Skip to content

Karangan Cara Menggalakkan Aktiviti Gotong Royong

Cara Menggalakkan Aktiviti Gotong Royong

Amalan gotong royong semakin dilupai dalam kalangan masyarakat moden. Huraikan cara menggalakkan aktiviti gotong royong dalam kalangan generasi muda.

Langkah Menggalakkan Aktiviti Gotong Royong

Dalam mendepani isu sosial yang masih bersarang dalam kalangan masyarakat, aktiviti gotong-royong merupakan aktiviti yang semakin dilupai masyarakat khususnya generasi muda. Aktiviti gotong-royong dalam kalangan masyarakat semakin sukar untuk dilakukan lantaran masyarakat lebih banyak menghabiskan masa membasahi tubuh dengan keringat untuk mencari sesuap nasi. Keadaan ini telah memberi kesan buruk secara tidak langsung kepada generasi muda. Pada hari ini, remaja bersikap antisosial dan bergaul dalam kelompok mereka sahaja. Malah, mereka juga tidak mahir berkomunikasi sehingga bahasa yang ditutur boleh menggores hati orang terutamanya warga emas. Oleh itu, kita perlu menelusuri setiap langkah dan cara untuk menggalakkan aktiviti gotong-royong dalam kalangan generasi muda.

Ibu bapa menjadi suri teladan

Dalam satu perspektif, ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam menggalakkan aktiviti gotong-royong dalam kalangan remaja. Peribahasa ada mengatakan bagaimana acuan begitulah kuihnya, maka ibu bapa merupakan suri teladan yang menjadi ikutan kepada anak-anak. Mereka hendaklah membawa anak-anak bergotong-royong. Sebagai satu tamsilan, ibu bapa membawa anak menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan yang dianjurkan oleh persatuan penduduk. Dengan cara ini, mereka dapat bertemu dengan anak-anak jiran yang sebaya dan pada masa yang sama mengenali jiran tetangga. Secara tidak langsung ibu bapa dapat mendidik dan memberi pendedahan kepada anak-anak tentang budaya bergotong-royong dalam masyarakat.

Peranan pihak sekolah

Dari perspektif yang lebih formal iaitu di institusi pendidikan negara, pihak sekolah berperanan memupuk amalan bergotong-royong dalam aktviti penceriaan kelas. Pelajar dikehendaki melakukan pembersihan kelas secara berkala dengan jadual pembersihan yang telah ditetapkan oleh ketua kebersihan kelas yang dilantik. Mereka akan bekerja dalam satu kumpulan kerana sesungguhnya sebatang lidi mudah dipatahkan berbanding seikat penyapu yang sukar dipatahkan, begitulah semangat mereka dalam melakukan aktiviti gotong-royong untuk membersihkan dan menghiaskan bilik darjah. Semangat berlumba-lumba membersihkan kelas secara gotong-royong ini telah memberi galakan kepada remaja agar mengamalkan gotong-royong dalam kehidupan mereka.

Masyarakat setempat menganjurkan aktiviti gotong-royong

Perspektif yang berbeza juga dapat dilihat dari sudut masyarakat terutamanya masyarakat setempat yang menganjurkan pelbagai aktiviti gotong-royong. Melalui persatuan penduduk, aktiviti gotong-royong boleh diadakan dengan penglibatan remaja. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong mengacau bubur lambuk, mengacau dodol dan membakar lemang merupakan antara aktiviti yang menarik minat remaja. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja akan berasa teruja untuk mengetahui dan mencuba sesuatu yang baharu. Secara tidak langsung, sumbangan mereka ini akan dihargai masyarakat setempat malah pandangan serong masyarakat terhadap remaja dapat dikikis dengan amalan bergotong royong ini.

Media massa menggalakkan amalan gotong royong

Media massa juga merupakan pihak yang tidak boleh ditinggalkan dalam usaha menggalakkan amalan gotong-royong dalam kalangan remaja. Hal ini dikatakan demikian kerana media massa terutamanya media sosial tidak dapat dipisahkan dengan remaja kerana hubunganyan dengan remaja sangat rapat bagai isi dengan kuku. Maka, media massa seperti televisyen dan radio berperanan penting untuk menyalurkan maklumat tentang aktiviti gotong- royong yang melibatkan remaja. Dengan cara ini remaja akan seronok melakukan aktiviti gotong-royong apabila digabung dengan hiburan masa ini yang menjadi kegilaan mereka.

Penutup Karangan Cara Menggalakkan Aktiviti Gotong Royong

Secara keseluruhannya, amalan gotong-royong hendaklah digalakkan dalam kalangan remaja masa ini agar mereka dapat mempelajari cara bersosial dan berinteraksi dengan masyarakat sekitar agar mereka tidak kekok apabila melalui zaman yang akan mendewasakan mereka. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjaga remaja Malaysia agar terhindar daripada pemikiran yang boleh merosakkan masa depan negara.


Contoh Karangan: Kebaikan Amalan Gotong Royong

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *