Skip to content

🔥 Contoh Karangan SPM | Topik Penting Ujian Bertutur
⚡️ Senarai Nota KOMSAS | Peristiwa Menarik KOMSAS SPM

Contoh Karangan SPM: Faedah Melancong Dalam Negara

Karangan Faedah Melancong Dalam Negara

Apakah Faedah Melancong Dalam Negara?

“Melancong dalam negara lebih memberi manfaat berbanding melancong ke luar negara.” Berikan pendapat anda tentang pernyataan ini. Panjang karangan anda hendaklah antara 350 hingga 500 patah perkataan.

Faedah Melancong Dalam Negara

Dalam era kehidupan moden yang pantas ini, rakyat Malaysia sering menghadapi kesibukan kerja dan tekanan kehidupan seharian. Keindahan dan khazanah alam semula jadi negara kita yang tersembunyi di sebalik kepesatan pembangunan seolah-olah dilupakan. Namun, melancong dalam negara bukan sahaja menawarkan pengalaman berekreasi yang menyeronokkan, tetapi juga memberi pelbagai manfaat yang tidak ternilai kepada diri sendiri, keluarga dan ekonomi negara. Sesungguhnya, aktiviti pelancongan domestik merupakan pilihan bijak untuk rakyat Malaysia melepaskan diri daripada dugaan harian yang memenatkan.

Mengenali budaya dan warisan negara

Aktiviti melancong ke destinasi tempatan memberi peluang kepada kita untuk mengenali budaya dan warisan negara. Kepelbagaian suku kaum telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang memiliki keunikan dari segi budaya, kesenian, makanan, dan perayaan. Sebagai contoh, dengan melawat Kota Bharu di Kelantan, pelancong dapat menyaksikan permainan tradisional seperti gasing dan wau bulan. Manakala di Sarawak pula, kita dapat menyelami kehidupan suku kaum Iban dan menikmati muzik tradisional mereka seperti sape.

Menjana pertumbuhan ekonomi negara

Aktiviti melancong ke destinasi tempatan mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara kerana industri pelancongan tempatan telah membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat Malaysia. Contohnya, pembangunan Desaru Coast di Johor telah mewujudkan lebih 1,700 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan. Penduduk tempatan berpeluang mengisi kekosongan pekerjaan dan membuka perniagaan kecil-kecilan seperti gerai makan, gerai cenderamata dan khidmat sewa kenderaan.

Contoh Karangan: Usaha memperkenalkan produk pelancongan

Tidak melibatkan belanja yang besar

Melancong dalam negara tidak melibatkan belanja yang besar dan kos yang tinggi berbanding ke luar negara yang melibatkan kadar pertukaran mata wang asing. Kos penginapan, sewa kenderaan, dan perbelanjaan makan di destinasi tempatan lebih murah. Misalnya, percutian tiga hari ke Pulau Perhentian untuk sebuah keluarga hanya memerlukan perbelanjaan sekitar RM2,000 berbanding percutian ke Phuket yang boleh mencecah RM8,000. Aktiviti melancong di dalam negara juga dapat menyumbang pendapatan kepada penduduk tempatan.

Merapatkan hubungan kekeluargaan

Melancong ke destinasi tempatan mampu merapatkan hubungan kekeluargaan terutamanya bagi ibu bapa yang sibuk bekerja. Program seperti ‘Jom Balik Kampung’ telah berjaya menggalakkan rakyat Malaysia meneroka keindahan kampung halaman bersama keluarga. Anak-anak akan merasai keseronokan melakukan aktiviti seperti menyelam di Pulau Tioman, menaiki bot di Tasik Kenyir, dan bermain payung terjun di Pantai Cenang. Aktiviti ini bagai serampang dua mata kerana ibu bapa dapat membawa keluarga melancong sambil merapatkan hubungan.

Penutup Karangan

Sesungguhnya, banyak manfaat rakyat Malaysia melancong di dalam negara. Program ‘Cuti-Cuti Malaysia’ yang dijalankan oleh kerajaan juga telah membawa kesedaran tentang kepentingan menyokong industri pelancongan tempatan. Oleh itu, semua pihak sewajarnya mengunjungi destinasi pelancongan tempatan agar dapat memupuk rasa cinta akan negara serta bertanggungjawab untuk memastikan destinasi pelancongan tempatan tidak sekadar menjadi gajah putih yang akan terbiar lalu usang ditelan zaman.


Contoh Karangan: Cara Menggalakkan Industri Pelancongan

4.5 2 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

You cannot copy content of this page

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x