Skip to content

Karangan Punca bangunan lama terbiar dan dimusnahkan

Karangan Punca bangunan lama terbiar

Bangunan lama mempunyai nilai budaya dan kesenian tersendiri dan dapat melambangkan identiti negara. Malangnya, banyak bangunan lama telah dibiarkan. Huraikan punca-punca bangunan lama terbiar dan dimusnahkan.

Punca-punca bangunan lama terbiar atau dimusnahkan

Bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur dan Bangunan Merah di Melaka sering menjadi destinasi kunjungan pelancong asing dan tempatan. Situasi ini membuktikan bahawa bangunan lama itu memang berpotensi untuk menjana sumber kewangan kepada negara ini jika diuruskan dengan berkesan. Masyarakat juga sudah mula matang dan menerima kepentingan kewujudan bangunan bersejarah sebegini. Namun, masih ada pihak yang suka memusnahkan warisan sejarah dengan pelbagai alasan yang menarik untuk difahami semua.

Lokasi bangunan lama dimajukan untuk projek yang menjana keuntungan

Salah satu punca yang mendorong bangunan bersejarah ini dimusnahkan ialah lokasi bangunan ini boleh dimajukan untuk sesuatu projek yang lebih menjana keuntungan seperti mendirikan projek perumahan atau membina pusat membeli-belah yang luas. Biasanya kawasan bangunan bersejarah ini menjadi kawasan perniagaan utama kerana peredaran masa menjadikannya begitu strategik untuk projek pembangunan pula. Pembinaan projek pembinaan moden mampu menjamin lebih banyak pulangan keuntungan dalam jangka masa pendek kepada mana-mana pemaju projek tersebut. Jadi, faktor kawasan yang strategik menjadikan bangunan bersejarah sasaran utama pemaju untuk membina projek mereka lalu mengaut keuntungan dengan mudah.

Kekurangan sumber kewangan dan tenaga pakar

Selain itu, faktor kekurangan sumber kewangan dan tenaga pakar untuk menyelenggarakan bangunan bersejarah juga menjadikan bangunan ini lebih sesuai dimusnahkan begitu sahaja. Kita semua sedia maklum pembinaan bangunan sebegini menggunakan bahan dan seni bina lama yang pastinya memerlukan penyelenggaran yang teliti dan professional sifatnya. Negara kita masih kekurangan pakar yang mampu memulihara semua bangunan lama ini ini selain kekurangan sumber kewangan daripada penderma-penderma hartawan untuk membiayai projek penyelenggaran sebegini mahal. Oleh itu, bangunan lama ini lebih sesuai dimusnahkan kerana kos menjaganya lebih tinggi daripada membina bangunan baru.

Kesedaran masyarakat terhadap bangunan lama

Bukan sahaja sumber kewangan yang tinggi dan lokasi yang strategik tetapi kesedaran masyarakat terhadap pentingnya bangunan bersejarah juga masih belum menebal dalam jiwa masyarakat kita. Kalau kita hendak bandingkan dengan masyarakat luar negara, tahap kesedaran menjaga bangunan lama di negara ini masih agak rendah lantaran negara kita baru sahaja mengecap alam kemerdekaan berbanding negara seperti Perancis dan Amerika Syarikat itu. Perasaan sebegini menyebabkan tahap penentangan terhadap kemusnahan bangunan lama begitu rendah sehingga ada bangunan lama dirobohkan tanpa masyarakat umum mengetahuinya. Jelaslah, kesedaran untuk menjaga bangunan lama masih lagi belum begitu tebal untuk menghalang bangunan ini terus menerus hilang dalam lipatan sejarah negara kita.

Kekurangan akta perundangan yang ketat

Malah, kekurangan akta perundangan yang ketat dan menyeluruh turut menjadikan kemusnahan bangunan lama di negara ini sesuatu yang lumrah sahaja. Pihak pemaju sudah mengetahui semua kelemahan dalam sistem perundangan yang berkaitan dengan bangunan lama lalu mengambil kesempatan daripada kelemahan itu untuk memberi sedikit kelebihan kepada mereka pula. Tindakan mereka ini menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk menahan mereka walaupun menyedari bahawa bangunan lama itu penting dan harus dikekalkan kewujudannya lantaran kelemahan sistem perundangan tersebut. Maka, kelemahan dalam sistem perundangan telah menjadikan masalah ini semakin menjadi-jadi sejak belakangan ini.

Penutup Karangan Punca bangunan lama terbiar

Konklusinya, semua punca yang dinyatakan itu telah menjadikan negara ini kehilangan bangunan bersejarah saban tahun. Kerjasama semua terutama pihak berkuasa untuk menghalang tindakan negatit ini amat penting. Kita tidak mahu generasi masa depan hanya mengenali sesuatu bangunan lama itu berdasarkan sekeping gambar sahaja tanpa melihat bukti yang sahih. Sejarah memaparkan budaya masyarakat lalu tanpa bangunan sebegini wujud tiadalah budaya sesuatu bangsa tersebut.


Contoh Karangan: Kepentingan bangunan bersejarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *