Skip to content

Surat Kiriman Rasmi – Bantahan Terhadap Projek Perumahan

Surat Kiriman Rasmi - Bantahan Terhadap Projek Perumahan

Sebuah syarikat pemaju perumahan bercadang untuk menjalankan projek perumahan di sebuah kawasan bukit yang terletak berhampiran dengan rumah anda. Sebagai setiausaha jawatankuasa penduduk, anda ingin menghantar surat bantahan kepada pihak yang terbabit.

Tulis surat tersebut selengkapnya.

Bantahan Terhadap Projek Perumahan

Contoh Jawapan Surat Kiriman Rasmi:

Setiausaha Kehormat,
Jawantankuasa Penduduk Taman Bukit Mewah,
Persiaran Mewah,
46000 Petaling Jaya.
Selangor Darul Ehsan.


Pengurus Besar,
Syarikat Perumahan Bumi Holding,
Jalan Persekutuan,
25200,
Kuala Lumpur.





12 FEBRUARI 2023

Tuan,
Bantahan Terhadap Projek Perumahan Bukit Mewah Fasa II

Merujuk perkara di atas, saya mewakili Jawatankuasa Penduduk Taman Bukit Mewah ingin menyatakan bantahan kami terhadap projek perumahan Bukit Mewah Fasa II yang sedang dilaksanakan oleh pihak tuan berdasarkan papan iklan projek yang bernombor siri PP/DBKL92-08/34. Bantahan ini dibuat berdasarkan usul bantahan yang dicadangkan oleh ahli jawatankuasa penduduk dalam mesyuarat yang telah diadakan pada 5 Februari 2023. Usul tersebut telah disokong secara sebulat suara oleh semua ahli jawatankuasa yang hadir. Berikut kami nyatakan sebab-sebab bantahan tersebut.

2. Pertamanya, kebanyakan penduduk berasa kecewa dan terkilan kerana pihak pemaju tidak pernah memaklumkan projek terebut kepada para penduduk. Seperti yang pihak tuan tahu, kami merupakan pembeli rumah di Taman Bukit Mewah, iaitu projek syarikat pemaju perumahan yang sama, enam tahun yang lalu. Semasa kami membeli rumah tersebut, pihak tuan tidak pernah memaklumkan kepada kami tentang projek perumahan fasa II yang akan melibatkan penarahan kawasan bukit berdekatan. Malahan, dalam iklan projek perumahan tersebut, pihak pemaju telah menggunakan bukit itu sebagai daya tarikan dengan mengaitkan kawasan perumahan tersebut dengan alam yang lestari. Sebagai pembeli, kami semua terpengaruh dengan iklan yang memaparkan kelestarian alam yang dijamin pengekalannya di kawasan tersebut. Semua penduduk yang membeli rumah di kawasan tersebut mengimpikan kawasan perumahan yang bebas daripada pencemaran dan dapat menghirup udara yang segar. Namun, selepas enam tahun keadaan tersebut berubah. Kami dimaklumkan bahawa bukit di kawasan tersebut pula hendak ditarah demi keuntungan syarikat sahaja. Sudah pasti, sebagai pembeli, kami berasakan bahawa pihak syarikat telah mempermain-mainkan pembeli,

3. Seterusnya, kami juga kecewa kerana bukit tersebut merupakan kawasan tadahan hujan walaupun saiznya yang sederhana. Untuk pengetahuan pihak tuan, masih terdapat anak-anak sungai yang mengalir. Hal ini menandakan bukit tersebut masih merupakan sumber mata air yang tidak kurang pentingnya. Oleh hal yang demikian, jika syarikat pemaju meneruskan projek perumahan terebut, dikhuatiri keadaan ini akan menyebabkan kami kehilangan kawasan tadahan hujan. Jika pokok-pokok ditebang, struktur tanah akan menjadi longgar dan tanah secara beransur-ansur boleh menggelongsor ke bawah. Situasi ini juga akan menyebabkan berlakunya hakisan tanah dan tanah runtuh. Sekiranya perkara ini berlaku sudah tentulah kami yang akan menanggung akibatnya. Beberapa buah rumah di tepi bukit pasti menjadi mangsa paling terancam kerana berisiko untuk tertimbus jika hakisan tanah berlaku.

4. Di samping itu juga, kami berasa bimbang jika keadaan ini akan menyebabkan banjir kilat atau banjir lumpur. Seperti yang sering dipaparkan oleh media massa, kebanyakan tempat yang mengalami banjir kilat dan banjir lumpur biasanya dikaitkan dengan penarahan hutan di kawasan tanah tinggi. Oleh itu, lebih baik mencegah sebelum parah. Dalam keadaan ini, sebagai jawatankuasa penduduk kami ingin mencegah kejadian seperti banjir kilat dan banjir lumpur daripada berlaku di kawasan kami pada masa akan datang. Kami tidak mahu kejadian banjir lumpur yang berlaku di Pos Dipang, Perak yang menyebabkan banyak kematian akan berlaku pula di tempat kami. Menurut maklumat yang kami peroleh, pihak tuan masih belum lagi mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar, tetapi pihak tuan sudah mula memasang papan iklan berkenaan projek tersebut. Oleh itu, kami membantah projek yang masih belum mendapat kelulusan pihak yang berkuasa.

5. Selain itu juga, penduduk di kawasan Taman Bukit Mewah telah menggunakan sebahagian daripada kawasan bukit tersebut sebagai kawasan riadah atau rekreasi. Hal ini bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang cergas. Pada setiap pagi dan petang terutama pada hari minggu, penduduk dan ahli keluarga masing-masing, sering beriadah di kawasan bukit tersebut seperti berjoging, barjalan kaki dan lain-lain smabil menyedut udara yang segar dan bersih. Malah, pihak kami telah menubuhkan Kelab Cintai Bukit Mewah yang mengumpulkan ahlinya daripada golongan muda. Melalui kelab ini, kami telah menghantar surat kepada Majlis Daerah untuk menaiktarafkan sebahagian daripada kawasan bukit itu kepada kawasan rekreasi, khusunya kepada penduduk setempat dan kawasan sekitarnya, Oleh itu, jika projek pihak tuan diteruskan, hal ini sudah tentu akan mengecewakan para penduduk, khususnya golongan muda yang mula mencintai alam sekitar di kawasan tersebut.

6. Akhir sekali, harapan kami agar pihak tuan dapat membatalkan projek perumahan tersebut demi kemaslahatan penduduk dan alam sekitar. Di sini, kami ingin menegaskan bahawa kami bukan antipembangunan, tetapi kami hanya ingin memastikan khazanah alam sekitar terus terpelihara. Kita perlu sedar bahawa alam ini tidak kita warisi daripada generasi terdahulu sebaliknya, alam ini hanya dipinjamkan kepada kita untuk kita serahkan kembali kepada generasi akan datang dalam keadaan yang baik dan selamat. Kami ingin menegaskan bahawa kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas jika pihak tuan tetap ingin meneruskan projek perumahan ini.

7. Kami berharap pihak tuan sedia memberikan kerjasama dan mengadakan perundingan dengan wakil penduduk agar masalah ini dapat diselesaikan secara perundingan sebelum nasi menjadi bubur. Kerjasama pihak tuan amat kami harapkan dan kami dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Ahmad Samad
(AHMAD SAMAD)
Setiausaha Jawatankuasa Penduduk,
Taman Bukit Mewah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *