Skip to content

Contoh Karangan: Cara-cara memupuk perpaduan di Malaysia

Contoh Karangan

Perpaduan amat diperlukan di negara ini terutama ketika pelbagai cabaran mendatang. Huraikan cara-cara untuk memupuk perpaduan di negara kita.

Cara-cara memupuk perpaduan di Malaysia

Perpaduan merujuk satu suasana atau ikatan yang mesra antara rakyat sesebuah negara itu. Antara impak yang timbul akibat ketiadaan perpaduan ialah peperangan, sikap saling bergaduh dan juga ketiadaan pertumbuhan ekonomi yang stabil di sesebuah negara itu. Tulisan mengenai kepentingan perpaduan telah banyak kali diketengahkan oleh pihak media massa di negara ini lalu membuktikan betapa seriusnya konsep ini kepada masyarakat kita. Jadi, kaedah-kaedah untuk mencapai perpaduan di negara ini harus diketahui dengan mendalam pula.

Perkahwinan campur

Tindakan yang paling efektif untuk memupuk perpaduan di negara ini ialah perkahwinan campur diberikan satu lonjakan atau galakan baru. Maknanya perkahwinan campur menjadi satu lumrah dalam masyarakat kita kerana cara ini merupakan kaedah paling mudah tetapi praktikal untuk dilaksanakan oleh masyarakat. Impaknya ialah satu generasi muda yang lebih bertoleransi terhadap perbezaan kebudayaan dapat dihasilkan kerana sudah melihat perbezaan budaya kedua-dua ibu bapa mereka itu. Jadi, perpaduan di negara ini mampu dicapai dengan mudah jika konsep perkahwinan campur itu dilihat sebagai sesuatu yang positif dan murni pula.

Konsep rumah terbuka

Pada masa yang sama, konsep rumah terbuka harus diluaskan di negara ini kerana setiap kaum mempunyai perayaan yang tersendiri pula. Rumah terbuka ketika musim perayaan membolehkan sesiapa sahaja melawat rumah jiran mereka lalu mewujudkan satu persefahaman tentang kehidupan mereka itu tanpa disedari pula. Lama-kelamaan lawatan sebegini memberikan satu pandangan yang positif tentang jiran tetangga yang kemudiannya turut mengukuhkan lagi semangat perpaduan yang wujud dalam jiwa masyarakat mereka itu. Maka, perpaduan masyarakat berbilang kaum boleh dicapai melalui perluasan konsep rumah terbuka di negara ini.

Sikap saling hormat

Bukan sahaja perkahwinan campur diberi galakan dan konsep rumah terbuka diluaskan tetapi sikap saling menghormati antara satu sama lain harus ditekankan juga. Sikap saling hormat ini menyebabkan setiap lapisan masyarakat tidak akan berani untuk mengeluarkan sebarang ungkapan atau istilah yang boleh menyinggung perasaan kaum yang lain pula. Ketertinggian pandangan terhadap perasaan individu daripada kaum lain menyebabkan rasa perpaduan itu begitu menebal dalam jiwa setiap insan di negara ini. Justeru, perpaduan akan terus menjadi sesuatu yang dihargai di negara ini jika sikap saling menghormati itu wujud dalam jiwa penduduk negara.

Peranan sekolah

Malahan, satu program berunsur perpaduan boleh dianjurkan di peringkat sekolah terutama dalam kalangan remaja untuk memastikan generasi muda turut memiliki perasaan perpaduan ini. Program ini boleh menekankan pelbagai aktiviti yang melibatkan pembabitan semua pelajar daripada pelbagai kaum untuk mewujudkan satu interaksi pula. Jiwa remaja yang masih mudah sudah pasti akan mudah untuk ditanam dengan unsur perpaduan ini kerana mereka masih belum memiliki sebarang perasaan negatif terhadap kaum yang lain pula. Maka, penganjuran program yang bersesuaian dalam kalangan remaja menjadi satu mekanisme yang baik untuk memupuk perpaduan ini.

Peranan media massa

Tambahan pula, pihak media massa terutama stesen penyiaran tempatan terutama swasta boleh menyiarkan pelbagai program yang berunsur perpaduan. Rancangan hiburan, drama dan dokumentari perlulah menekankan unsur perpaduan seperti mengambil semua pelakon tanpa mengira kaum atau menyiarkan sejarah kaum yang wujud di Malaysia. Program melalui media massa ini sudah pasti akan tertanam secara perlahan-lahan dalam jiwa masyarakat terutama jika unsur hiburan turut diselitkan dalam setiap program tersebut. Sesungguhnya, perpaduan akan tercapai dengan lebih mudah melalui penyiaran pelbagai program berunsur perpaduan di media massa kita.

Penutup Karangan Perpaduan

Konklusinya, semua kaedah untuk mencapai perpaduan tadi memang mampu untuk dilaksanakan lalu mencapai matlamatnya. Semua pihak perlulah memberikan kerjasama yang baik terutama masyarakat demi perpaduan sejati itu. Ketiadaan kerjasama yang padu boleh membawa kemusnahan kepada negara ini pada masa yang mendatang terutama jika isu-isu sensitif terus digunakan oleh pihak-pihak terbabit pula. Peribahasa “bersatu teguh bercerai roboh” membuktikan perpaduan itu amat penting buat mana-mana negara di dunia ini kerana tanpanya negara itu pasti akan mudah dijajah oleh kuasa-kuasa asing pula.

1 thought on “Contoh Karangan: Cara-cara memupuk perpaduan di Malaysia”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *