Skip to content

Contoh Karangan – Pendermaan Organ

Karangan Pendermaan Organ

Kesedaran Pendermaan Organ di Malaysia berada pada peringkat yang amat rendah. Persoalannya, apakah halangan pendermaan organ dalam kalangan masyarakat kita?

Pendermaan Organ merupakan satu kaedah rawatan yang diterima ramai di Negara kita. Pendermaan organ dan tisu ialah proses mendermakan sebahagian organ atau tisu daripada tubuh badan kita untuk tujuan pemindahan atau transplantasi kepada orang lain yang memerlukan. Selepas pemindahan organ, pesakit itu dapat meneruskan kehidupan dan hidup dengan kualiti yang lebih baik. Manakala, kesedaran dalam kalangan masyarakat kita mengenai kepentingan menderma organ masih berada pada peringkat yang amat rendah. Bilangan pesakit yang memerlukan pemindahan organ semakin meningkat dari tahun ke tahun, namun bilangan pengikrar yang ingin menderma setelah kematian masih rendah. Pendermaan Organ adalah satu amalan yang mulia dan dibenarkan oleh kebanyakan agama termasuk Islam, tetapi masih ramai yang berasa ragu untuk berbuat demikian. Persoalannya, apakah halangan pendermaan organ di negara kita?

Keliru dengan prinsipagama Islam

Pada mereka, pemindahan dan pendermaan organ haram di sisi agama Islam. Walhal, hukum mengenai pemindahan organ ini telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang diadakan. Jadi, isu mengenai pemindahan organ ini tidak seharusnya berbangkit dan dibangkitkan oleh mana-mana pihak. Hal ini kerana pemindahan dan pendermaan organ diharuskan dalam Islam bagi membantu menyelamatkan manusia yang lain serta mengurangkan penderitaan yang dialami oleh seseorang insan berikutan penyakit yang dihidap. Selain itu, banyak persoalan yang berkaitan dengan etika dan hukum agama juga ditimbulkan berhubung dengan perkara ini. Antaranya, pembedahan pemindahan organ merupakan perbuatan menyeksa jenazah atau menyebabkan jenazah itu tidak dapat dikebumikan dalam keadaan yang sempurna. Pemindahan organ ini sebenarnya pernah dilakukan oleh pakar perubatan Islam pada masa silam. Yang diharamkan oleh Islam ialah perbuatan mencacatkan tubuh badan manusia untuk tujuan suka-suka ataupun untuk kecantikan diri.

Faktor budaya

Dalam konteks perubatan, pemindahan organ dibuat bukan bertujuan untuk mencacatkan anggota tubuh, jauh sekali untuk  mencabuli kehormatan jenazah, tetapi merupakan satu kaedah perawatan terhadap penyakit yang berbahaya. Orang ramai sedar bahawa pemindahan organ tidak dilakukan secara sembarangan, sebaliknya dilakukan setelah mendapat kebenaran daripada diri, waris, atau keluarga si mati, mengikut peruntukan undang-undang, tetapi masalahnya ialah masyarakat tiada keinginan membantu orang lain dengan mengorbankan sedikit keselesaan diri. Kita tidak dapat menafikan bahawa faktor budaya menjadi penghalang untuk masyarakat menderma organ. Sejak kecil lagi, kita dididik menderma wang ringgit, masa dan tenaga, tetapi kita tidak pernah diajar untuk menderma organ.

Halangan Keluarga

Bagi mereka yang berfikiran terbuka, memang ada keinginan untuk menderma organ, tetapi ada sahaja yang menghalang seperti ahli keluarga. Jikalau rakan yang menghalang tidak mengapa, tetapi jika bantahan daripada ibu, sudah tentu kita tidak sanggup ingkar. Malah, mereka tidak sanggup berderma bukan sahaja kepada ahli masyarakat yang lain tetapi juga kepada ahli keluarga sendiri disebabkan bimbang akan mendatangkan kemudaratan serta kecacatan pada jenazah dan dirinya. Dalam sesetengah kes, ada yang sudah sanggup untuk berderma, tetapi disebabkan rakan-rakan menakut-nakutkan dengan mengatakan tubuh tidak lagi mampu berfungsi seperti sedia kala menyebabkan keinginan itu terbantut. Proses mengharapkan orang ramai agar sanggup menderma organ mengambil masa yang lama. Setakat ini, kempen yang terlalu sedikit menyebabkan orang ramai tidak mendapat gambaran yang sebenar. Untuk tahun-tahun mendatang, diyakini akan lebih banyak orang yang mempunyai hati mulia seperti Wan Hafizah yang sanggup menderma sebahagian hatinya kepada seorang bayi yang tiada pertalian darah dengannya.

KebaikanPendermaan Organ

Penderma hidup hanya boleh mendermakan satu buah pinggang atau sebahagian hati, dan sum-sum tulang sahaja. Pendermaan semasa hidup mempunyai risiko yang rendah. Pendermaan ini terhad kepada mereka yang mempunyai pertalian darah atau mereka yang mempunyai hubungan emosi seperti suami isteri sahaja. Ini untuk mengelakkan kegiatan jual beli organ berlaku. Dengan adanya ikrar daripada penderma organ, kita dapat mengubah kehidupan seseorang yang mempunyai kegagalan fungsi organ. Kita sepatutnya bersimpati dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan ibarat hulurkan bantuan, ringankan beban. Alangkah murninya hati seseorang mengikrarkan diri memberikan semua organ dalamannya, dengan harapan selepas kematiannya, masih dapat membantu orang lain.

Penutup Karangan Pendermaan Organ

Kesimpulannya, masyarakat kita harus membebaskan minda daripada dibelenggu dan dicengkam oleh kebimbangan menderma organ. Pihak yang berkenaan harus berganding bahu dan bekerjasama meningkatkan kesedaran masyarakat, selain memberikan maklumat dan tentang kepentingan pendermaan organ. Marilah kita bersama-sama mendaftarkan sebagai pengikrar penderma organ supaya umat manusia dunia kita menjadi penyayang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *