawasan taman atau kawasan perumahan perlu mengadakan mesyuarat dengan ibu bapa tentanggejala itu dan mengenakan tindakan seperti denda berupa bayaran kepada ibu bapa yang didapati anaknya terlibat dalam salah laku ini. Kesannya, ibu bapa akan menjadi lebih peka terhadap tindak-tanduk anak-anak mereka. Konsep “menjaga tepi kain” perlu ditanam dalam kalangan masyarakat agar masalah vandalism yang merugikan negara ini dapat dibanteras dengan sebaik-baiknya. Jelaslah, masyarakat perlu berperanan untuk mengatasi masalah sosial remaja ini. Sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlu dibuang dalam persepsi kehidupan masyarakat. Sekiranya masyarakat mempunyai kesedaran akan masalah vandalisme sudah pasti kehidupan masarakat akan sentiasa sejahtera dan kondusif. Sebaliknya masyarakat yang tidak ambil penduli masalah vandalisme terutama melibatkan anak-anak mereka sudah pasti masyarakat di kawasan perumahan akan sentiasa hidup dalam keadaan tidak harmoni. Tegasnya, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh saja apabila gejala vandalisme ‘menjalar’ dengan berleluasa di kawasan perumahan dan mereka perlu prihatin terhadap masalah sosial berkenaan.

Di samping itu, pihak sekolah patut melaksanakan peraturan sekolah secara lebih tegas terhadap pelajar yang melakukan vandalisme. Mereka harus mendenda pelajar yang melakukan vandalisme di dalam kawasan sekolah. Antara perbuatan vandalisme yang dikesan dilakukan oleh pelajar dan merugikan warga sekolah seperti memusnahkan kemudahan tandas dengan memasuk atau menyampakkan benda-benda yang tidak sepatutnya ke dalam lubang tandas, merosakkan telefon awam yang sangat penting untuk murid-murid berkomunikasi dengan ibu bapa, menconteng keceriaan mural, memusnahkan pasu-pasu bunga, dan pelbagai lagi masalah vandalisme. Pelajar yang terlibat dengan gejala vandalisme perlu dikenakan penalti atau denda yang berat tanpa amaran seperti hukuman gantung sekolah atau ditikar sekolah. Selain itu, tindakan pemantauan dan penguatkuasaan perlu dilakukan berterusan tidak dijalankan seperti hangat-hangat taik ayam. Tindakan ini dapat menginsafkan pelajar yang terlibat dan mampu menjadi pengajaran kepada pelajar-pelajar yang lain untuk tidak melakukan vandalisme. Pihak sekolah juga harus mengenepikan sikap pilih kasih semasa mengenakan tindakan terhadap pelajar yang terlibat dengan vandalisme. Langkah ini bukan sahaja mampu menangani masalah vandalisme, tetapi turut dapat mengurangkan masalah-masalah disiplin yang lain. Sekiranya pengurusan sekolah cakna akan gejala vandalisme dalam kalangan pelajar, sudah pasti harta benda awam yang ada di sekolah tidak akan musnah begitu sahaja kerana sudah terhantuk baru tergadah sudah tidak berguna lagi. Malah dengan keberadaan kemudahan awam berkenaan pelajar akan dapat belajar dengan lebih kondusif. Kesimpulannya, pihak sekolah patut melaksanakan peraturan sekolah secara lebih tegas terhadap pelajar yang terlibat dalam gejala vandalisme.

Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala vandalisme. Pihak kerajaan boleh menyebarkan idea tersebut melalui stesen televisyen dan radio tempatan untuk menangani gejala yang semakin ‘membarah’ di negara ini. Kerajaan juga perlu mengenakan bayaran kompaun yang setimpal dengan kesalahan kepada sesiapa yang didapati melakukan sebarang aktiviti yang melibatkan kerosakan harta benda awam. Individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan laku memusnahkan harta benda awam ini perlulah melakukan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat seperti menyapu sampah dan membersihkan tandas awam dan taman-taman permainan. Sekiranya perbuatan mereka melibatkan kemusnahan harta benda awam dan merugikan kerajaan dan masyarakat seperti merosakkan telefon awam, merosakkan kelestarian alam seperti memusnahkan kemudahan awam di kawasan taman permainan, mereka perlu diambil tindakan yang lebih keras dengan memenjara dan mengenakan kompaun setimpal dengan kesalahan mereka. Natijahnya, sudah pasti gejala kebejatan vandalisme akan dapat diatasi dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh pihak berwajib. Tegasnya, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala vandalisme sebelum penyakit sosial ini merebak menjadi barah.

Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat untuk bersama-sama memerangi gejala vandalisme ini. Walaupun isu ini dilihat tidaklah terlalu kronik, tetapi ingatlah bahawa vandalisme dapat memberi impak yang besar kepada negara dan juga kepada kehidupan masyarakat yang dahagakan hidup secara kondusif. Sekiranya semua kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan tidak boleh digunakan atau diconteng dan dimusnahkan, maka di manakah kita hendak meletakkan air muka kita. Imej negara yang bersih hanya akan tinggal kenangan sahaja. Ayuhlah kita bertindak segera untuk ‘memerangi’ gejala ini dan ingatlah , ‘jangan sudah terhantuk barulah terngadah’.

Leave a Reply

Your email address will not be published.