Kandungan
Remaja masa kini semakin terdedah kepada budaya hedonisme yang memberi kesan negatif kepada diri dan masyarakat. Bincangkan kesan budaya hedonisme terhadap remaja.
Kesan Budaya Hedonisme terhadap Remaja
Dalam era digital yang serba canggih ini, pengaruh budaya hedonisme semakin menular dalam kalangan remaja di Malaysia. Budaya ini berakar daripada gaya hidup yang mementingkan keseronokan, hiburan dan kepuasan diri semata-mata tanpa memikirkan akibat jangka panjang. Pendedahan berlebihan kepada media sosial, selebriti dan kandungan yang tidak seimbang turut menguatkan pengaruh ini dalam pemikiran golongan muda. Keadaan ini amat membimbangkan kerana remaja merupakan pelapis kepimpinan negara yang bakal mencorakkan masa depan negara. Sekiranya fenomena ini tidak ditangani dengan sewajarnya, kita akan kehilangan generasi muda yang seimbang dari segi rohani, emosi dan intelek. Oleh itu, marilah kita mengkaji dengan lebih teliti apakah kesan budaya hedonisme terhadap remaja agar masyarakat sedar akan bahayanya.
Menjejaskan Prestasi Akademik
Kecenderungan remaja terhadap hiburan berlebihan juga boleh menjejaskan pencapaian akademik mereka. Remaja yang terlalu asyik dengan permainan video, media sosial atau hiburan malam mudah mengabaikan pelajaran dan tanggungjawab sebagai pelajar. Sebagai contoh, ramai pelajar yang tertidur dalam kelas atau gagal menyiapkan kerja sekolah kerana berjaga malam menonton siaran langsung atau drama Korea. Ini menunjukkan kesan budaya hedonisme terhadap remaja bukan sahaja dari segi sikap tetapi juga akademik. Kesan jangka panjangnya, mereka gagal memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dan peluang untuk melanjutkan pelajaran atau mendapatkan pekerjaan menjadi tipis. Apabila pelajaran diabaikan, masa depan remaja menjadi kabur dan tidak terancang.
Contoh Karangan: Langkah Mengatasi Budaya Hedonisme
Merosakkan Akhlak dan Jati Diri
Remaja yang terlalu terpengaruh dengan budaya hedonisme berisiko tinggi untuk mengalami kemerosotan akhlak. Mereka cenderung mengabaikan nilai-nilai murni seperti kesopanan, tanggungjawab dan rasa hormat demi mengejar hiburan dan keseronokan hidup. Misalnya, sesetengah remaja sanggup berbohong kepada ibu bapa semata-mata untuk keluar berhibur bersama rakan-rakan hingga lewat malam. Peribahasa ada menyebut, jika asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau. Namun, tanpa bimbingan yang betul, benih itu mungkin hanyut tanpa arah. Kesan budaya hedonisme terhadap remaja dalam aspek akhlak ini amat membimbangkan kerana ia boleh menyebabkan pelbagai masalah sosial seperti gejala buli, ketagihan hiburan dan kekasaran dalam komunikasi harian.
Meningkatkan Tekanan Mental dan Emosi
Tekanan untuk sentiasa kelihatan ‘sempurna’ atau ‘trending’ boleh mengganggu kestabilan emosi remaja. Mereka sering membandingkan diri dengan rakan sebaya di media sosial dan merasa rendah diri sekiranya tidak mencapai standard yang sama. Misalnya, seorang pelajar mungkin merasa dirinya tidak berharga hanya kerana tidak memiliki iPhone terbaharu seperti rakan-rakannya. Fenomena ini boleh mencetuskan perasaan tertekan, kemurungan atau dalam kes yang lebih teruk, mencuba mencederakan diri sendiri. Peribahasa ukur baju di badan sendiri wajar dijadikan pegangan agar remaja tidak terlalu memaksa diri menjadi seperti orang lain hingga merosakkan emosi sendiri. Kesan budaya hedonisme terhadap remaja dalam aspek mental ini semakin kritikal dan memerlukan perhatian segera.
Menjejaskan Hubungan Keluarga
Budaya hedonisme juga boleh merenggangkan hubungan antara remaja dengan ahli keluarga. Remaja yang mementingkan hiburan selalunya lebih suka menghabiskan masa di luar rumah bersama rakan-rakan berbanding meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Sebagai contoh, remaja yang ketagih bermain permainan video atau keluar malam akan mengabaikan makan malam bersama keluarga atau aktiviti kekeluargaan. Hubungan yang renggang ini boleh menyebabkan kurangnya komunikasi dan sokongan emosi daripada ahli keluarga. Dalam jangka masa panjang, situasi ini boleh menjejaskan perkembangan sahsiah dan jati diri remaja tersebut. Kesan budaya hedonisme terhadap remaja bukan sahaja melibatkan individu itu sendiri, tetapi juga institusi keluarga secara keseluruhannya.
Masalah Kewangan dalam Kalangan Remaja
Budaya hedonisme turut mendorong remaja untuk berbelanja secara boros demi menyesuaikan diri dengan trend semasa. Ramai remaja berlumba-lumba memiliki telefon pintar terbaharu, pakaian berjenama atau melancong ke luar negara semata-mata untuk dikongsi di media sosial. Tamsilannya, pelajar yang masih belum mempunyai sumber pendapatan tetap sanggup membuat pinjaman atas nama ibu bapa demi memuaskan kehendak mereka. Simpulan bahasa yang sesuai digunakan ialah besar pasak daripada tiang, yang bermaksud perbelanjaan melebihi kemampuan. Kesan budaya hedonisme terhadap remaja dalam aspek kewangan ini amat berbahaya kerana ia mendorong mereka kepada gaya hidup yang tidak mampan dan akhirnya menyusahkan keluarga sendiri.
Penutup Karangan
Sebagai generasi harapan negara, remaja harus dididik agar bijak memilih gaya hidup yang seimbang dan bertanggungjawab. Budaya hedonisme yang tidak dikawal bukan sahaja menjejaskan individu, malah boleh menggugat keharmonian sosial secara keseluruhan. Walaupun dunia moden menawarkan pelbagai bentuk hiburan dan keseronokan, namun sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita perlu mendidik generasi muda untuk menilai dan memilih gaya hidup yang seimbang. Oleh itu, pihak keluarga, sekolah, kerajaan dan media perlu bekerjasama dalam memupuk kesedaran dan membina jati diri yang kukuh dalam kalangan anak muda. Dalam mengejar arus kemodenan, remaja harus ingat bahawa kebahagiaan sebenar bukan datang daripada keseronokan sementara, tetapi daripada kehidupan yang bermakna dan seimbang.