Skip to content

Contoh karangan – Kerjasama negara ASEAN

Contoh karangan - Kerjasama negara ASEAN

Pertubuhan ASEAN merupakan pertubuhan serantau yang terkenal. Pelbagai kerjasama boleh dijalankan oleh anggota negara ASEAN. Jelaskan.

Karangan tentang Kerjasama negara ASEAN

Asean merupakan satu kumpulan kerjasama serantau yang telah menjadi satu pertubuhan yang dihormati oleh masyarakat dunia. Pertubuhan ini sering dijadikan bahan contoh oleh beberapa buah negara dunia apabila mereka mencadangkan penubuhan sesuatu pertubahan bertaraf dunia itu. Pihak media massa turut memberikan pelbagai penghormatan terhadap pertubuhan ini dalam setiap tindakan yang diambil oleh ASEAN. Sebenarnya, ada banyak bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan oleh anggota ASEAN pada era globalisasi ini.

Perjanjian dalam bidang pendidikan

Kerjasama yang paling mudah dilaksanakan oleh pertubuhan ini ialah melaksanakan satu perjanjian persefahaman dalam bidang pendidikan. Semua pelajar di negara-negara Asean yang meliputi Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, dan sebagainya boleh mengambil peperiksaan yang serupa pada masa yang sama. Tindakan sebegini memastikan kualiti peperiksaan rantau ini lebih terjamin sambil memudahkan urusan kemasukan pelajar asing ke universiti tertentu di Asean.

Kerjasama dalam bidang ekonomi

Selain itu, kerjasama dalam bidang ekonomi boleh dilaksanakan oleh pertubuhan ini juga. Semua sekatan ekonomi atau kewangan yang wujud sebelum ini boleh dihapuskan atau dikurangkan supaya kegiatan ekonomi sesama negara anggota menjadi lebih mudah. Usaha memudahkan urusan ekonomi berupaya untuk menjadikan suasana menjalankan aktiviti ekonomi di rantau ini lebih menarik buat pelabur asing yang lainnya.  Akibatnya, negara di rantau ini akan mengalami pertumbuhan ekonomi yang stabil dan baik sehingga meninggikan taraf hidup masyarakat secara amnya.

Bidang keselamatan atau pertahanan

Tambahan pula, bidang keselamatan atau pertahanan turut boleh ditingkatkan tahap kerjasamanya dalam usaha memerangi cabaran keganasan zaman moden. Pihak polis dan tentera setiap anggota anggota bukan sahaja boleh melaksanakan latihan bersama-sama tetapi juga boleh bertukar-tukar informasi mengenai sesuatu perkara yang boleh mengancam kestabilan dan keamanan serantau. Tahap kerjasama yang tinggi akan menjadikan kawasan rantau ini lebih selamat berbanding dengan kawasan-kawasan dunia lain yag sering bergolak itu. Jadi, kerjasama dalam bidang pertahanan atau keselamatan boleh dilaksanakan oleh negara anggota Asean dengan efektif.

Bekerjasama dalam bidang teknologi

Negara-negara ASEAN juga boleh bekerjasama dalam bidang teknologi terutama komunikasi. Penggunaan teknologi komunikasi seperti telefon bimbit begitu ketara dalam kalangan masyarakat moden lalu kerjasama serantau penting. Pengguna telefon bimbit tidak perlu risau tetag pertukaran telefon, bil yang tinggi dan sebagainya apabila kerjasama ini berjaya dimeterai oleh semua negara Asean itu. Sebenarnya, kerjasama dalam bidang komunikasi ini yang paling mudah dilakukan kerana teknologi komunikasilah yang paling mudah untuk menjadi alat perpaduan secara rakyat di rantau ini.

Bidang pelancongan

Satu lagi bentuk kerjasama lain yang boleh dilaksanakan oleh negara anggota Asean melibatkan bidang pelancongan. Semua pelancong dari negara anggota tidak perlu menulis maklumat diri mereka apabila melepasi pemeriksaan imigresen setiap negara di rantau ini.   Kerjasama sebegini pasti menjadikana urusan melancong ke negara rantau Asia Tenggara menjadi lebih mudah lalu menggalakkan pertumbuhan sektor ini pula. Akibatnya, industri pelancongan rantau ini akan menyumbangkan sumber kewangan kepada setiap kerajaan di rantau ini yang berguna untuk membiayai projek pembangunan pula.

Penutup Karangan Kerjasama negara ASEAN

Kesimpulannya, Asean mampu melaksanakan pebagai bentuk kerjasama yang membawa impak bersama. Semua negara di rantau ini perlu melihat kesan jangka panjang berbandig jangka pendek lalu berusaha menghapuskan sebarang prasangka terhadap usaha murni negara lain itu. Jika semua bentuk kerjasama ini dilaksanakan sudah pasti rantau ini akan menjadi inspirasi negara dunia yang lain pula. Bak kata orang tua-tua bulat air kerana pembetung bulat manusia kerana muafakat yang membuktikan kemakmuran rantau ini boleh dikecapi bersama-sama apabila semua pihak berusaha dengan jujur.


Contoh Karangan: Langkah mengekalkan keamanan Negara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *