Skip to content

Impian untuk menjadi individu kebanggaan keluarga

Impian untuk menjadi individu kebanggaan keluarga

Setiap anak seharusnya mempunyai impian untuk menjadi individu kebanggaan keluarga. Berikan komen anda.

Tidak dapat dinafikan betapa peri pentingnya keberadaan ibu bapa kerana tanpa mereka berdua, siapalah kita di dunia ini.  Ibu bapalah yang melahirkan, membesarkan dan memberikan kasih sayang kepada anak-anak.  Tugas bapa adalah untuk mencari nafkah untuk keperluan segenap isi keluarga malahan ibu pula telah melahirkan kita.  Tidakkah kita teringin untuk membalas jasa mereka walaupun sebenarnya kita tidak mampu? 

Bagi saya, anak-anak perlu memberikan kasih sayang, menghormati dan mentaati mereka. Kenapa wujudnya golongan yang menderhaka kepada ibu bapa?  Jika difikirkan, ibu bapalah yang mencorakkan kita umpama kain putih dengan pelbagai corak dan warna yang menarik. Jadi, menapa kita harus menderhakai mereka?  Ibu bapa orang yang paling rapat dalam kehidupan kita dan memahami kah  gerak geri serta tingkah laku kita.  Sebagai contoh, apabila kita pulang ke rumah selepas tamat persekolahan, sudah pastinya makanan telah terhidang di atas meja sedangkan kita tidak memintanya.  Jelaslah di sini, ibu bapa menjaga kita seperti menatang minyak yang penuh bagi memastikan kita mendapat apa-apa yang kita kehendaki.  Oleh itu, setiap anak seharusnya mempunyai impian untuk menjadi individu kebanggan keluarga.

Bagaimana menjadi individu kebanggaan keluarga?

Perkara pertama yang boleh dilakukan oleh seorang anak adalah dengan mencari ilmu.  Seperti yang kita ketahui, ibu bapa ingin melihat anaknya berjaya dan tiada ibu bapa yang ingin melihat anaknya gagal dalam kehidupan.  Misalnya, ibu bapa bertungkus lumus mencari pendapatan untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah bahkan ada sesetengah ibu bapa yang bersengkang mata dan membanting tulang empat kerat semata-mata melakukan beberapa pekerjaan dalam satu-satu masa untuk memberikan pendidikan kepada anak-anaknya.  Oleh hal yang demikian, kita sebagai anak perlu membalas jasa mereka dengan menimba ilmu.  Ilmu amat berharga persis mutiara yang bersinar. Justeru, mutiara itu hendaklah selalu digilap aga ilmu tersebut lebih bernilai. 

Hakikatnya, kita seharusnya bersungguh-sungguh menimba ilmu agar menjadi insan yang berjaya pada masa hadapan.  Malahan, dengan kejayaan yang dimiliki dapat membanggakan keluarga terutama ibu bapa yang banyak berkorban kepada anak-anak.  Jadi, anak-anak yang telah berjaya janganlah seperti kacang lupakan kulit kerana ibu bapalah yang bersungguh-sungguh dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna.  Janganlah kita mengetepikan mereka selepas kita berjaya, sebaliknya tunjukkanlah kejayaan kepada mereka dan bahagiakan mereka.  Sesungguhnya, melihat anak mereka berjaya merupakan suatu detik terindah buat mereka.  Oleh itulah, janganlah kita menunjukkan tindak-tanduk yang boleh mematahkan hati dan harapan mereka.  Misalnya, meninggikan suara, tidak menghormati malah lebih teruk iaitu menghantar mereka ke rumah  orang tua-tua.  Jelaslah di sini, jika kita menimba ilmu, kita tidak akan melakukan perkara yang melanggar norma-norma masyarakat.

Seterusnya, anak-anak perlu membalas jasa ibu bapa.  Sebagai contohnya, anak-anak haruslah menjaga ibu bapa sehingga ajal mereka sudah tiba.  Hal ini adalah satu cara untuk menjadi individu kebanggan keluarga.  Anak-anak juga boleh memberikan sedikit wang perbelanjaan kepada ibu bapa mereka sebagai tanda terima kasih kepada ibu bapa.  Pada masa yang sama, hal ini akan dapat menggembirakan dan menyenangkan hati ibu bapa.  Sesungguhnya, hidup ini ibarat roda jika kita tidak menghormati ibu bapa kita, anak-anak kita juga tidak akan menghormati kita.  Oleh itu, kita perlu  mengerah keringat untuk membalas jasa mereka.  Dalam agama Islam juga menyuruh umat-Nya menghormati ibu bapa dan suruhan itu jugalah yang merupakan tiket untuk memasuki syurga.  Di samping itu, anak yang berjaya ialah anak yang menghormati kedua-dua orang tua mereka.  Justeru, kita hendaklah memberikan sepenuh kasih sayang kepada mereka agar mereka sentiasa mendoakan kesejahteraan kita pula.   Dari kecil, kita sudah diajar cara beradab dengan ibu bapa tetapi mengapa  anak-anak pada zaman sekarang ini sering tidak menghormati ibu bapa dan ahli keluarganya?  Adakah kerana mereka sudah berjaya selayaknya mereka sombong?  Ingatlah anak-anak, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Selain itu, kita seharusnya menyayangi kedua-dua ibu bapa.  Anak yang menjadi kebanggaan keluarga ialah anak yang mentaati ibu bapa dan melakukan syariat Islam.  Menghormati ibu bapa adalah salah satu syariat Islam yang amat dituntut.  Jika kita berpegang teguh pada prinsip ini, insya-Allah kita akan berjaya di dunia dan di akhirat.  Jadi, menyayangi mereka adalah salah satu cara menghormati ibu bapa.  Contoh lain yang boleh diketengahkan ialah anak-anak perlu menjaga mereka ketika sakit, menyediakan tempat tinggal dan sentiasa menziarahi mereka.  Hal ini akan membuatkan mereka berasa disayangi dan akan meredai segala yang kita lakukan.  Realitinya, doa paling baik dan mustajab ialah doa daripada ibu bapa.  Jadi, kita seharusnya sentiasa memohon restu dan keredaan mereka sepanjang mengharungi onak dan duri dalam meniti kehidupan.  Kita juga seharusnya mewujudkan keluarga sakinah supaya kehidupan kita diberkati kelak.  Ibu bapa tidak mengharapkan anak-anak mengharapkan anak-anak mereka memperoleh keputusan cemerlang malahan mereka amat berharap anak-anaknya menghormati mereka.  Jelaslah bahawa setiap anak seharusnya mempunyai impian untuk menjadi individu kebanggaan keluarga.

Kesimpulannya, banyak cara yang boleh dilakukan oleh anak-anak dalam memastikan mereka menjadi individu kebanggaan keluarga.  Jadi, tiada sebab untuk kita lari daripada peranan kita sebagai anak-anak.  Ibu bapa yang telah mengorak langkah membentuk keperibadiaan anak-anak sejak awal sudah pasti akan berasa bangga dan bahagia kelak.   Jadi, usahlah kita menidakkan tanggungjawab kita sebagai anak adalah sangat besar.  Justeru,  anak-anak perlulah menyusun strategi bagi memastikan mereka akan menjadi kebanggaan keluarga suatu hari nanti.  Tuntasnya di sini, ibu bapa dan keluarga haruslah diberi perhatian sewajarnya kerana merekalah insan yang paling rapat dan sentiasa ada di sisi kita sama ada susah mahupun senang.  Jelaslah, kita seharusnya sentiasa ingat dan menjalankan obligasi sebagai anak yang dapat menjadi kebanggaan keluarga kelak.  Terserlah bahawa jika kita berjaya, sebenarnya kejayaan itu datangnya daripada hasil didikan ibu bapa kita sejak usia kita setahun jagung lagi.  Jikalau tiada ibu bapa kita yang melentur buluh dari rebungnya, tidaklah seseorang anak itu berjaya sehingga sekarang. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *