Skip to content

Karangan Cara mengatasi Kemalangan jalan raya

Kemalangan jalan raya

Kemalangan jalan raya menyebabkan ahli keluarga kehilangan anggota yang tersayang. Tulis satu karangan tentang cara yang perlu diambil untuk mengatasi masalah ini.

Cara mengatasi Kemalangan jalan raya

“Pemandu tertidur mengakibatkan lorinya melanggar sebuah kereta.”
“Pembonceng motosikal meninggal dunia akibat kecuaian penunggang.”
“Pelanggar peraturan jalan raya mesti dikenakan hukuman yang lebih berat.”

Sejak akhir-akhir ini, tajuk-tajuk berita seperti di atas sering dipaparkan dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Fenomena ini kian kritikal dan menggusarkan fikiran masyarakat. Peratus kes kemalangan ini terus meningkat dari setahun ke setahun, terutamanya pada musim perayaan. Senario yang menggemparkan ini tidak boleh dibiar berterusan dan mesti ditangani dengan secepat mungkin. Apakah usaha-usaha yang patut diimplementasikan bagi menyelesaikan masalah yang merunsingkan dan mengacau-bilaukan minda masyarakat ini?

Hukuman berat

Pada pendapat saya, kerajaan memainkan peranan penting dalam usaha penyelesaian ini. Kerajaan mesti menguatkuasakan undang-undang. Hukuman berat mesti dikenakan terhadap sesiapa yang berani melanggar peraturan di jalan raya. Bak kata peribahasa, “setinggi-tinggi terbangnya bangau, akhirnya pasti jatuh ke tanah”. Tamsilnya, saya mencadangkan agar pesalah laku trafik haruslah didenda sekurang-kurangnya RM1,000 atau dipenjarakan selama enam bulan. Dengan ini, pengguna jalan raya tidak akan berani memperlekeh amaran kerajaan lagi.

memperketat tahap kelulusan ujian

Selain itu, kerajaan mesti memperketat tahap kelulusan ujian yang dijalankan untuk menguji pemandu kenderaan. Oleh sebab itu, usaha kerajaan mestilah berlandaskan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Lesen-lesen tidak harus diberikan kepada para pemandu dengan mudah. Rentetan itu, kerajaan mesti sentiasa membiayai ongkos untuk mengadakan pelbagai kempen kesedaran. Kempen-kempen ini haruslah diadakan dengan objektif menyedarkan para pengguna jalan raya tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya. Inisiatif ini mampu membantu meminimumkan kemalangan di jalan raya yang terus berlaku.

polis trafik menjalankan tugas dengan dedikasi

Seterusnya, polis trafik mestlah menjalankan tugas dengan dedikasi. Mereka mesti menjalankan tugas masing-masing dan memberkas golongan yang melanggar undang-undang di jalan raya. Saman mesti sentiasa dikeluarkan untuk memberi amaran kepada si pelanggar peraturan jalan raya. Kelengkapan polis trafik mestilah sempurna. Di samping itu, polis trafik yang amanah amat diperlukan. Mereka tidak harus menerima rasuah sebaliknya mesti bersikap adil dan saksama. Sikap berdiri di atas pagar mestilah dipraktikkan oleh anggota polis trafik. Implikasinya, polis-polis trafik juga turut memainkan peranan yang agak penting.

Masyarakat membuat laporan

Lain daripada itu, segenap lapisan masyarakat mesti melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Jika didapati ada pengguna jalan raya telah melanggar undang-undang seperti mengadakan perlumbaan haram dan sebagainya, kita mesti segera membuat laporan kepada pihak berkuasa. Dengan bekerjasama bagai aur dengan tebing antara polis dan masyarakat, kemalangan dapat dikurangkan.

SikapPengguna jalan raya

Kata orang tua-tua, “malang tidak berbau”. Pengguna jalan raya sendiri mesti memahami maksud bidalan ini. Pengguna jalan raya mesti sentiasa memerhatikan papan-papan tanda di tepi jalan. Papan tanda yang disediakan oleh kerajaan bertujuan memastikan keselamatan para pengguna di jalan raya. Keselamatan para pengguna jalan raya pasti dapat dijamin jika arahan telah dipatuhi. Akhir sekali, pemandu kenderaan mesti sentiasa memusatkan perhatian semasa memandu. Mereka tidak harus memandu sambil membuat perkara lain seperti menggunakan telefon, bergosip dengan orang lain dan sebagainya.

Penutup Karangan Kemalangan jalan raya

Kesimpulannya, kemalangan yang di jalan raya berlaku tidak diimpikan oleh setiap orang. Bak kata pepatah, “pandu cermat jiwa selamat”. Pengguna-pengguna jalan raya mestilah mengimplementasikan kewajipan masing-masing. Dengan ini, barulah keselamatan setiap pengguna dapat dijamin. Usaha-usaha kolektif yang telah saya cadangkan mestilah dilaksanakan dengan segera. Ingat, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih!”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *