Skip to content

Karangan Pendek – Manfaat Gotong Royong

peperiksaan spm

Semangat gotong-royong merupakan amalan yang telah tersemai dalam budaya bangsa Malaysia. Tulis karangan tentang manfaat gotong royong.

Contoh Karangan Sekolah Rendah (UPSR) – Manfaat Gotong Royong

Gotong-royong bermaksud melakukan sesuatu kerja bersama-sama. Amalan ini telah diamalkan sejak dahulu lagi dan menjadi budaya masyarakat kita. Semangat gotong-royong memberi banyak manfaat kepada masyarakat kita.

Dengan bergotong-royong, sesuatu kerja itu akan menjadi mudah dan dapat dilakukan dengan cepat. Sebagai contoh, kerja-kerja pembersihan kawasan sekitar sesuatu taman perumahan tidak harus diletakkan pada bahu sesetengah penduduk sahaja. Semua penduduk taman perumahan wajar bekerjasama untuk melakukan kerja itu, bak kata pepatah “yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing“.

Gotong-royong juga dapat menjimatkan perbelanjaan untuk melakukan sesuatu kerja. Hal ini demikian kerana semua orang menyumbangkan tenaga dan masa mereka untuk gotong-royong itu. Peralatan dan pengangkutan pula biasanya disediakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Seterusnya, gotong-royong dapat mewujudkan persefahaman dan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat. Gotong-royong biasanya disertai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum. Oleh itu, mereka dapat saling mengenali dan beramah mesra.

Kesimpulannya, aktiviti gotong-royong berfaedah kepada masyarakat kita. Amalan mulia ini harus digalakkan dalam kalangan generasi muda. Pihak berkenaan harus berganding bahu untuk menjadikan budaya gotong royong sebagai gaya hidup di masyarakat Malaysia.


Karangan Sekolah Rendah: Kepentingan kokurikulum

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *