Skip to content

Isu Internet (PMR)

Rangka Karangan

Internet mampu menyebarkan maklumat dengan meluas dan murah. Namun, menyebar luaskan maklumat melalui internet boleh menjadi ancaman kepada adat, norma, dan nilai masyarakat sesebuah negara. Ulaskan pernyataan di atas.

Internet merupakan satu penemuan teknologi yang mula mendapat tempat dalam kalangan manusia kini. Malah penggunaan internet sudah dianggap sebagai satu perkara lumrah kehidupan. Mereka yang tidak tahu menggunakan internet dianggap sudah ketinggalan dalam zaman yang penuh cabaran ini. Penggunaan internet telah menyebabkan penyebaran maklumat menjadi lebih meluas dan murah sehingga memberi pelbagai kesan kepada kehidupan manusia.

Penyebaran maklumat secara meluas dan murah telah memberi satu identiti kepada internet iaitu sebagai penyebar berita palsu atau khabar angin. Penggunaan internet dalam soal ini amat ketara terutama oleh golongan yang mahu melihat kemusnahan sesebuah negara. Penyebaran khabar angin amat berkesan melalui internet kerana penggunaannya yang meluas dan mudah terutama di kalangan remaja. Internet juga tidak mempunyai sistem penapisan yang ketara atau berkesan seperti media massa yang lain.

Masyarakat juga sudah taksub dengan penggunaan internet dengan tidak lagi mengamalkan aktiviti kunjung mengunjungi satu sama lain terutama antara jiran atau sahabat. Hubungan “siber” (cyber) lebih meluas sekarang terutama dengan adanya program dalam internet yang memudahkan seseorang itu berbual dengan orang lain tanpa perlu bersemuka dengannya. Interaksi antara jiran bukan sahaja terhapus malah hubungan ini boleh menyebabkan berlakunya penipuan dan perkara yang kurang baik kerana ketiadaan pengenalan diri yang jelas.

Malah yang mengejutkan sekarang ialah sudah wujud budaya mengirim kad melalui internet dan bukan melalui kad yang dipenuhi dengan tulisan tangan seseorang. Budaya menulis dan menghantar kad akan semakin hilang ditelan zaman dan diambil oleh kad elektronik yang lebih canggih dan mengikut peredaran masa. Kemungkinan hilangnya budaya menghantar kad ketika menyambut hari lembaran tidak dapat dinafikan lagi.

Internet merupakan tempat tumpuan manusia mendapatkan bahan yang berunsur lucah. Penggunaan internet dalam aspek ini amat memalukan dan memang bertentangan dengan budaya manusia sejagat. Cuma yang menyedihkan ialah semakin ramai golongan remaja malah kanak-kanak yang melihat bahan lucah ini atau terlibat sama dalam penyebarannya. Penggunaan internet bukan sahaja setakat menyebarkan bahan lucah tetapi penggunaan imej digital internet turut meningkatkan gejala ini dengan menggunakan muka orang lain dan badan orang yang lain pula.

Kerajaan mengawal pembacaan beberapa buah buku dan majalah serta berita di negara ini demi menjaga keamanan negara. Namun dengan adanya internet semua buku, bahan atau berita yang diterbitkan tidak lagi mampu dikawal oleh kerajaan kerana internet tidak mempunyai sempadan dan sukar untuk dikawal. Keadaan ini menyebabkan masyarakat mudah disogok dengan buku dan berita yang tidak tepat atau kurang sesuai dengan peringkat umur mereka sehingga boleh menimbulkan satu keadaan yang mengancam keselamatan negara.

Berkaitan dengan penerbitan buku di atas, internet secara tidak langsung turut melanggar undang-undang harta intelek iaitu penulis buku atau syarikat penerbit buku. Penerbitan buku dalam internet biasanya dibuat tanpa kawalan dan ini boleh menyebabkan kerugian terutama kepada penulis dan penerbit buku tersebut. Keadaan ini jika tidak dikawal akan menyebabkan tiada lagi penulis atau penerbit yang mahu menerbitkan buku mereka untuk tatapan pembaca biasa.

Bukan sahaja buku dan berita yang tidak sihat boleh ditemui dalam internet tetapi penyiaran iklan yang tidak sesuai turut ada di dalam sistem canggih itu. Penyebaran iklan yang tidak sihat atau tidak dikawal oleh pihak berkuasa boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat. Bagaimana perkara atau iklan ini boleh membawa kesan negatif kepada masyarakat? Kita semua sedia maklum bahawa masyarakat terutama remaja suka meniru sesuatu terutama yang mereka nampak atau dengar. Jadi di sinilah peranan iklan yang tidak sesuai di internet berlaku.

Kesimpulannya, masalah penggunaan internet yang tidak sihat ini perlu dikawal oleh kerajaan dengan bersungguh-sungguh. Keengganan kerajaan bertindak tegas dalam persoalan ini boleh membawa kesan buruk kepada negara dalam jangka masa panjang. Masyarakat pula perlu lebih pandai menapis dan memilih bahan dalam internet agar mereka tidak terpedaya dengan golongan tertentu yang cuba menghancurkan keamanan negara kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *