Karangan Kepentingan menyertai aktiviti Kokurikulum

menyertai aktiviti Kokurikulum

KegiatanKokurikulum seperti bersukan, menyertai pasukan dan kelab atau kegiatan beruniform merupakan aspek penting dalam melahirkan remaja yang berguna. Huraikan kepentingan pelajar menyertai aktiviti Kokurikulum.

Kepentingan dan Faedah menyertai aktiviti Kokurikulum

Aktiviti kokurikulum merupakan satu aktiviti wajib di setiap sekolah. Aktiviti Kokurikulum dapat memupuk individu pelajar agar seimbang dan harmonis dalam aspek jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Para pelajar wajib menyertai aktiviti yang dijalankan, baik menyertai persatuan, unit beruniform, ataupun olahraga. Kementerian Pelajaran tidak mahu para pelajar hanya menumpukan kepada pelajaran sehingga mengabaikan aktiviti kokurikulum. Penglibatan yang aktif dalam aktiviti kokurikulum pasti memberi pelbagai impak positif kepada pelajar.

tubuh badan menjadi sihat

Melalui aktiviti ini, tubuh badan akan menjadi sihat. Keadaan ini berlaku kerana apabila kita melakukan sesuatu aktiviti, otot-otot akan bergerak dengan aktif, seterusnya mengeluarkan peluh. Hal ini juga meningkatkan keyakinan sama ada kepada diri sendiri mahupun orang lain. Sudah sewajarnya setiap remaja mempersiap diri dengan pakej fizikal, mental, dan emosi dengan memiliki personaliti yang mengagumkan. Apabila diri kita sihat, mudahlah kita untuk mengulang kaji pelajaran dan yang pasti dapat ke sekolah. Jika tubuh badan kita tidak sihat, tubuh menjadi letih serta lesu dan tidak bermaya, menyebabkan minat untuk belajar menjadi luntur.

memanfaatkan masa lapang

Faedah kedua yang kita peroleh dengan menyertai aktiviti kokurikulum adalah, pelajar dapat memanfaatkan masa lapang mereka dengan bijak. Sekiranya tidak menyertai kokurikulum, masa yang terluang pasti akan digunakan dengan menonton televisyen, melepak, merokok, dan berpelesiran di pusat membeli belah seperti kutu rayau. Aktiviti tidak berfaedah ini juga bakal menjerumuskan mereka ke kancah perjudian, pelacuran malahan juga ke kancah jenayah. Mereka juga bakal terdorong untuk bergaul dengan remaja nakal dan terlibat dalam pelbagai kegiatan negatif seperti merempit, meragut, menagih dan mengedar dadah dan banyak lagi.

menambah kenalan kawan

Apabila menyertai aktiviti kokurikulum, secara tidak langsung kita juga boleh menambah kenalan. Penyertaan dalam persatuan mahupun aktiviti sukan tidak mengira dari kelas mana ataupun warna kulit. Jadi, menerusi aktiviti yang dijalankan, kita dapat berbincang dan saling mengenali, sekali gus mewujudkan perpaduan antara satu dengan yang lain kerana muafakat membawa berkat. Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum juga memberi impak untukmenjalinkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Sehubungan dengan itu, inilah adalah satu jaminan untuk melahirkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu di bawah payung sebuah negara yang sejahtera.

memupuk dayakepimpinan

Daya kepimpinan merupakan ciri perwatakan yang berguna dan akan diperoleh remaja apabila bergiat secara aktif dalam aktiviti kokurikulum. Daya kepimpinan penting untuk remaja supaya diterima dalam masyarakat, dihormati, dan diberikan kepercayaan untuk memimpin. Sewajarnya, dengan menyertai kokurikulum, bakat istimewa sebagai pemimpin dapat dibentuk melalui kegiatan berpersatuan, kelab dan pasukan beruniform seperti pengakap. Justeru, pelajar harusterlibat dalamkokurikulum danmembina jati diri sebagai pemimpin yang positif dan matang.

mengharumkan nama sekolah

Adat sesuatu pertandingan, ada menang dan ada yang kalah. Apabila pasukan yang kita sertai memenangi kejohanan yang kita sertai nama sekolah akan menjadi harum. Tindakan ini secara langsung akan menyebabkan para pelajar menitikberatkan kegiatan kokurikulum.Pada peringkat sekolah, kita sudah berjaya mengharumkan nama sekolah, apabila dewasa, tidak mustahil kita juga boleh mengharumkan nama negara.

Penutup Karangan

Berdasarkan huraian yang diberikan, jelaslah kepada kita akan kepentingan aktiviti kokurikulum kepada kita. Kejayaan sesuatu bangsa itu adalah bergantung kepada kualiti rakyatnya yang sentiasa berfikiran positif dan dinamik. Oleh sebab itu, para pelajar yang berada di bangku sekolah hendaklah manfaatkanlah masa yang terluang dengan menyertai aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum mesti boleh menjadi sebagai platform untuk mendidik pelajar menjadi insan yang mempunyai otak yang pintar dan berguna kepada negara, bangsa dan agama.


Isi Kepentingan menyertai kokurikulum di sekolah

  • Pelajar dilatih  berdisiplin
  • Dalam aktiviti berpersatuan mendapat pelbagai pengetahuan
  • Pelbagai pandangan dan idea boleh dikongsi antara sesama ahli
  • Memperoleh badan yang cergas, minda juga turut menjadi cerdas
  • Pelajar dididik dengan semangat kerjasama dan toleransi sesama ahli pasukan
  • Kokurikulum menjadi satu nilai tambahan dalam proses pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam.
  • Dapat menghasilkan generasi berilmu yang mempunyai kebolehan dan kesungguhan yang menyeluruh.
  • Membentuk modal insan yang berkualiti pada masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.