Skip to content

Contoh Karangan Faktor Pemilihan Kerjaya bagi Remaja

Karangan Faktor Pemilihan Kerjaya

Kerjaya merupakan perkembangan dan kemajuan seseorang dari segi pekerjaan. Remaja sentiasa bimbang akan kerjaya masa depan mereka. Huraikan faktor-faktor pemilihan kerjaya bagi seseorang remaja.

Faktor Pemilihan Kerjaya Bagi Seseorang Remaja

Dalam meniti arus kemodenan ini, sektor pekerjaan semakin mencabar sementelah pula situasi sekarang ini banyak orang yang dibuang kerja atau ditamatkan perkhidmatannya, seseorang remaja haruslah lebih bijak dalam mengatur perjalanan kerjaya mereka. secara umumnya, kerjaya bermaksud pekerjaan untuk mencari nafkah hidup. Pada hari ini, pelajar seharusnya sudah menetapkan matlamat kerjaya mereka agar tidak tercari-cari atau terikut-ikut dengan matlamat orang lain. Oleh itu, remaja perlu mencari panduan dalam memilih kerjaya. Persoalannya ialah apakah faktor-faktor pemilihan kerjaya bagi seseorang remaja?

Minat dan kecenderungan remaja

Antara faktor yang signifikan dalam perbincangan ini ialah minat dan kecenderungan remaja dalam sesuatu bidang. Hal ini dikatakan demikian kerana kedua-dua aspek ini mempengaruhi kerjaya seseorang remaja. Sebagai contoh, jika remaja meminati komputer dan teknologi, maka remaja mempunyai kecenderungan dalam bidang kursus sains komputer. Begitu juga bagi remaja yang suka membaiki mesin seperti enjin motosikal. Maka kecenderungannya ialah kursus teknikal. Dengan cara ini, remaja akan lebih fokus pada minat dan kecenderungannya dalam sesuatu bidang. Secara tidak langsung mereka akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita dan kerjaya mereka.

Memilih jurusan yang berkaitan dengan kerjaya

Selain itu, pelajar juga perlulah memilih jurusan yang berkaitan dengan kerjaya mereka. Lazimnya, apabila berada di alam persekolahan, pelajar akan dipecahkan mengikut jurusan sains atau sastera. Sebagai contoh, pelajar yang bercita-cita dalam bidang akaun memasuki jurusan sastera dan mengambil kelas akaun. Hal ini akan memudahkan pelajar apabila ingin memohon belajar di universiti dan seterusnya bekerja dalam bidang yang diminatinya. Secara tidak langsung, pelajar akan lebih fokus dalam mengejar cita-cita dan kerjaya mereka. Jelasnya, pemilihan jurusan dan mata pelajaran menjadi penentu dalam kerjaya seseroang.

Pengaruh daripada idola atau tokoh

Tidak dinafikan, pemilihan kerjaya juga berdasarkan pengaruh daripada idola atau tokoh dalam sesuatu bidang. Lazimnya, pelajar akan menjadikan ahli keluarga sebagai idola mereka. Mereka bercita-cita menjadi doktor kerana terpengaruh oleh kerjaya abang atau kakak yang menjadi doktor. Selain itu, pelajar juga terpengaruh oleh tokoh sukan negara seperti Datuk Lee Chong Wei. Hal ini menyebabkan pelajar akan bersungguh dalam kerjaya sukannya demi mencapai kejayaan yang pernah dikecapi oleh tokoh sukan negara. Secara tidak langsung, mereka memiliki keazaman yang tinggi untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya mereka. Tegasnya, dayung sudah ditangan, perahu sudah di air, remaja perlu mempunyai seorang idola untuk menghala ke arah pemilihan kerjaya.

Mendapat sokongan daripada ibu bapa

Faktor pemilihan kerjaya terakhir ialah kerjaya idaman remaja mestilah mendapat sokongan daripada ibu bapa. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa lebih mengetahui sesuatu kerjaya itu sesuai atau tidak dengan perwatakan anak mereka. Walaupun kemungkinan berbeza pandangan, remaja seharusnya akur dengan nasihat dan teguran ibu bapa. Dengan cara ini kerjaya remaja akan diberkati dan mendapat sokongan serta doa daripada ibu bapa. Oleh itu remaja tidak seharusnya melupakan jasa ibu bapa yang telah banyak memberi tunjuk ajar kepada mereka. Tegasnya, ibu bapa menjadi panduan kerjaya anak-anak.

Penutup karangan Faktor Pemilihan Kerjaya

Secara keseluruhannya, remaja yang sedang mencari arah tuju kehidupan ini haruslah bijak menilai mana kaca mana permata agar tidak menjadi seperti batu yang bergolek tidak akan melekat lumut. Oleh itu, remaja perlulah bijak melakukan timbang tara agar dapat memastikan kerjaya yang dipohon memenuhi tuntutan dunia dan akhirat. Jika tidak remaja akan terjerumus dalam kerjaya yang membawa kebinasaan.


Contoh Karangan: Cara melahirkan remaja yang bersahsiah mulia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *