Skip to content

Contoh Karangan SPM: Cara Mengawal Pemakanan Anak

Karangan Cara Mengawal Pemakanan Anak

Makanan yang seimbang merupakan perkara yang penting terhadap masyarakat. Apakah cara yang perlu dilaksanakan untuk mengawal pemakanan anak-anak?

Cara untuk Mengawal Pemakanan Anak-Anak

Lambakan makanan ringan yang dikenali sebagai jajan atau kudapan dalam pasaran telah menimbulkan pelbagai masalah dari segi kesihatan kepada masyarakat Malaysia. Masalah ini masih belum dapat diselesaikan selagi ada permintaan dalam pasaran yang menggalakkan penjualan makanan ringan. Oleh itu, semua pihak haruslah mengambil inisiatif untuk membendung masalah ini agar tidak menjadi lebih parah. Persoalannya, apakah peranan yang wajar dilakukan oleh pelbagai pihak dalam mengawal pemakanan anak-anak?

Ibu bapa menjaga pemakanan anak

Peranan utama yang signifikan dalam isu ini ialah ibu bapa. Mereka bertanggungjawab untuk memastikan pemakanan anak-anak mengikut piramid makanan. Mereka hendaklah mengelakkan pemberian makanan ringan kepada anak-anak. Tindakan ini bertujuan untuk memastikan anak-anak mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat. Jika tidak, anak- anak akan lebih meminati makanan ringan berbanding makanan utama malah tindakan anak- anak ini akan menyebabkan mereka tidak mengambil makanan yang diperlukan oleh tubuh badan mereka. Oleh itu, ibu bapa mestilah bersikap tegas kepada anak-anak agar mereka tidak menghadapi masalah pada kemudian hari.

Pihak sekolah bersikap tegas dengan pengusaha kantin

Selain ibu bapa, pihak sekolah turut memainkan peranan penting dalam isu mengawal pemakanan murid di sekolah. Pihak sekolah hendaklah bersikap tegas dengan pengusaha kantin agar mereka tidak menjual makanan ringan seperti “Super Ring”, “Twistie”, “Mimi”, “Tam Tam” yang tidak berkhasiat kepada murid sekolah terutama murid sekolah rendah. Secara tidak langsung pihak sekolah perlulah bijak mencari penyelesaian agar semua pihak tidak terkesan oleh tindakan dan peraturan tersebut sesuai dengan peribahasa yang menyatakan ‘bagai menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak’.

Peranan pihak berkuasa tempatan

Masalah kehadiran peniaga-peniaga di hadapan sekolah yang menjual jajan atau kudapan ini sering menyusahkan pihak sekolah dalam usaha mengawal pemakanan pelajar-pelajar. Dalam hal ini, pihak berkuasa tempatan hendaklah memainkan peranan dengan melakukan pemantauan berkala di hadapan sekolah terutamanya sekolah rendah. Pihak berkuasa tempatan hendaklah memantau dan melakukan pemeriksaan mengejut seterusnya menyaman peniaga yang berniaga di kawasan tersebut dengan merampas peralatan mereka. Tindakan tegas ini walaupun dilihat menzalimi peniaga kecil tetapi jika tidak dibendung pasti akan bertambah seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Tegasnya, pihak berkuasa tempatan perlulah bertindak tegas dalam isu yang melibatkan kepentingan awam.

Mengharamkan penjualan makanan ringan

Jika dilihat dari ruang lingkup yang lebih luas lagi, kerajaan juga bertanggungjawab dalam mengekang gejala ini sebelum menjadi parah. Pihak kerajaan melalui KPDNKK mestilah mengharamkan penjualan makanan ringan yang tidak sihat dan berbahaya kepada kesihatan murid. Sesetengah negara maju seperti Singapura mengharamkan penjualan gula-gula getah di negara mereka. Kedai yang menjual gula-gula getah akan dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda mencecah empat ribu ringgit. Maka kerajaan perlulah mengambil tindakan penguatkuasaan melarang dan mengharamkan penjualan makanan ringan yang berbahaya kepada kanak-kanak.

Penutup karangan Cara Mengawal Pemakanan Anak

Secara keseluruhannya, sebatang lidi mudah untuk dipatahkan tetapi seikat penyapu sukar untuk dipatahkan, begitulah juga dalam usaha menyelesaikan masalah yang membelenggu ibu bapa, guru, dan masyarakat. Kerjasama daripada semua pihak amatlah diperlukan untuk mencegah dan mengatasi masalah penjualan makanan ringan yang tidak sihat kepada kanak-kanak.


Contoh Karangan: Punca makanan ringan diminati

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *