Skip to content

Karangan Faktor-Faktor Masalah Jerebu

Karangan faktor masalah jerebu

Pembakaran terbuka menjadi isu dalam kalangan masyarakat dan menyebabkan jerebu sering melanda negara kita saban tahun. Tulis karangan tentang faktor faktor masalah Jerebu berlaku.

Faktor Masalah Jerebu di Malaysia

Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas dan berkembang ini, masyarakat pada hari ini sering berhadapan dengan masalah jerebu ibarat bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan nyiru lagi. Fenomena jerebu ini seolah-olah telah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana telah acapkali melanda negara kita saban tahun. Masalah jerebu berkenaan banyak mengundang kontroversi dalam kalangan masyarakat, persis kata orang tua-tua , “ jikalau tiada angin, masakan pokok bergoyang ”. Pelbagai kesan sampingan berlaku kepada masyarakat apabila fenomena jerebu melanda negara.

Antaranya, masyarakat yang mengalami masalah pernafasan kronik akan menerima impak yang ketara semasa jerebu berlaku, pelajar tidak dapat mengikuti sesi persekolahan apabila sekolah terpaksa ditutup apabila jerebu mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) berbahaya, pengusaha sektor pelancongan akan kekurangan pelanggan apabila pelancong kurang berminat untuk melancong semasa jerebu melanda dan kerajaan akan kehilangan sumber pendapatan apabila berlakunya jerebu serta pelbagai lagi impak yang lain terjadi kepada masyarakat dan negara apabila berlakunya jerebu. Signikannya, jerebu memang mengundang pelbagai masalah kepada masyarakat dan negara. Sekiranya masalah jerebu berterusan tanpa ada langkah susulan oleh strata masyarakat dan kerajaan untuk mengatasninya, sudah pasti semua pihak akan menanggung kesan dan akibatnya. Persoalannya, apakah faktor menyebabkan jerebu berlaku? Persoalan ini akan saya perhalusi semasa membicarakan tajuk karangan ini.

Kebakaran hutan

Boleh dikatakan faktor masalah jerebu di negara Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain biasanya disebabkan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan. Hal ini terbukti berdasarkan Dapatan itu diperoleh Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) berdasarkan data satelit NOAA, iaitu satu daripada satelit cuaca terkini yang digunakan agensi itu untuk memantau jerebu di Asia Tenggara telah mengenal pasti 1,307 titik panas berlaku di Sumatera dan Kalimantan dan hanya ada 21 keadaan sama di seluruh Malaysia. Sebenarnya, keadaan cuaca kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas marcapada sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendirinya akibat suhu meningkat . Hal ini berlaku demikian kerana fenomena pemanasan global yang sedang berlaku di muka bumi ini memudahkan berlakunya kebakaran hutan. Sementara itu negara jiran kita, Indonesia memperhebat usaha membina infrastruktur yang baharu seperti bangunan, sekolah dan lebuh raya.

Sementara pengusaha kawasan pertanian di negara berkenaan sering mencari jalan mudah untuk menjalankan pembakaran untuk membersihkan kawasan pertanian mereka. Hal ini mengakibatkan pembakaran hutan berlaku secara berleluasa. Apabila angin monsun Barat Daya bertiup dari Sumatera ke Malaysia, angin tersebut akan membawa jerebu bersama-sama ke negara kita serta negara jiran. Natijahnya, udara kita semakin tecemar menyebakan Indeks Pencemaran Udara di negara kita melebihi paras berbahaya. Oleh itu, pembakaran hutan akan menyebabkan asap dan debu serta bahan yang telah separuh bakar berterbangan di atmosfera lalu berlakulah jerebu. Sekiranya, tiada usaha kerjasama dijalankan oleh negara Asean untuk mengatasi masalah berkenaan, sudah pasti fenomena jerebu akan berlaku saban tahun kerana bulat air kerana pembentung bulat masyarakat kerana muafakat. Tegasnya, faktor utama jerebu di negara Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan.

Pembakaran secara terbuka

Seterusnya, masyarakat Malaysia juga sering melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin melupuskan sesuatu seperti sampah sarap secara mudah tanpa perlu mengeluarkan kos. Sesetengah rakyat negara kita pula sering melakukan pembakaran terbuka di belakang kawasan rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk membawa sampah sarap mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat kitar semula yang disediakan. Oleh sebab itu, mereka kerap mengambil jalan mudah dengan membakar sampah sarap mereka tanpa ambil peduli jika asap daripada pembakaran terbuka meningkatkan lagi masalah jerebu . Ada pula sesetengah petani yang membakar jerami padi untuk membersihkan kawasan sawahnya sebelum melakukan penanaman semula. Mereka tidak sedar bahawa asap dari pembakaran berkenaan boleh meliputi kawasan yang amat luas akibat tiupan angin.

Natijahnya, pembakaran terbuka ini melepaskan asap ke udara dan mengakibatkan masalah jerebu bertambah serius. Buktinya dapatan Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) menggunakan satelit NOAA, mendapati terdapat 21 titik panas akibat pembakaran berlaku di Malaysia pada tahun 2019. Sekiranya, pihak Jabatan Alam Sekitar tidak dapat menjalankan penguatkuasaan undang-undang secara sistematik dan berkala, mengenakan denda yang setimpal dengan kesalahan pihak yang tidak bertanggungjawab dan bertindak menjalankan penguatkuasaan seperti hangat-hangat tahi ayam sudah pasti masalah jerebu tidak akan dapat diatasi atau sekurang-kurangnya mengurangkan masalah jerebu. Namun, jika penguatkuasaan terhadap pesalah yang menjadi faktor masalah jerebu dapat ditangkap serta dikenakan kompaun setimpal dengan kesalahan mereka sudah pasti mereka akan mendapat pengajaran dan tidak mengulang semula kesalahan yang sama. Tegasnya, masyarakat Malaysia juga sering melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi.

Peningkatan jumlah kenderaan

Selain itu, peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga menjadi faktor masalah jerebu berlaku di Malaysia. Kini, dianggarkan, terdapat lebih kurang 9.3 juta buah kenderaan berada di jalan raya Malaysia pada setiap masa. Kenderaaan yang tidak dilengkapi pengubah pemangkin pada ekzos kenderaan menyebabkan 16.2 tan karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan pada setiap hari. Kesesakan lalu lintas menyebabkan kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap pencemar. Gas-gas pencemar ini merupakan bahan terampai yang memenuhi udara. Gas-gas yang dibebaskan pula tidak dapat dibebaskan ke atmosfera dan sebaliknya terperangkap dalam lapisan bumi. Kejadian gas-gas yang terperangkap ini bagai selimut yang menutupi bumi.

Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita. Jika masyarakat Malaysia terus bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, masalah pencemaran udara yang menjadi faktor berlakunya jerebu. Sebaliknya, masyarakat perlu bersikap positif untuk mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya seperti mengamalkan amalan berkongsi kereta, atau menggunakan kemudahan perkhidmatan awam yang telah disediakan oleh kerajaan seperti sistem monorail, keretapi elektrik (ETS), bas awam dan pelbagai lagi kemudahan awam lain untuk mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor di jalan raya yang dikenalpasti menjadi penyumbang kepada masalah jerebu. Tegasnya, peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga menjadi faktor masalah jerebu berlaku di Malaysia.

Kegiatan industri pembuatan dan perkilangan

Selain itu, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan industri pembuatan dan perkilangan yang tidak terkawal. Hal ini berlaku demikian kerana sesebuah negara banyak bergantung kepada sektor perindustrian untuk mengaut keuntungan yang lumayan demi kemajuan negara. Malangnya, sikap pengusaha kilang yang mementingkan keuntungan tanpa memikirkan natijah modus operandi premis mereka kepada orang lain menyebabkan asap-asap dari kilang yang dilepaskan ke udara telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk menyediakan alat penapisan asap untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asap- asap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh mengakibatkan udara menjadi berjerebu.

Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Pelepasan asap kilang yang tidak terkawal dan tidak mengikut prosedur tertentu akan memburukkan lagi keadaan jerebu di negara kita. Sekiranya pihak berkuasa atau kerajaan tempatan tidak bertindak membanteras operasi pengusaha syarikat industri yang tidak berhati perut ini sudah pasti masyarakat sekitar terutamanya dan negara amnya akan menerima natijahnya kerana sudah terhantuk baru tergadah sudah tidak berguna lagi dan mencegah lebih baik dari mengubati. Sebaliknya, tindakan pihak penguatkuasaan undang-undang serta penalti atau saman yang tinggi dikenakan kepada pengusaha premis industri pembuatan diharapkan dapat memberi pengajaran setimpal dengan jenayah yang mereka lakukan. Sudah terang lagi bersuluh, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan industri pembuatan dan perkilangan yang tidak terkawal.

Aktiviti pembangunan perumahan dan pembalakan

Bahkan juga, aktiviti pembangunan yang dijalankan oleh pemaju perumahan dan juga pengusaha pembalakan juga antara faktor memudahkan berlakunya jerebu di negara kita. Hal ini demikian kerana pemaju perumahan dan pembalakan yang rakus menebang hutan tanpa menghiraukan fungsi hutan sebagai agen dan paru-paru dunia yang berfungsi melestarikan alam sekitar secara semulajadi. Sebagai masyarakat yang cakna dan tahu hukum alam, hutan berfungsi menukarkan gas karbon dioksida kepada oksigen melalui proses fotosintesis. Oleh sebab itu, hutan mampu mengurangkan kadar jerebu dengan menyerap kandungan karbon dioksida yang terampai di udara serta mengurangkan pemanasan global yang memudahkan hutan terbakar secara semujadi seperti panahan petir sebagaimana yang berlaku di Brazil. Malahan juga, kesilapan manusia yang membuang puntung rokok di merata-rata tempat juga memudahkan berlakunya kebakaran ketika berlakunya pemanasan global.

Setiap masyarakat perlu akur peri pentingnya menjaga hutan kerana kesilapan manusia akan mengundang kemusnahan kelesterian alam kerana usaha mencegah lebih baik daripada mengubati dan jika kita tersilap langkah memang buruk padahnya. Sekiranya masyarakat cakna menjaga kelesterian alam sudah pasti masyarakat akan dapat menghirup udara segar setiap masa kerana Mahatma Gandi pernah berkata,”Kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada generasi akan datang. Oleh itu, jagalah alam sekitar supaya anak dan cucu kita dapat menikmatinya.” Sudah terang lagi bersuluh, aktiviti pembangunan yang dijalankan oleh pemaju perumahan dan juga pengusaha pembalakan juga antara faktor memudahkan berlakunya jerebu di negara kita.

Kesimpulan Karangan Masalah Jerebu

Kesimpulannya, sebagai masyarakat cakna dan bertanggungjawab, tugas menjaga alam sekitar amat penting untuk kita mengekalkan kelestarian alam sekitar agar jerebu dapat dibanteras dari terus berlaku saban tahun. Berdasarkan hujahan saya di atas iaitu faktor masalah jerebu di negara Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, sikap masyarakat Malaysia sering melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan, kegiatan industri pembuatan dan perkilangan yang tidak terkawal, peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Aktiviti pembangunan yang dijalankan oleh pemaju perumahan dan juga pengusaha pembalakan adalah faktor masalah jerebu berlaku di Malaysia.

Oleh sebab itu, setiap ahli masyarakat dengan kerjasama pihak kerajaan serta kerajaan tempatan perlu bergabung tenaga untuk menyelesaikan masalah jerebu yang kerap meresahkan masyarakat dan negara saban tahun. Kerjasama kerajaan dengan negara jiran yang menyebabkan jerebu berlaku juga perlu dibugarkan melalui perbincangan di meja rundingan kerana dengan muafakat akan membawa berkat dan masalah jerebu yang melanda negara dapat dielakkan dari terus melanda seolah-olah telah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara saban tahun.


Contoh Karangan: Langkah mengatasi masalah Jerebu
Contoh Karangan: Kesan fenomena Jerebu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *