Skip to content

Contoh Karangan SPM – Usaha-usaha Memupuk Semangat Kejiranan

Belajar

Jiran merupakan komuniti paling hampir dengan kehidupan setiap individu. Jiran sangat penting kerana merekalah yang tinggal berdekatan dengan rumah kita. Semangat Kejiranan harus sentiasa diingati supaya masyarakat kita sihat dan harmoni.

SEMANGAT KEJIRANAN

Kepentingan Semangat Kejiranan

1. Perpaduan

Masyarakat majmuk seperti Malaysia wajar menghidupkan kembali budaya hidup berjiran. Semangat kejiranan dapat membentuk perpaduan di kalangan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Kita dapat hidup dalam keadaan yang harmoni dan tenteram.

2.Bertanggungjawab

Selain itu, individu juga mendapat kesedaran mengenai peranan dan tanggungjawab dalam hal ehwal kemasyarakatan. Jiran dapat menghulurkan bantuan dengan segera sekiranya berlaku hal-hal kecemasan melibatkan kesihatan dan kemalangan. Ini adalah kerana jiranlah orang yang paling hampir dengan tempat tinggal kita.

Contoh Karangan – Usaha-usaha Memupuk Semangat Kejiranan

Kelunturan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat pada era globalisasi yang semakin canggih amat membimbangkan kerana bakal menjejaskan struktur sosial kehidupan bernegara. Situasi ini berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk impak daripada perkembangan teknologi maklumat. Penggunaan peralatan elektronik seperti telefon pintar, televisyen, permainan video dan komputer riba memberikan kemudahan untuk masyarakat berinteraksi di alam maya seperti aplikasi Facebook, WhatsApp, Twitter dan sebagainya. Hal Ini menyebabkan masyarakat menganggap bahawa keperluan keluar dari rumah untuk berjumpa dan beramah mesra dengan jiran tetangga tidak penting lagi. Malahan, gaya hidup masyarakat yang terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing turut menyumbang kepada berlakunya situasi ini. Ditambah kos sara hidup yang semakin meningkat, lebih banyak masa dihabiskan untuk mencari pendapatan tambahan berbanding dengan menghabiskan masa bersama-sama keluarga mahupun jiran tetangga. Pada hujung minggu pula, masyarakat lebih suka berehat di rumah atau keluar beriadah bersama ahli keluarga. Tanpa disedari, tanggungjawab sesama jiran tetangga diabaikan sepenuhnya. Lebih memburukkan keadaan, sikap segelintir ibu bapa yang tidak mengizinkan anak-anak keluar bergaul dengan anak-anak jiran merenggangkan lagi hubungan kejiranan dalam kalangan generasi muda. Ibu bapa lebih suka melihat anak-anak berada di rumah bermain telefon pintar, menonton televisyen dan bermain permainan video sehinggakan anak-anak mereka tidak mengenali jiran.

Menyedari kepentingan semangat kejiranan amat penting dalam memastikan kerukunan hidup bermasyarakat, justeru langkah-langkah drastik hendaklah dilakukan. Usaha memupuk semangat kejiranan hendaklah bermula pada peringkat akar umbi, iaitu bermula daripada didikan dalam kalangan anak-anak bak kata peribahasa melentur buluh biarlah waktu rebung. Sudah pasti, dalam pendekatan ini, ibu mempunyai autoriti dalam membentuk peribadi anak-anak. Ibu bapa hendaklah menjadi suri teladan kerana mereka merupakan individu yang paling rapat dengan anak-anak. Sebagai anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa mesti mempunyai semangat kekitaan dan keprihatinan terhadap jiran. Ibu bapa hendaklah mengambil tahu tentang masalah yang dihadapi oleh jiran. Misalnya, ketika jiran sakit tenat, ibu bapa hendaklah menghulurkan bantuan seperti bantuan kewangan, menghantar ke hospital dan memberikan kata-kata semangat. Sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran akan menyebabkan anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka.

Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan atau menghadiri majlis rumah terbuka sempena sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama. Mereka juga berpeluang untuk berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya khabar sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Kesannya, masyarakat akan lebih memahami adat resam, agama dan budaya masyarakat di negara ini. Kehadiran ibu bapa bersama-sama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja dapat mendedahkan anak-anak dengan lebih dekat dengan adat resam sesuatu budaya malah dapat menanamkan semangat hormat-menghormati dalam diri anak-anak. Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan membentuk masyarakat yang bersatu-padu.

Selain itu, ibu bapa hendaklah menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat untuk meningkatkan semangat kejiranan dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak menziarahi jiran tetangga agar anak-anak tahu adab hidup berjiran. Anak-anak dapat melihat tatacara berkomunikasi di samping mengetahui latar belakang jiran. Sebagai contoh, ibu bapa membawa anak-anak menziarahi jiran yang sakit. Amalan ini bukan sahaja dapat membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat malahan dapat mengikis sikap yang diibaratkan seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Melalui pendekatan ini, anak-anak turut mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan.

Selain daripada ibu bapa, masyarakat, badan kerajaan dan badan bukan kerajaan, pihak lain yang boleh memainkan peranan ialah media massa dan media elektronik. Media ini merupakan wahana dominan yang mampu mempengaruhi minda masyarakat dengan cepat dan berkesan. Media juga memainkan peranan yang sangat penting dalam mengorak langkah memupuk kembali semangat kejiranan yang kian pudar dalam kalangan masyarakat. Pihak media cetak, media elektronik dan laman sosial dapat menyebarkan maklumat mengenai semangat kejiranan. Ini adalah disebab maklumat dapat disampaikan dengan lebih cepat. Kesannya, masyarakat akan lebih faham dan mendapat pelbagai maklumat yang mendalam mengenai semangat kejiranan. Sebagai contohnya, alat komunikasi seperti televisyen dan radio dapat menyalurkan mesej penting berkaitan semangat kejiranan, iaitu menghebahkan program yang boleh memupuk semangat kejiranan seperti ceramah agama dan ceramah motivasi. Akhbar dan majalah pula boleh memuatkan rencana tentang aktiviti yang dapat memupuk semangat kejiranan. Melalui media massa dan media cetak, pelbagai maklumat dan berita boleh disampaikan dengan lebih efektif dan konsisten. Benar, berita dan isu semasa yang disiarkan oleh media massa lebih mudah menarik perhatian orang ramai terutamanya generasi muda.

Seterusnya, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Rela, Rukun Tetangga, Persatuan Belia dan Persatuan Penduduk juga memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan semangat kejiranan dalam kehidupan seharian. NGO berperanan sebagai tunjang utama untuk mengadakan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong perdana, rumah terbuka, dan sukan rakyat. Sudah pasti aktiviti berunsurkan kemasyarakatan ini dapat mewujudkan maslahat serampang dua mata secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan silaturahim dan melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas. Rumah terbuka anjuran NGO seperti Perayaan Tahun Baharu Cina, Perayaan Deepavali, dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dihadiri daripada pelbagai kaum dan etnik membenarkan masyarakat meluangkan masa emas untuk berkenalan setelah masing-masing sibuk dengan tugasan hakiki. Dewasa ini, dengan wujudnya badan NGO, mereka secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan tempat tinggal atau taman perumahan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini serta memudaratkan penduduk tempatan seperti membunuh, merogol, dan merompak. Hal ini dapat kita lihat persis kata peribahasa iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan sikap bentuk dalam hidup bermasyarakat. Tegasnya, NGO haruslah aktif tanpa mengira masa dan waktu dan tidak mengamalkan sikap melepaskan batok di tangga.

Tidak dapat dinafikan, kerajaan juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur hendaklah dibentuk supaya dapat membincangkan hal ehwal masyarakat setempat. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Bak kata peribahasa Melayu, ibarat aur dengan tebing, masyarakat yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.

Tuntasnya, usaha memupuk semangat kejiranan bukan terletak pada bahu ibu bapa semata-mata malah semua pihak termasuk badan kerajaan dan bukan kerajaan, masyarakat dan media massa serta media elektronik. Jika hal ini diserahkan dibiarkan berlarutan tanpa langkah pertama diambil, semangat kejiranan akan terhapus dan sudah pasti mempengaruhi perpaduan negara. Oleh itu, semua pihak mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

Program Kenali Jiran

Sebuah Program “Kenali Jiran Kita” telah dilancarkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Program ini telah berjaya menghidupkan kembali amalan dan tradisi semangat kejiranan.
Pelbagai aktiviti dilaksanakan bagi menyemarakkan kembali semangat perpaduan, setiakawan, serta gotong-royong.

Ibarat pepatah Melayu “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”, ia menjelaskan betapa pentingnya nilai muafakat dalam masyarakat terutama dalam hidup berjiran.

1 thought on “Contoh Karangan SPM – Usaha-usaha Memupuk Semangat Kejiranan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *