Kandungan
Pengangkutan awam dapat mengurangkan masalah kemalangan jalan raya yang semakin serius di negara kita. Apakah langkah-langkah yang dapat menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam?
Karangan Cara menggalakkan Penggunaan Pengangkutan Awam
Pengangkutan awam memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas, pencemaran udara, dan pergantungan terhadap kenderaan persendirian. Kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di Malaysia boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi dan GrabCar, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Keretapi Tanah Melayu (KTM), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel. Namun, masih ramai yang lebih memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri berbanding perkhidmatan awam. Oleh itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik perlu diambil untuk menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam sebagai pilihan utama dalam kehidupan seharian.
Meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam
Salah satu langkah utama untuk menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam ialah meningkatkan kualiti dan kecekapan sistem pengangkutan awam. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kekurangan dalam kualiti perkhidmatan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang keyakinan terhadap pengangkutan awam. Kerajaan perlu memastikan bas, Transit Aliran Massa (MRT) dan transit aliran ringan (LRT) disediakan dengan kekerapan yang tinggi dan mengikut jadual yang tepat. Jadual yang tepat adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal.
Pihak yang berkenaan boleh mencontohi perkhidmatan kereta api di Jepun seperti shinkansen yang terkenal dengan ketepatan masa yang hampir sempurna, menjadikannya pilihan utama rakyat. Walaupun kata pepatah, “biar lambat asal selamat,” namun dalam konteks ini, ketepatan masa amat penting untuk menarik minat pengguna.
Mengurangkan Pergantungan terhadap Kenderaan Persendirian
Salah satu langkah penting untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam ialah dengan mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian. Kerajaan boleh melaksanakan dasar seperti menaikkan kadar bayaran parkir di kawasan bandar dan mengenakan tol kesesakan pada waktu puncak bagi mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya. Sebagai contoh, di Singapura, kos untuk memiliki kenderaan yang tinggi telah mengurangkan rakyat untuk memiliki kereta sendiri. Walaupun begitu, kerajaan perlu memastikan sistem pengangkutan awam yang lengkap supaya rakyat masih mempunyai pilihan yang selesa tanpa perlu memiliki kenderaan sendiri.
Harga tiket yang berpatutan
Selain itu, harga tiket pengangkutan awam perlu berpatutan untuk semua golongan masyarakat. Kerajaan boleh memberikan subsidi kepada golongan pelajar, warga emas, dan pekerja berpendapatan rendah supaya mereka lebih terdorong untuk menggunakan pengangkutan awam. Sebagai contoh, negara Singapura telah memperkenalkan sistem pembayaran tanpa tunai yang lebih mudah dan memberi diskaun kepada pengguna yang menaiki tren di luar waktu puncak. Di samping itu, pas perjalanan bulanan dengan harga yang lebih rendah boleh diperkenalkan untuk menggalakkan penggunaan secara berkala. Seperti peribahasa, “ukur baju di badan sendiri,” kos tambang haruslah sesuai dengan kemampuan rakyat agar lebih ramai yang dapat menikmati kemudahan ini.
Pendidikan sejak kecil
Seperti peribahasa Melayu “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Kempen kesedaran tentang kepentingan pengangkutan awam perlu dijalankan secara meluas. Sekolah dicadangkan supaya memberi pelajaran tentang kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam supaya dapat menanamkan konsep yang mendalam dalam minda pelajar. Media massa juga boleh memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat tentang manfaat menggunakan pengangkutan awam, seperti mengurangkan pencemaran udara dan menjimatkan kos sara hidup. Melalui pendidikan, kita dapat menghasilkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan utama mereka.
Sistem integrasi antara pengangkutan
Sistem integrasi antara pelbagai jenis pengangkutan juga perlu dipertingkatkan. Contohnya, jadual perjalanan bas dan kereta api perlu diselaraskan supaya penumpang tidak perlu menunggu lama apabila bertukar mod pengangkutan. Selain itu, kemudahan laluan bas yang menghubungkan stesen MRT dengan kawasan perumahan berdekatan perlu diperluaskan. Di Kuala Lumpur, banyak stesen MRT mempunyai perkhidmatan bas pengantara yang kerap dan efisien, membolehkan penduduk di kawasan sekitar menggunakan MRT dengan lebih mudah. Hal ini akan meningkatkan kecekapan keseluruhan sistem pengangkutan awam dan memudahkan penumpang. Integrasi yang baik akan menjadikan pengangkutan awam lebih menarik dan mudah diakses.
Penutup karangan pengangkutan awam
Kesimpulannya, pengangkutan awam banyak membawa manfaat seperti mengurangkan jarak perjalanan, menjimatkan masa, mempercepat operasi penghantaran barangan dan sebagainya. Pemodenan sistem perhubungan darat merupakan inovasi yang penting ke arah mewujudkan mobilisasi sumber tenaga manuasia pada tahap yang paling optimum. Oleh itu, pelbagai langkah boleh diambil untuk menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam. Kita juga harus menyokong usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.
Contoh Karangan: Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi
Bagus