Skip to content

Contoh Karangan SPM: Faedah Melancong Dalam Negara

Karangan Faedah Melancong Dalam Negara

Isu pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia menyebabkan rakyat Malaysia hanya boleh melancong dalam negara. Apakah Faedah Melancong Dalam Negara?

Faedah Melancong Dalam Negara

Pada alaf yang penuh cabaran pasca-2020, rakyat Malaysia menghadapi pelbagai dugaan hidup lantaran bebanan kerja sehingga mereka kurang meluangkan masa bersama dengan anak dan isteri. Tambahan pula, isu pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia menyebabkan rakyat Malaysia sentiasa menanti perkhabaran gembira daripada kerajaan agar mereka dapat bebas bergerak untuk melancong ke pelbagai destinasi pelancongan tempatan. Sesungguhnya, aktiviti melancong dalam negara merupakan salah satu terapi terbaik untuk masyarakat Malaysia bebas daripada tekanan.

Mengenali budaya dan warisan negara

Tanpa kita sedari, aktiviti melancong ke destinasi tempatan merupakan aktiviti yang memberi peluang kepada kita untuk mengenali budaya dan warisan negara. Kepelbagaian suku kaum yang terdapat di negara kita telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang memiliki keunikan dari segi budaya, kesenian, makanan, dan perayaan. Kesemua keindahan dan keunikan yang terdapat di negara kita masih belum dilawati atau dikunjungi oleh kebanyakan penduduk di Malaysia. Dengan melancong ke destinasi tempatan, kita dapat mengenali, mengetahui dan memahami budaya bangsa, suku kaum yang terdapat di negara kita. Oleh itu, kita tidak harus melepaskan peluang keemasan jika berpeluang melancong ke dalam negara.

Menjana pertumbuhan eknomi negara

Selain itu, aktiviti melancong ke destinasi tempatan mampu menjana pertumbuhan eknomi negara. Hal ini dikatakan demikian kerana industri pelancongan tempatan negara telah membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat Malaysia. Kepesatan perkembangan industri pelancongan tempatan negara bagai cendawan tumbuh selepas hujan apabila industri perhotelan, inap desa, taman tema dan restoran serta industri pengangkutan telah bertapak di detinasi pelancongan tempatan. Dengan ini, penduduk tempatan berpeluang mengisi kekosongan pekerjaan dan membuka perniagaan kecil-kecilan seperti gerai makan, gerai cenderamata, gerai pakaian dan khidmat sewa kenderaan kecil.

Tidak melibatkan belanja yang besar

Bukan itu sahaja, aktiviti melancong dalam negara merupakan aktiviti yang tidak melibatkan belanja yang besar dan kos yang tinggi. Jika dibandingkan melancong ke luar negara, kos melancong lebih mahal kerana melibatkan kadar pertukaran mata wang asing. Hal ini akan menyebabkan kita terpaksa menanggung kos perbelanjaan yang besar. Berbeza pula jika kita melancong di dalam negara, kos penginapan, sewa kenderaan, perbelanjaan makan dan minum di destinasi tempatan lebih murah berbanding di luar negara. Dengan cara ini, kita dapat menjimatkan wang untuk kegunaan lain. Secara tidak langsung, aktiviti melancong di dalam negara dapat menyumbang pendapatan kepada penduduk tempatan.

Merapatkan hubungan kekeluargaan

Aktiviti melancong ke destinasi pelancongan tempatan mampu menjadi wahana untuk merapatkan hubungan kekeluargaan terutamanya bagi ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja mencari rezeki sehingga terpaksa mengorbankan masa bersama dengan keluarga. Dengan melancong di dalam negara, ibu bapa tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar malah memadai melancong ke detinasi tempatan untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Dalam hal ini, anak-anak akan dapat merasai keseronokan melancong apabila dapat melakukan aktiviti yang dirancang dalam pakej pelancongan seperti aktiviti menyelam, menaiki bot, bermain payung terjun dan pelbagai lagi aktiviti yang menerujakan anak-anak. Tegasnya , aktiviti ini bagai serampang dua mata kerana ibu bapa dapat membawa seluruh keluarga melancong di samping merapatkan hubungan kekeluargaan.

Penutup Karangan Kebaikan Melancong Dalam Negara

Sesungguhnya, banyak manfaat rakyat Malaysia melancong di dalam negara. Oleh itu, semua pihak sewajarnya mengunjungi destinasi pelancongan tempatan agar dapat memupuk rasa cinta akan negara serta bertanggungjawab untuk memastikan detinasi pelancongan tempatan tidak sekadar menjadi gajah putih yang akan terbiar lalu usang ditelan zaman.


Contoh Karangan: Cara Menggalakkan Industri Pelancongan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *