Skip to content

Karangan Tanggungjawab Anak Terhadap Ibu Bapa

Karangan tanggungjawab terhadap ibu bapa

Banyakwarga emas di negara kita hidup terpinggir dansecara bersendirian.Inilah fenomena menjelang abad milenium apabila induk semakin terpisah daripada generasinya. Keadaan ini sangat menyedihkan kerana rakyat Malaysia yang semakin kaya dengan budi bahasa dan sopan santun tetapi induk darah daging sendiri terbiar. Persoalannya, apakah tanggungjawab anak anak terhadap ibu bapa?

Rencana Tanggungjawab Anak-anak Terhadap Ibu Bapa

Memetik kata-kata daripada peribahasa Arab yang bermaksud , “Syurga itu dibawah telapak kaki ibu” membuktikan keredaan hidup seseorang anak adalah dengan reda ibunya. Maksud yang sama juga dapat dipetik daripada maksud Hadith Nabi SAW yang bermaksud, “Reda Allah hendaklah dengan reda daripada ibu bapa”. Oleh hal yang demikian, hasrat seseorang anak yang mahu memperoleh keredaan Tuhan sama ada di dunia mahupun di akhirat hendaklah terlebih dahulu memperoleh keredaan daripada ibu mereka. Namun demikian, situasi masa kini memaparkan keadaan di sebaliknya apabila ramai warga emas yang terbiar terlantar dengan jelas menunjukkan sikap lepas tangan dan tidak bertanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa mereka semakin menjadi-jadi. Inilah tempelakan seperti kacang melupakan kulit yang menunjukkan rasa tanggungjawab dan sikap membalas budi anak-anak terhadap ibu bapa yang sudah tua semakin memupus. Sewajarnya hal yang sedemikian tidak berlaku, malahan anak-anak dituntut melaksanakan tanggungjawab yang sebaik mungkin terhadap ibu dan bapa mereka.

Menjaga maruah diri dan maruah ibu bapa

Sebagai anak yang tahu harga diri, kita wajar menjaga maruah diri dan maruah ibu bapa. Jangankan ibu bapa sudah sampai pada usia warga emas, namun dalam setiap keadaan maruah mereka perlu dijaga. Sebaliknya pada hari ini terdapat begitu ramai anak-anak yang menjadi samseng jalanan, penagih dadah, dan gila seks sedang menular di tengah-tengah masyarakat. Anak-anak sewajarnya kembali ke pangkal jalan. Pilihlah jalan hidup yang diredai dengan berpegang kepada pedoman agama, adat budaya dan pantang larang. Akibat meminggirkan gaya hidup yang berteraskan nilai-nilai sejati insani akhirnya disiplin, akhlak dan budi bahasa tidak dipedulikan. Hancurlah hati ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan. Oleh itu, sebagai anak yang tahu akan nilai keinsanan tunjukkanlah sifat berbudi bahasa yang mudah disenangi mata yang memandang dan menjadi halwa telinga kepada ibu bapa kerana mengenal getah batang lihatlah kepada daunnya.

Berjaya dalam pelajaran dankerjaya

Selagi ada hayat mereka di dunia penuhilah hasrat mereka yang ingin melihat anak-anak berjaya di dunia dan memperoleh reda Allah di akhirat. Jalan yang terbaik ialah setiap anak hendaklah menyimpan azam untuk berjaya dalam pelajaran, halus budi pekertinya dan menyerlah dalam kerjayanya. Setelah meninggal dunia, ibu bapa sangat mengharapkan anak-anak seumpama ini yang mendoakan kesejahteraan mereka. Jadilah anak-anak yang baik sesuai dengan maksud Hadith Rasulullah, “Apabila mati seseorang anak Adam itu, justeru terputuslah segala amalnya di dunia ini melainkan tiga perkara. Ketiga-tiganya ialah sedekah yang dijariahi, ilmu bermanfaat yang disampaikan, dan anak-anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapanya.

Kasih sayang terhadap ahli keluarga

Kasih sayang boleh diibaratkan seperti tali yang sentiasa bersambung dan tidak pernah putus. Oleh itu, sebagai anak yang memiliki pekerti mulia, jangan sama sekali diputuskan silaturahim sesama adik beradik, kaum keluarga serta handai dan taulan yang telah dijalinkan oleh ibu bapa. Sama ada ibu bapa masih hidup atau sudah tiada, anak-anak amat dituntut untuk memperluas rangkaian silaturahim. Amalan tersebut bukan sahaja untuk memperkukuh jalinan keluarga malah dapat membentuk sebuah masyarakat yang damai dan harmonis. Sekiranya ada jemputan seperti ke majlis kenduri kendara, menjenguk kesakitan dan menziarahi kematian, eloklah anak-anak turut bersama-sama ibu bapa atau pun menjadi wakil kepada ibu bapa sekiranya mereka sudah uzur. Sesungguhnya, amalan seperti ini menepati falsafah hidup sandar- menyandar ibarat aur dengan tebing.

Menjaga ibu bapa apabila mereka berusia emas

Saat yang paling kritikal kepada ibu bapa apabila mereka sudah mencecah usia emas dan mula dirundung sakit atau uzur. Ramai anak-anak yang memberi alasan sibuk, keengganan ibu bapa tinggal bersama-sama, dan pelbagai lagi dengan seribu satu alasan. Semuanya bertujuan untuk mengalih perhatian agar dapat mengelak daripada menjaga ibu bapa. Pada kala ini tepat sangatlah dengan ungkapan di atas iaitu, “Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu”.

Sebaliknya sebagai anak yang tahu harga budi dan diri, inilah peluang terbaik untuk mereka membalas jasa ibu bapa. Bertepatan dengan nasihat Nabi SAW kepada seorang sahabatnya yang telah mengendung ibunya kerana bertawaf di sekeliling Kaabah, bahawa jikalau sahabat tersebut memberikan nyawanya sekalipun dia belum boleh menggantikan pengorbanan si ibu kepadanya. Walau seberapa ramai sekalipun adik beradik, seseorang itu hendaklah berasa dialah yang paling bertuah sekiranya berpeluang menjaga ibu bapa terutama sekali pada saat-saat nazak untuk menyahut panggilan Tuhan. Insya-Allah segala pengorbanan anak pada waktu itu akan diganjari Allah pahala yang amat besar dan segala dosanya terhadap kedua-dua ibu bapa akan diampunkan.

Penutup Karangan Tanggungjawab Anak

Demikianlah maksud ungkapan, kasih ibu sepanjang hayat, kasih bapa berkorban jiwa, dan kasih saudara sewaktu berada. Kasih sayang ibu bapa tiada tukar ganti walaupun nilainya segunung emas dan permata. Oleh itu, berbuatlah baiklah kepada ibu bapa selagi mereka masih hidup dan kirimilah doa setelah mereka pergi buat selama-lamanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *