Skip to content

Karangan SPM Cara Melahirkan Generasi Berilmu Pengetahuan

Cara Melahirkan Generasi Berilmu Pengetahuan

Pelajar boleh mendapatkan manfaat daripada tabiat membaca. Apakah langkah yang perlu diambil oleh ibu bapa untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan?

Peranan Ibu Bapa untuk melahirkan generasi cinta akan ilmu pengetahuan

Pada alaf norma baharu yang terkesan dengan fenomena pandemik Novel Coronavirus- 19 (COVID-19), ibu bapa berpeluang mengambil manfaat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menggalakkan anak-anak membaca bahan-bahan ilmiah sebagai persediaan menggantikan sesi persekolahan yang tergantung akibat pandemik tersebut. Bagi mengelakkan anak-anak melakukan aktiviti yang tidak berfaedah di rumah, maka ibu bapa merupakan insan yang bertanggungjawab untuk melahirkan anak yang berilmu, bersahsiah baik dan dihormati oleh orang lain. Persoalannya, apakah langkah bestari yang perlu diambil oleh ibu bapa untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan?

Membawa anak ke pameran buku

Salah satu langkah yang lazim dilakukan oleh ibu bapa dalam menggalakkan anak mereka membaca bahan ilmiah adalah dengan membawa mereka ke pameran buku atau pesta jualan buku. Pameran Buku Antarabangsa yang diadakan di PWTC selalu menjadi destinasi kunjungan ibu bapa membawa anak -anak membeli buku yang bersesuaian dengan minat dan kecenderungan mereka. Dalam hal ini, ibu bapa amat penting untuk memainkan pernan dengan membimbing anak-anak agar dapat memilih buku berkualiti yang mampu membina pemikiran atau minda anak-anak. Tegasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak mereka ke pameran buku merupakan salah satu langkah efektif yang melahirkan minat anak-anak untuk membaca karya-karya ilmiah .

Menjadi contoh ikutan anak-anak

Bagaimana acuan, begitulah kuihnya merupakan peribahasa yang perlu difahami oleh ibu bapa agar mereka dapat menjadi contoh ikutan anak-anak dalam pelbagai aspek sama ada dari segi tingkah laku atau tutur kata. Begitu juga dalam aspek membaca, ibu bapa harus menunjukkan tabiat membaca di hadapan anak-anak agar mereka turut membaca. Sikap ibu bapa seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus tidak harus menjadi amalan dalam sesebuah keluarga. Jelasnya, ibu bapa harus sentiasa membaca agar menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak kerana anak-anak akan menjadikan tabiat membaca sebagai satu amalan ke mana-mana sahaja mereka pergi seperti ibu bapa mereka.

Menggalakkan anak-anak membaca bahan bacaan berkualiti

Di samping itu, untuk menggalakkan anak-anak membaca bahan bacaan yang berkualiti dan berilmiah, ibu bapa perlu membeli bahan-bahan bacaan yang sesuai dengan kecederungan serta minat mereka. Ibu bapa mestilah sanggup untuk membelanjakan wang membeli bahan bacaan ilmiah ini dan menganggap buku-buku ini sebagai satu pelaburan jangka panjang untuk masa depan anak mereka. Secara tidak langsung, anak-anak akan tertarik untuk membaca bahan bacaan yang dibeli oleh ibu bapa mereka seterusnya menyuburkan minat untuk membaca bahan-bahan yang berkualiti. Oleh itu, anak-anak yang dipupuk dengan budaya membaca, pasti dapat membentuk jati diri, minda yang sihat dan berpengetahuan tinggi.

Membina tabiat anak untuk membaca

Seterusnya, ibu bapa perlulah kreatif dalam membina minat dan kecenderungan anak- anak ke arah tabiat membaca bahan ilmiah dan berkualiti dengan cara mendaftarkan anak mereka di Perpustakaan Negara. Mereka akan berasa teruja apabila memasuki Perpustakaan Negara. Sebagai ibu bapa, ketika inilah masa terbaik untuk menunjukkan buku-buku berkualiti yang perlu dibaca oleh anak-anak. Secara tidak langsung, anak-anak dapat membezakan bahan bacaan yang bermutu dan bahan bacaan yang tidak berkualiti. Tegasnya, ibu bapa perlulah menggalakkan anak-anak menyertai Program Nilam yang dianjurkan di sekolah atau di perpustakaan

Penutup Karangan tentang ilmu pengetahuan

Secara konklusinya, dapatlah kita rangkumkan bahawa untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan, ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak- anak membaca bahan-bahan ilmiah. Sesungguhnya, hanya jauhari yang mengenal manikam.


Contoh Karangan: Kepentingan Amalan Membaca
Contoh Karangan: Cara-cara memperoleh kecemerlangan akademik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *