Satu program kecemerlangan akademik telah diadakan oleh pihak sekolah kamu dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah. Kamu telah ditugaskan untuk menulis berita tentang program kecemerlangan akademik tersebut.
Berita Bengkel Kecemerlangan Akademik
ALOR SETAR, Sabtu – Sekolah Kebangsaan Taman Mergong Jaya dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah menganjurkan Program Kecemerlangan Akademik yang berlangsung dari 15 Mac 2025 hingga 16 Mac 2025. Seramai 85 orang murid Tahun 6 telah menyertai program ini. Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada ibu bapa dan penjaga murid.
Program yang berlangsung di bangunan Menara Jaya ini telah dirasmikan oleh Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, iaitu Tuan Haji Asmee bin Haji Tajuddin. Menurut beliau, objektif program ini ialah untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang teknik pembelajaran yang berkesan. Para peserta juga dibimbing tentang cara menjawab soalan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) dan kaedah pengurusan masa yang cekap. Selain itu, program ini turut bertujuan untuk membentuk murid yang berdisiplin dan berkeyakinan tinggi.
Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang program tersebut. Antara aktiviti yang diadakan termasuklah ceramah motivasi, bengkel menjawab soalan, kembara akademik, dan sesi renungan kendiri. Seramai enam orang guru pakar telah dilantik untuk mengendalikan setiap aktiviti dengan berkesan.
Menurut seorang peserta program, Dhia Irdina binti Ahmad Rafaei, dia sangat gembira kerana berpeluang menyertai program ini. Katanya, dia telah mempelajari pelbagai tip berguna dan kini lebih yakin untuk menghadapi peperiksaan UASA yang akan datang.
Majlis penutupan program telah dirasmikan oleh Yang Dipertua PIBG, Tuan Haji Arif bin Ahmad Saufi. Beliau berharap agar program sebegini dapat melahirkan murid yang cemerlang, berdisiplin dan berakhlak mulia.
Rangka karangan Bengkel Kecemerlangan Akademik
Pendahuluan : tempat peristiwa dan tarikh – Program Kecemerlangan Akademik
Idea 1 : lokasi program kecemerlangan diadakan – jangka masa program – perasmi program
Idea 2 : objektif program kecemerlangan – teknik menjawab soalan – berdisiplin dan yakin diri
Idea 3 : pelbagai bentuk aktiviti – ceramah, bengkel, renungan – dikendalikan oleh Guru Pakar
Idea 4 : menurut seorang peserta – memperoleh banyak ilmu – yakin untuk menghadapi UPSR
Penutup : upacara penutup program – Yang Dipertua PIBG – cemerlang, disiplin, pekerti mulia