Skip to content

Karangan Langkah mengeratkan hubungan kekeluargaan

mengeratkan hubungan keluarga Karangan Langkah mengeratkan hubungan kekeluargaan

Isu penderaan, perceraian dan gejala sosial sering berlaku sebab daripada masalah dalam keluarga. Huraikan cara cara yang perlu dilakukan keluarga untuk mengeratkan hubungan keluarga.

Cara mengeratkan hubungan keluarga

Seperti yang kita sedia maklum, slogan ‘Baiti, Jannati’ atau ‘Rumahku, Syurgaku’ sering singgah di kuping kita dilihat sangat gah. Ironinya, slogan itu hanyalah tinggal slogan kerana masalah dalam hubungan keluarga terus menjadi polemik dan paparan di media massa arus perdana. Contohnya, isu penderaan, perceraian dan gejala sosial hanyalah sebahagian daripada masalah dalam keluarga yang sering menadi topik perbincangan. Buktinya, statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan bahawa Selangor mencatatkan bilangan pasangan Islam bercerai paling tinggi dengan pola perceraian di Malaysia meningkat.

Selain itu, terdapat pasangan yang berkahwin kurang lima tahun sudah mengalami kegoyahan rumah tangga ibarat peribahasa retak menanti belah. Apabila menyedari hakikat ini, ibu bapa seharusnya mencari jalan untuk menyelamatkan mahligai yang dibina dengan melakukan aktiviti yang sesuai. Persoalannya, apakah aktiviti-aktiviti yang perlu dilakukan keluarga untuk mengeratkan hubungan keluarga?

Makan bersama-sama

Antara cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dengan anak-anak untuk mengeratkan hubungan keluarga ialah keluarga boleh makan bersama-sama. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa yang sibuk mencari rezeki sering mengabaikan tanggungjawab ini kerana kekangan masa. Oleh itu, mereka akan memberikan wang kepada anak-anak untuk makan di luar sehingga mereka tidak betah untuk makan di rumah. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menjadikan waktu malam dan hari cuti sebagai hari wajib untuk berkumpul dan makan bersama-sama.

Sebelum makan, anak-anak juga perlu membantu ibu bapa seperti memotong sayur, menyusun pinggan mangkuk dan memasak hidangan. Selepas makan pula, anak-anak boleh mencuci pinggan mangkuk dan mengelap meja makan. Kesannya, ibu bapa boleh bertanyakan masalah anak-anak dan memberikan jalan penyelesaian kerana kehidupan remaja sememangnya dipenuhi onak dan duri. Pada masa itu juga, ibu bapa boleh memberikan buah fikiran agar anak-anak mendapat jalan penyelesaian seterusnya menggalakkan komunikasi yang berkesan.

Aktiviti riadah

Di samping makan bersama-sama, keluarga juga boleh melakukan aktiviti riadah pada masa senggang. Umum mengetahui bahawa terdapat ramai ibu bapa yang terpaksa kerja lebih masa pada hujung minggu sehingga anak-anak terpaksa mencari hiburan dengan rakan- rakan hingga terperangkap dalam kancah gejala sosial. Buktinya, kajian ahli psikologi mendapati bahawa anak-anak yang kurang perhatian dan kasih sayang akan mudah terjebak dengan masalah sosial demi meraih perhatian. Misalnya, ibu bapa perlulah membawa anak- anak pergi makan angin dengan melancong dan berkelah ke tempat-tempat menarik seperti Pulau Tioman, Pantai Cenang atau Hutan Simpan Belum.

Tambahan pula, ibu bapa boleh melakukan aktiviti yang menarik seperti membina istana pasir, berkhemah, melakukan barbekue atau meneroka hutan. Pada masa ini, ibu bapa janganlah melakukan kerja pejabat sebaliknya melayan anak-anak bermain-main. Natijahnya, anak-anak akan berasa diri mereka dihargai lalu mengelakkan diri melakukan perkara yang boleh menconteng arang ke muka ibu bapa.

gotong-royongmelakukan kerja rumah

Bukan itu sahaja, untuk mewujudkan keluarga bahagia, ahli keluarga boleh bergotong-royong melakukan kerja rumah. Seperti yang kita sedia maklum, ibu bapa di kota metropolitan kebiasaannya bekerja dan mereka sudah letih apabila pulang ke rumah. Oleh hal yang demikian, anak-anak boleh membantu ibu bapa mengemas rumah seperti menyapu sampah, mengemop lantai dan mengemas ruang tamu. Dalam pada itu, pembahagian kerja antara adik-beradik boleh dilakukan mengikut kesesuaian usia dan tenaga kerana muafakat membawa berkat. Di samping itu, pada hujung minggu, ibu bapa boleh mengajak anak-anak membersihkan kawasan persekitaran seperti menebas rumput dan membersihkan longkang. Implikasinya, langkah ini dapat mengurangkan beban ibu bapa yang telah gigih membanting tulang empat kerat. Semangat bekerjasama dan bertolak ansur juga dapat dipupuk dalam sanubari ahli keluarga.

Penutup Karangan

Secara konklusinya, terdapat berbagai-bagai aktiviti yang perlu dirancang dan dilaksanakan oleh ibu bapa dengan anak-anak untuk mewujudkan keluarga yang bahagia. Sehubungan dengan itu, semua pihak perlulah bekerjasama dalam meletakkan tanggungjawab ini di atas bahu masing-masing kerana peribahasa ada menyatakan bahawa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Benarlah seperti yang dinukilkan oleh Allahyarham P. Ramlee menerusi lirik lagu ‘Sedangkan Lidah Lagi Tergigit’, perselisihan faham antara suami dengan isteri pasti berlaku. Oleh itu, pasangan hendaklah mengamalkan prinsip bertolak ansur dan berhemah dalam menyelesaikan masalah keluarga.

Dalam pada itu, kerajaan hendaklah mengeluarkan garis panduan tentang larangan masa bekerja lebih waktu kepada individu yang telah berkahwin demi menjaga keharmonian rumah tangga. Pihak swasta juga tidak boleh melepaskan tanggungjawab kerana mereka boleh menganjurkan kursus dan seminar seperti Keluarga Sakinah demi bersama-sama memikul obligasi ini. Semoga dengan usaha yang bersepadu ini, impian kudus untuk mewujudkan keluarga yang bahagia dapat direalisasikan dengan jayanya.

1 thought on “Karangan Langkah mengeratkan hubungan kekeluargaan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page