Skip to content

Karangan SPM : Ciri-ciri generasi berwawasan

Ciri-ciri generasi berwawasan

Generasi berwawasan merupakan tonggak pembangunan negara yang dapat menyerbakkan keharuman nama negara kita di persada antarabangsa. Huraikan pendapat anda tentang ciri-ciri generasi berwawasan demi kejayaan negara kita.

Ciri-ciri generasi berwawasan demi kejayaan negara

Dalam meniti era globalisasi ini, generasi yang berwawasan merupakan pelapis dan peneraju kepada kemajuan dan pembangunan negara. Generasi berwawasan dapat ditafsirkan sebagai golongan muda yang mempunyai cita-cita. Sememangnya, generasi seperti ini dapat menjadi penggerak kepada wawasan negara kita. Kita boleh menjadi generasi berwawasan jika kita sentiasa berfikiran kehadapan. Generasi muda terutamanya golongan remaja perlulah sentiasa bermuhasabah dan membaiki kelemahan diri ,bak kata pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Justeru, jika ada sasaran yang positif dalam hidup, kita perlulah melengkapkan diri dengan beberapa ciri untuk menjadi generasi yang berwawasan.

Semangat patriotik yang menebal

Salah satu ciri-ciri generasi berwawasan ialah memiliki semangat patriotik yang menebal dalam diri. Individu yang berwawasan akan sanggup mencari pengalaman baru untuk berada pada tahap yang tinggi. Seperti kata peribahasa Jepun “pengalaman ialah ibu segala kejayaan”. Selain itu, jika generasi muda di Malaysia mempunyai rasa cinta akan negara yang mendalam atau dalam erti kata lain semangat patriotik yang tinggi, secara tidak langsung perkara ini dapat memberikan suntikan semangat supaya menjadi lebih cekap dan dinamik untuk bersaing diperingkat global bagi memastikan negara kita berupaya serta berdaya saing dalam era ekonomi dunia yang semakin mencabar.

Dinamik dalam progresif menjalankan tugas

Seseorang individu yang berwawasan sentiasa dinamik dalam progresif dalam menjalankan sesuatu tugas. Dinamik dapat diertikan sebagai perubahan yang lebih baik daripada sebelumnya. Individu yang dinamik tidak boleh memiliki ciri-ciri negatif seperti mudah berputus asa sebaliknya perlu ada semangat tidak jemu untuk menimba ilmu yang begitu meluas. Dalam mengejar kejayaan, individu yang berwawasan seharusnya sanggup menghadapi cabaran tanpa berputus asa kerana tidak ada kejayaan yang datang bergolek. Hal ini demikian kerana, dalam dunia ini bukan senang untuk menjadi senang dan bukan susah untuk mendapat kesusahan. Negara yang pesat membangun seperti Malaysia memerlukan generasi yang memiliki ciri-ciri ini untuk mencapai kemajuan dalam setiap aspek.

Berpengetahuan luas

Selain itu, remaja perlu mempersiapkan diri dengan berpengetahuan luas dan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam pelbagai bidang. Sebagai contoh, mereka perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan dari pelbagai aspek, seperti ekonomi, politik dan sosial. Hal ini penting kerana apabila seseorang itu mempunyai ilmu pengetahuan yang mencakupi semua bidang, mereka akan dapat membuat penilaian dan keputusan yang bijak dan rasional. Golongan ini juga perlulah menanamkan sifat tidak jemu dalam menimba ilmu pengetahuan ,bak kata pepatah “hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih”. Ilmu yang diperoleh hendaklah dipraktikkan supaya tidak menjadi sia-sia sahaja. Selain itu, bagi merealisasikan impian negara, generasi muda sekarang perlulah mempunyai sifat keterbukaan. Hal ini kerana apabila golongan ini mempunyai sifat sedemikian, mereka lazimnya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain.

Berusaha bersungguh-sungguh

Di samping itu, individu yang berwawasan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh supaya dapat bersaing secara sihat antara satu sama lain. Persaingan yang sihat dapat melahirkan individu yang mempunyai iltizam yang tinggi. Dalam hal ini, setiap individu perlulah berani melakukan perubahan sikap dan minda agar lebih terbuka dan berdaya saing. Individu yang berwawasan juga sentiasa berfikiran terbuka, kreatif dan inovatif dalam melakukan sesuatu perkara. Inovatif membawa maksud mencipta sesuatu yang baik untuk kepentingan diri dan masyarakat. Jika generasi kita tidak memiliki ciri-ciri ini, negara kita akan mundur dan tidak ada peluang untuk bersaing dengan negara lain.

Penutup Karangan Ciri generasi berwawasan

Konklusinya, untuk menjadi generasi yang berwawasan kita seharusnya memiliki ciri-ciri yang tertentu bagi merealisasikan matlamat kita. Sebenarnya, generasi yang berwawasan juga menjadi akar pada pertumbuhan dan pembangunan modal insan yang menjadi agenda utama negara kita. Mereka merupakan tonggak negara yang bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan. Oleh itu, generasi kini perlulah melakukan anjakan paradigma supaya dapat memajukan diri, bangsa,agama, dan negara seterusnya dapat mencapai hasrat negara kita iaitu “generasi muda pelapis dan peneraju wawasan“.


Contoh Karangan: Pembangunan modal insan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You cannot copy content of this page