Skip to content

🔥 Contoh Karangan SPM | Topik Penting Ujian Bertutur
⚡️ Senarai Nota KOMSAS | Peristiwa Menarik KOMSAS SPM

Lisan Individu: Kebudayaan tradisional di Malaysia

Lisan Individu: Kebudayaan tradisional di Malaysia

Kebudayaan tradisional di Malaysia harus dipelihara oleh generasi muda melalui penglibatan aktif supaya warisan budaya tidak pupus ditelan zaman. Berikutnya contoh soalan dan cadangan jawapan bagi taksiran individu ujian bertutur.

Kebudayaan tradisional di Malaysia

Generasi muda mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan kelestarian kebudayaan tradisional agar tidak ditelan zaman. Salah satu cara untuk mencapai matlamat ini adalah dengan bergiat aktif dalam kelab kebudayaan tradisional serta menyertai pelbagai program kesenian yang mempromosikan warisan bangsa. Dalam hal ini, golongan remaja tidak seharusnya terlalu mengagungkan budaya Barat sehingga mengabaikan budaya sendiri yang kaya dengan nilai estetika dan sejarah.

Apabila remaja melibatkan diri dalam aktiviti permainan tradisional, mereka bukan sahaja dapat mempelajari cara bermain permainan tersebut, malah berpeluang memahami keunikan budaya kaum lain. Situasi ini secara tidak langsung mewujudkan semangat perpaduan dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum di negara ini. Selain itu, remaja juga harus mengamalkan kebudayaan tradisional dalam kehidupan harian, sama ada melalui pemakaian, pemakanan atau upacara kebudayaan, bagi membentuk jati diri yang kukuh.

Lebih penting lagi, remaja boleh menjadi contoh dalam keluarga dengan memperkenalkan kebudayaan tradisional kepada adik-beradik atau sepupu mereka. Kesannya, anggota keluarga yang lebih muda akan lebih tertarik untuk mendalami dan meneruskan warisan budaya ini, sekali gus memastikan kebudayaan tradisional terus berkembang dan tidak dilupakan oleh generasi masa depan.

Rujukan: Karangan Kepentingan Permainan Tradisional
Rujukan: Karangan Cara untuk menjaga warisan Batik Malaysia

Contoh Soalan Lisan dan Jawapan

1. Berikan jenis-jenis kebudayaan tradisional yang terdapat di Malaysia.

Antara kebudayaan tradisional yang terdapat di Malaysia termasuklah permainan tradisional, pemakaian, pemakanan, dan upacara kebudayaan.

2. Apakah tanggungjawab remaja untuk melestarikan kebudayaan tradisional?

Tanggungjawab remaja untuk melestarikan kebudayaan tradisional adalah dengan bergiat aktif dalam kelab kebudayaan tradisional, menyertai pelbagai program kesenian yang mempromosikan warisan bangsa, serta tidak mengagungkan budaya Barat sehingga mengabaikan budaya sendiri.

3. Pada pendapat anda, apakah usaha yang dapat dilakukan oleh ibu bapa untuk memperkenalkan dan meningkatkan minat anak-anak mereka terhadap kebudayaan tradisional?

Pada pendapat saya, ibu bapa boleh memperkenalkan dan meningkatkan minat anak-anak terhadap kebudayaan tradisional dengan mendidik mereka supaya berbangga dan menghargai warisan budaya. Mereka boleh membawa anak-anak menghadiri festival kebudayaan atau menceritakan asal-usul sesuatu budaya.

Ibu bapa juga boleh memperkenalkan dan mengajarkan permainan tradisional seperti congkak dan wau sebagai aktiviti riadah keluarga. Bersama-sama memasak makanan tradisional juga dapat memperkenalkan warisan bangsa kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa boleh mendaftarkan anak-anak ke kelas tarian tradisional, silat atau jahitan pakaian tradisional supaya mereka dapat mempelajari budaya secara langsung dan mendalam.

4. Kebanyakan remaja kini lebih tertarik kepada permainan berteknologi berbanding dengan permainan tradisional. Berikan ulasan anda.

Kebanyakan remaja kini lebih tertarik kepada permainan berteknologi berbanding dengan permainan tradisional.

Mereka sanggup menghabiskan masa selama berjam-jam di rumah untuk bermain permainan video atau melayari laman sosial sahaja. Mereka tidak gemar melakukan aktiviti di luar rumah seperti bermain permainan tradisional. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja menganggap permainan tradisional seperti sepak takraw, congkak, wau dan batu seremban ialah permainan yang membosankan, memenatkan dan ketinggalan zaman. Sebaliknya, permainan berteknologi tinggi lebih menyeronokkan kerana mempunyai cabaran tertentu, bervariasi dan tidak memerlukan banyak tenaga.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya dan media sosial telah menyebabkan remaja lebih cenderung memilih permainan berteknologi tinggi. Mereka terdedah kepada trend global yang mempromosikan permainan digital sebagai aktiviti utama dalam kalangan remaja. Tambahan pula, kekurangan pendedahan terhadap permainan tradisional menyebabkan mereka tidak berminat untuk mencuba. Kebanyakan sekolah dan institusi pendidikan juga kurang menekankan kepentingan permainan tradisional, menyebabkan remaja tidak mengenali nilai budaya yang terkandung di dalamnya.

Jika permainan tradisional diperkenalkan dalam bentuk yang lebih moden, seperti dalam aplikasi mudah alih atau pertandingan interaktif, remaja mungkin lebih tertarik untuk memainkannya.

5 1 vote
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

You cannot copy content of this page

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x