Skip to content

Contoh Karangan – Langkah Langkah memajukan sukan

sekolah

Aktiviti sukan terdiri daripada aktiviti fizikal yang dilakukan untuk pelbagai tujuan. Bersukan banyak bermanfaat kepada diri sendiri dan juga negara kita. Apakah langkah Langkah memajukan sukan negara?

Langkah-langkah memajukan sukan negara

Acap kali negara kita menganjurkan sukan berprestij di dunia seperti Formula One, Sukan Komenwell dan sebagainya. Pecapaian Malaysia sebagai penganjur tidak dapat dinafikan kehebatannya. Walaupun begitu, pencapaian Malaysia sebagai peserta amatlah mengecewakan. Oleh hal yang demikian, pelbagai usaha haruslah dilakukan untuk memajukan sukan negara.

Menjamin masa depanatlet

Punca utama para atlet tidak bergiat lama dalam bidang ini kerana tiada jaminan masa depan kepada mereka. Oleh itu, suatu usaha harus dilakukan untuk menjamin masa depan mereka. Terutama peluang pekerjaan jika berlaku kecederaan kepada mereka. Selain itu, elaun dan pencen harus diberikan kepada mereka yang bergiat aktif dalam mewakili Malaysia, tidak kira sama ada atlet tersebut menang ataupun kalah. Di samping itu, suatu organisasi harus ditubuhkan untuk menjaga kebajikan atlet Malaysia.

Latihan secara intensif

Salah satu langkah yang dapat memajukan sukan di negara kita ialah menyediakan latihan secara intensif. Atlet negara kita perlu dilatih oleh jurulatih profesional secara kerap dan konsisten.Latihan secara intensif penting untuk mempersiapkan atlet dalam pertandingan sukan dan mereka haruslah menumpukan perhatian yang sepenuhnya. Teranglah bahawa latihan intensif adalah salah satu penyumbang kepada kemajuan sukan di Malaysia. Walaupun latihan intensif menggunakan kos yang agak tinggi namun hasilnya amat memuaskan bak kata leluhur alah membeli, menang memakai. Inisiatif yang dicadangkan diharapkan agar dapat melahirkan atlet yang berkualiti dan merealisasikan impian Malaysia untuk menjadi setaraf dengan negara lain

Pendedahan pada peringkat awal

Bak kata pepatah, meluntur buluh biar dari rebungnya. Oleh itu, untuk membentuk atlet, pendedahan haruslah dimulakan dari peringkat kanak-kanak. Sekolah sukan haruslah dibina di setiap daerah atau disetiap negeri. Kementerian Pelajaran Malaysia perlulah berperanan mencungkil bakat-bakat muda daripada peringkat sekolah lagi. Sekolah sukan berkaitan pula dibina dari peringkat sekolah rendah. Di sekolah tersebut, kelengkapan sukan haruslah lengkap. Segala ilmu seperti teknik pernafasan yang betul diajar selain teknik menguasai permainan sukan yang dipilih. Subjek sukan dimasukkan dalam silibus dan diuji, sama seperti ujian bagi mata pelajaran lain.Oleh itu, pelajar tersebut akan memandang serius dalam subjek tersebut.

Aktiviti kesukanan di sekolah

Di peringkat sekolah pula, Bulan kesukanan perlulah diadakan. Pelbagai aktiviti kesukanan haruslah diadakan dan hadiah yang menarik pula perlulah ditawarkan sebagai ganjaran. Selain itu, perlawanan persahabatan dalam sukan serta perlawanan peringkat sekolah haruslah ditingkatkan untuk mencungkil bakat terpendam para pelajar yang seharusnya menjadi pelapis atlet yang sedia ada. Sementelahan, kemudahan untuk sukan dan peruntukan untuk membeli peralatan sukan haruslah disediakan selain galakan daripada pihak guru dan ibu bapa.

Kesimpulan karangan

Konklusinya, semua pihak haruslahberganding bahu dalam menjalankan usaha prakmatik untuk memajukan sukan di negara kita. Pihak Kerajaan haruslah giat menjalankan kajian untuk memantapkan lagi sukan negara. Semua pihak termasuklah ibu bapa seharusnya memberi bimbingan dan galakan kepada anak-anak yang berkecenderungan terhadap bidang sukan. Majulah sukan untuk negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *