Skip to content

Contoh Karangan Amalan Kitar Semula

Karangan Amalan Kitar Semula

Amalan Kitar Semula sangat penting dan haruslah disemai dan dilaksanakan dalam masyarakat kita. Huraikan kebaikan amalan kitar semula.

Kebaikan Amalan Kitar Semula

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 telah menjadi penanda aras untuk mencapai kemakmuran dalam semua aspek khususnya ekonomi, sosial dan politik secara adil, saksama. Namun, masalah pembuangan sampah yang boleh dikitar semula masih lemah walaupun tahun 2020 telah berlalu pergi. Masyarakat masih di takuk lama kerana ksehingga hari ini masalah pencemaran alam dan pembuangan sampah masih berleluasa di negara kita. Oleh itu, kerajaan perlu menguar-uarkan kepentingan daripada amalan kitar semula ini agar masyarakat sedar akan keperluan mengamalkan pengurusan sampah yang baik. Persoalannya, apakah kebaikan daripada amalan kitar semula ini?

Mengurangkan pencemaran alam sekitar

Salah satu kelebihan yang signifikan dalam amalan kitar semula ialah pencemaran alam sekitar semakin berkurangan. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat mula sedar akan keperluan mengasingkan sampah domestik dengan sampah yang boleh dikitar semula. Mereka melakukan pengasingan sampah sebelum memasukkannya ke dalam tong sampah. Oleh itu, dengan pengurusan sampah yang bermula dari rumah, kita akan dapat menyelamatkan bumi dan alam sekitar daripada pencemaran. Tegasnya, fikir dulu sebelum buang merupakan slogan yang tepat dan sesuai untuk masyarakat.

Mengurangkan kos operasi pelupusan sampah

Dari sudut yang lain pula, amalan kitar semula akan dapat mengurangkan kos operasi pelupusan sampah kerana ada sesetengah sampah perlu mengambil masa yang lama dalam proses pelupusan. Sebagai contoh, plastik dan kaca perlu mengambil masa yang lama dalam proses penguraian. Keadaan ini menyebabkan timbunan sampah menjadi banyak lalu akan menjadi timbunan bukit sampah. Berdasarkan kajian, plastik dan kaca mengambil masa 500 tahun untuk dilupuskan. Malah proses pereputan yang terlalu lama ini akan membebaskan bau gas yang busuk lalu memberi kesan buruk kepada masyarakat. Oleh hal yang demikian, amalan kitar semula merupakan kaedah terbaik yang dapat menyelesaikan masalah timbunan bukit sampah yang semakin banyak.

Kemusnahan sumber alam dapat dielakkan

Tidak dinafikan bahawa dalam isu kitar semula, kemusnahan sumber alam dapat dielakkan merupakan kebaikan kitar semula yang patut menjadi keutamaan. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan sumber alam untuk menghasilkan kertas, tin dan plastik semakin sukar didapati dan harga bahan mentah tersebut juga semakin mahal. Malah, banyak pokok perlu ditebang untuk menghasilkan setan kertas. Keadaan ini menyebabkan kita menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat agar dapat mengurangkan penggunaan sumber alam demi memelihara dan memulihara khazanah hutan negara. Dengan cara ini, permintaan sumber alam berkurangan dan secara tidak langsung kegiatan tidak bermoral ini akan terhenti dengan sendirinya.

Menjadi sumber pendapatan

Dari sudut sosioekonomi pula, amalan kitar semula dapat menjadi sumber pendapatan utama. Bagi pemborong barang terpakai, aktiviti mengumpul barang kitar semula yang dikutip setiap hari oleh golongan miskin akan dapat menyumbang pendapatan harian kepada mereka. Malah, aktiviti mengutip tin dan botol yang bersepah di merata-rata tempat telah menyebabkan kawasan persekitaran menjadi bersih. Dengan aktiviti mengutip tin dan botol pasti akan dapat menyelesaikan masalah sampah sarap di kawasan pelancongan. Secara tidak langsung, tidaklah pelancong menganggap destinasi pelancongan di Malaysia hanya indah khabar daripada rupa.

Penutup Karangan Amalan Kitar Semula

Dalam mencari kesepakatan bicara, ketulusan jiwa, dan keikhlasan hati , semua pihak haruslah berlapang dada apabila menerima keputusan secara kolektif demi menyelamatkan alam sekitar daripada kemusnahan akibat keghairahan manusia meneroka alam sekitar agar dapat terus diwarisi oleh generasi kepimpinan negara pada masa akan datang. Oleh itu, usaha ini perlu digerakkan oleh semua pihak agar kita dapat mengecapi kesejahteraan hidup kerana rakyat yang sihat bergantung kepada persekitaran yang bersih dan indah.


Contoh Karangan: Kebaikan Teknologi Hijau
Contoh Karangan: Langkah Menggalakkan Kempen Kitar Semula

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *