Skip to content

Karangan Kepentingan dan Kebaikan sukan

Karangan SPM Faedah dan Kepentingan sukan

Setiap pelajar diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya satu kegiatan sukan dalam peringkat sekolah. Murid-murid yang aktif dalam bidang sukan seperti sepak takraw, bola sepak dan badminton selalunya mempunyai sahsiah terpuji. Huraikan kepentingan dan kebaikan sukan.

Isi karangan kegiatan sukan

  • menjadikan tubuh badan sihat dan minda cerdas
  • dapat membentuk disiplin dan sahsiah terpuji
  • mampu mewujudkan semangat kerjasama
  • dapat mengukuhkan perpaduan kaum
  • dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah

Kepentingan dan Kebaikan sukan

Setiap pelajar diwajibkan menyertai aktiviti sukan di sekolah. Kerajaan telah menetapkan 10 peratus markah kokurikulum sebagai syarat kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi awam atau swasta untuk menunjukkan bahawa aktiviti kokurikulum khususnya kegiatan sukan sangat penting untuk diceburi oleh pelajar sekolah.

Sebagai membuktikan lagi keseriusan kerajaan, Kementerian Pendidikan telah melancarkan dasar 1Murid 1Sukan, iaitu setiap pelajar diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya satu sukan di sekolah amat tepat kerana aktiviti sukan mendatangkan banyak faedah kepada pelajar. Program1Murid 1Sukan dapat melahirkan keyakinan bahawa dasar ini mampu membina generasi yang sihat  dan pada masa yang sama berupaya melahirkan modal insan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Jadi, pelajar harus sedar bahawa terdapat kebaikan sukan yang boleh diperoleh.

Karangan: Kebaikan Sukan kepada individu, masyarakat dan negara

Badan sihat, minda cerdas

Kebaikan sukan yang akan diperoleh apabila pelajar menyertai aktiviti sukan adalah mampu melahirkan masyarakat yang sihat tubuh badan dan minda yang cerdas. Kegiatan sukan yang diceburi oleh pelajar sekolah mampu menjadikan badan mereka sihat, sekali gus dapat mengelakkan diri mereka daripada menghidap sebarang penyakit berbahaya. Apabila mereka bersukan, badan mereka akan berpeluh sekali gus mengeluarkan toksin yang tidak diperlukan oleh badan melalui liang-liang roma. Perjalanan darah ke seluruh tubuh menjadi lancar menjadikan diri mereka sentiasa sihat  sekali gus minda mereka turut cerdas.

Peribahasa badan sihat otak cerdas sangat bertepatan dalam hal ini kerana pelajar yang sihat dapat memberikan fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dengan baik.  Mereka berupaya menjadi pelajar yang cemerlang kerana tumpuan pelajar di dalam kelas adalah prasyarat utama untuk menjadi cemerlang. Dr. Ismail Zain, pakar kaunseling pendidikan menyatakan bahawa pelajar yang fokus ketika guru mengajar di dalam kelas sudah sebelah kaki menuju kecemerlangan. Kata-kata ini membuktikan bahawa pelajar mampu fokus di dalam kelas jika badan mereka sihat kerana badan yang tidak sihat akan menyebabkan mereka berasa letih dan mengantuk.

Langkah memajukan sukan negara

Kegiatan sukan mengelakkan penyakit berbahaya

Selain itu, pelajar yang sihat juga mampu mengelakkan diri mereka daripada sebarang penyakit berbahaya. Hal ini demikian kerana toksin yang dikeluarkan melalui peluh telah menyebabkan lemak dalam badan terbakar ekoran daripada aktiviti sukan yang dilakukan. Penyakit-penyakit berbahaya seperti obesiti, serangan jantung, darah tinggi dan kencing manis dapat dihindari oleh pelajar yang sihat. Menurut kajian oleh Univesiti Sains Malaysia, 30 peratus kes obesiti atau kegemukan dalam kalangan pelajar sekolah rendah di Malaysia telah direkodkan sepanjang tahun lalu. Perangkaan ini amat membimbangkan kerana obesiti menjadi faktor utama yang menyebabkan penyakit-penyakit berbahaya seperti serangan jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Oleh hal yang demikian, penglibatan dalam aktiviti sukan dalam kalangan pelajar perlu dititikberatkan kerana kita tidak mahu pelajar yang menjadi aset negara ini nanti menderita akibat penyakit berbahaya. Sudah terang lagi bersuluh, aktiviti sukan mampu melahirkan pelajar yang sihat sekali gus memiliki minda yang cerdas.

Kegiatan sukan memupuk sahsiah terpuji

Selain itu, aktiviti bersukan juga dapat memupuk sahsiah yang terpuji dalam diri pelajar. Sahsiah yang terpuji dalam kalangan pelajar merupakan aspek yang menjadi fokus kerajaan masa ini kerana mereka merupakan modal insan yang akan menerajui tampuk kepimpinan negara kelak, sekali gus mampu merealisasikan Wawasan 2020 yang menjadi agenda utama negara kini. Dalam hal ini, aktiviti sukan mampu membina sahsiah terpuji seperti membentuk nilai kerjasama dalam diri pelajar di Malaysia.

Melalui aktiviti sukan, setiap pelajar akan bekerjasama untuk memastikan sukan yang dipertandingkan akan meraih kemenangan. Tanpa nilai kerjasama semangat kesukanan dalam diri pelajar akan menjadi luntur kerana mereka mementingkan diri sendiri dan akhirnya akan merugikan pasukan. Sebagai contoh, aktiviti sukan yang melibatkan kumpulan seperti bola sepak dan hoki tidak akan menempa kejayaan jika tiada kerjasama antara pemain. Pemain penyerang yang bermain sendirian tidak akan dapat menjaringkan gol jika tidak melorongkan bola kepada penyerang lain yang memiliki ruang untuk menjaringkan gol. Sikap mementingkan diri ini akan menyebabkan pasukan tersebut akan kecundang kerana tanpa kerjasama dan semangat berpasukan kejayaan tidak akan dapat digapai.

Faedah-faedah Bersukan kepada Masyarakat

Kepentingan sukan: memupuk semangat perpaduan

Di samping itu, semangat perpaduan juga akan wujud dalam diri jika pelajar melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang membabitkan pelajar pelbagai kaum. Perpaduan antara kaum akan menjadi subur jika pelajar bertolak ansur dan saling menghormati antara satu sama lain  dalam aktiviti sukan yang diwakili oleh pelajar berlainan bangsa. Mereka perlu menganggap bahawa setiap orang mempunyai peranan masing-masing dalam pasukan dan anggapan ini secara tidak langsung dapat mewujudkan semangat perpaduan.

Jadi, kegiatan bersukan di sekolah mampu memupuk sahsiah yang terpuji kerana pelajar dapat berkomunikasi dan berhubung sesama mereka tanpa apa-apa sekatan. Hal ini akan menyebabkan semangat perpaduan dapat dikukuhkan apabila semua pelajar bersatu dalam pasukan sekali gus berupaya meraih kemenangan, bak kata peribahasa bersatu teguh bercerai roboh. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa  sahsiah yang terpuji dalam diri pelajar dapat diwujudkan apabila mereka melibatkan diri dalam aktiviti sukan.

Kebaikan dan kepentingan sukan

Penutup karangan kebaikan sukan

Kesimpulannya, kebaikan aktiviti sukan banyak manfaat kepada pelajar dan remaja. Kita haruslah membicara aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup sihat dan melakukan aktiviti sukan dalam kehidupan. Dengan bersukan, masyarakat akan mendapat banyak kebaikan dan menyihatkan badan. Pepatah ada mengatakan bahawa minda cerdas lahir daripada badan yang sihat. Justeru, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti bersukan.

Langkah-Langkah memajukan aktiviti sukan

8 thoughts on “Karangan Kepentingan dan Kebaikan sukan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *