Skip to content

Faktor Remaja Merokok dan Usaha Menghentikan

Faktor Remaja Merokok dan Usaha Menghentikan

Fenomena merokok dalam kalangan remaja semakin berleluasa. Huraikan faktor faktor yangmempengaruhi remaja merokok dan usaha usaha yang boleh menghentikan tabiat ini.

Faktor mempengaruhi Remaja Merokok dan Usaha Menghentikan

Belakangan ini, banyak remaja sudah mula merokok. Fenomena merokok dalam kalangan remaja semakin berleluasa dan telah mencapai tahap yang kritikal seperti tiada titik noktahnya. Buktinya, Dr Maizurah Omar, Penyiasat Penilaian Dasar Kawalan Tembakau Antarabangsa telah membuat rumusan berdasarkan kajian terhadap remaja bawah 16 tahun. Daripada seribu responden, 14.7% remaja merokok, 15% cenderung merokok pada masa depan dan 90.6% akan merokok jika diberi rokok. Senario menggemparkan ini tidak boleh dibiar berterusan. Lantas, sebelum nasi sudah menjadi bubur, marilah kita mengkaji faktor yang mempengaruhi remaja merokok termasuklah usaha yang giat dilaksanakan untuk menangani isu ini.

Masalah institusi keluarga

Antara faktor yang mempengaruhi remaja merokok termasuklah masalah institusi keluarga. Keluarga merupakan benteng pertahanan kita sama ada dari segi mental mahupun dari segi fizikal. Keluarga melindungi kita daripada dugaan dan pancaroba di dunia luar. Maka, ibu bapa perlu mencurahkan kasih sayang sepenuhnya bak menatang minyak yang penuh terhadap anak mereka. Namun, sekiranya ibu bapa leka mengejar fatamorgana mereka dalam aspek kebendaan dan mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai pembentuk keperibadian dan sahsiah anak, mereka akan mengalami keruntuhan akhlak lalu melibatkan diri dalam kancah negatif seperti merokok. Jelaslah bahawa institusi keluarga yang kurang sempurna merupakan antara punca dominan yang mempengaruhi remaja merokok.

Pengaruh rakan sebaya

Selain itu, faktor remaja merokok juga disebabkan pengaruh rakan sebaya. Dalam institusi persekolahan, naluri ingin tahu membara dalam diri sanubari remaja dan keinginan yang meluap-luap untuk merasai pengalaman merokok. Perasaan ingin mencuba ini menjadi lebih serius tatkala remaja dicabar oleh rakan sebaya supaya diterima dalam kumpulan mereka. La Rouchefoucauld pernah mengungkapkan “Keinginan paling besar kadang-kadang mempunyai komanya tetapi sifat bermegah mengganggu kita tanpa noktahnya.” Natijahnya, remaja terjerumus ke dalam lembah kejahatan dan menjejaskan kehidupan mereka dengan tabiat merokok. Keputusan akademik akan terjejas dan masa hadapan mereka menjadi gelap. Jelaslah bahawa pengaruh rakan sebaya yang negatif menyumbang kepada peningkatan kadar remaja merokok saban tahun.

Kelonggaran penguatkuasaan undang-undang

Seperkara lagi, kelonggaran penguatkuasaan undang-undang juga merupakan antara faktor yang mendorong remaja merokok. Kini, rokok yang dijual di mana-mana kedai menyebabkan rokok mudah dibeli dengan sewenang-wenangnya walaupun harga rokok telah dinaikkan Berdasarkan soal jawab yang dilaksanakan, 66.7% remaja mudah mendapat rokok walaupun wujud larangannya. Ini menunjukkan penguatkuasaan undang-undang tentang perjualan rokok tidak berkesan. Contohnya, undang-undang menetapkan bahawa peruncit yang didapati bersalah menjual rokok kepada pengguna yang berusia 18 tahun ke bawah boleh dikenakan hukuman. Maka, pelajar yang ditangkap merokok, membeli atau memiliki rokok boleh didenda sehingga RM 1000. Bak kata pepatah, harimau ditakuti sebab giginya. Sekalipun begitu tindakan ini masih belum menampakkan hasil yang diharapkan.

Peranan Ibu Bapa untukmenyemai nilai murni

Untuk menangani isu ini, pelbagai usaha harus diimplimentasikan. Bermula dari institusi keluarga, ibu bapa berperanan penting sebagai entiti mithali dalam menyemai nilai murni ke dalam sanubari anak mereka sejak kecil lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Mereka juga patut meluangkan masa untuk melakukan aktiviti bersama anak mereka seperti berkelah, bersiar-siar di taman dan sebagainya. Maka, remaja tidak akan kehausan kasih sayang dan membesar menjadi individu yang berkualiti dan bersahsiah positif. Remaja sebegini pastinya akan menjauhkan diri daripada gejala negatif seperti merokok untuk menjaga maruah diri serta imej keluarganya. Terbuktinya kepentingan peranan ibu bapa dalam menangani isu merokok dalam kalangan remaja.

Pendidikan moral dan sivik kewarganegaraan

Selain itu, institusi persekolahan juga memainkan peranan yang signifikan dalam menghentikan tabiat merokok dalam kalangan muda. Pendidikan moral dan sivik kewarganegaraan perlu diberikan tekanan sejak bangku sekolah lagi. Barisan pendidik patut mendedahkan keburukan merokok kepada anak murid dan menyemai nilai murni yang baik dalam jiwa mereka. Pihak sekolah pula boleh mengadakan pelbagai aktiviti yang menyebarkan mesej yang betul seperti pertandingan melukis poster PPDA, pertandingan mendeklamasikan sajak bertemakan Anti-Dadah dan lain-lain. Usaha ini harus dilaksanakan berlandaskan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jelaslah bahawa masalah merokok dalam kalangan remaja perlu dibanteras dari akar umbi.

Kempen kesedaran melaluimedia massa

Usaha yang lain ialah peranan media massa. Pelancaran pelbagai kempen oleh pihak kerajaan patut disebarkan melalui media massa seperti radio, televisyen dan sebagainya.  Dengan kaedah ini, rakyat Malaysia didedahkan kepada pelbagai maklumat tentang kemudaratan tabiat merokok. Kerajaan juga melancarkan program berkaitan keburukan merokok untuk kanak-kanak dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan. Misalnya, Kempen “Tak Nak Merokok” yang dilancarkan saban tahun. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih. Terbuktilah bahawa usaha ini perlu giat dilancarkan untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan muda dan bukan seperti melepaskan batuk di tangga sahaja.

Kesimpulan Karangan Merokok

Tuntasnya, rokok merupakan musuh utama manusia. Semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk menangani gejala ini dan mengelakkannya daripada menular dalam masyarakat kita. Maka, remaja perlu menjaga maruah diri juga dengan menjauhkan diri daripada tabiat merokok. Imam al-Bukhari pernah mengungkapkan “Jika kamu ingin melihat masa hadapan negara, lihatlah golongan remaja yang ada sekarang.” Remaja yang berkualiti merupakan aset negara yang berharga. Ralph Waldo Emerson pula berkata “Kesihatan ialah gambaran kebijaksanaan dan petunjuk pada kegembiraan”. Demi kesihatan kita, demi masa hadapan kita, katakan “Tidak” terhadap rokok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page