Skip to content

Contoh Karangan SPM: Kepentingan Sukan Air

Karangan Kepentingan Sukan Air

Yang Berusaha, Tuan Haji Kuswandi bin Tayen, Pengetua, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Jauhari, barisan guru penolong kanan, guru kanan mata pelajaran, guru cemerlang, guru-guru, dan rakan-rakan yang dikasihi. Bersempena dengan Hari Air Sedunia yang akan disambut pada 22 Mac setiap tahun, saya akan menyampaikan syarahan yang bertajuk, “Kepentingan Sukan Air”.

Hadirin yang dihormati,
Aktiviti sukan, khususnya sukan air, merupakan suatu aktiviti yang sangat menyeronokkan. Saya percaya hadirin juga gemar berkelah dan bersantai di badan air seperti di tepi pantai, jeram, dan taman tema air, bukan? Namun, selain menghirup udara segar dan berenang di tepi pantai, pernahkah hadirin mengambil bahagian dalam aktiviti sukan air, antaranya termasuklah luncur jet, luncur air, luncur angin, layar-layang, luncur udara, bersnorkel, mahupun selam skuba? Saya yakin bilangan yang pernah mencubanya boleh dikira dengan jari. Oleh itu, marilah sama-sama kita telusuri kepentingan sukan air kepada kita.

Hadirin yang dihormati,
Kebanyakan sukan air memerlukan stamina, kecergasan fizikal , dan kecerdasan mental selain kemahiran khusus tentang sukan tersebut. Kita ambil contoh aktiviti berkayak. Pengalaman menyusuri jeram yang deras mampu mempercepat pengeluaran adrenalina. Jantung juga akan berdegup kencang bagi menghantar oksigen ke seluruh bahagian tubuh.

Proses ini menyebabkan pembakaran lemak dalam badan berlaku. Hal ini menyebabkan peminat sukan air ini bukan sahaja kekal sihat, malahan memiliki berat badan yang ideal. Bagi mereka yang suka berenang pula, kajian yang dilakukan oleh penyelidik di Universiti South Carolina, Amerika Syarikat, mendapati bahawa jangka hayat perenang berkemungkinan lebih panjang berbanding dengan atlet lain seperti atlet olahraga.

Sukan air juga mampu memupuk nilai-nilai murni dalam diri. Oleh sebab kebanyakan sukan air ini melibatkan kemahiran menggunakan peralatan, peserta mestilah mematuhi arahan yang diber ikan. Aspek keselamatan perlulah diutamakan. Bagi sukan air secara berkumpulan, berada di dasar laut dalam aktiviti selam skuba misalnya, sudah pasti akan memupuk sikap saling mempercayai, persefahaman, dan perpaduan yang erat. Banyak lagi nilai murni lain yang dapat diterapkan antaranya termasuklah keberanian, yakin diri, dan menghargai masa. Pendedahan yang berterusan kepada sukan air ini berupaya untuk meningkatkan kualiti hidup.

Hadirin yang dihormati,
Ada banyak lagi kepentingan sukan air. Namun, disebabkan masa mencemburui kita, hanya setakat ini sahaja syarahan daripada saya. Saya berharap agar syarahan ini akan dapat membuka mata pelbagai pihak tentang tanggungjawab kita dalam memajukan sukan air demi faedah kita bersama. Akhir kata,“Majulah Sukan untuk Negara”.
Sekian, terima kasih.

2 thoughts on “Contoh Karangan SPM: Kepentingan Sukan Air”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *