Kandungan
Mata pelajaran Sejarah sering dianggap kurang penting dan kurang diminati oleh sebilangan pelajar di Malaysia. Pada pendapat anda, apakah kepentingan mempelajari Sejarah dalam pembentukan generasi muda yang seimbang?
Kepentingan Mempelajari Subjek Sejarah
Pada alaf baharu abad ke-21 yang kita alami kini, dunia pendidikan telah menghadapi pelbagai cabaran dan transformasi. Peralihan kaedah pembelajaran konvensional kepada kaedah pengajaran yang lebih bersifat digital telah mengubah landskap pendidikan negara kita. Dalam era perubahan ini, kepentingan mempelajari Sejarah sering dipersoalkan oleh para pelajar yang menganggap mata pelajaran ini kurang relevan dengan kehidupan moden. Hakikatnya, mata pelajaran Sejarah sering dipandang remeh dan kurang mendapat tempat di hati pelajar. Guru-guru perlu menelusuri setiap kekangan dan halangan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran agar dapat mencambahkan minat pelajar terhadap mata pelajaran ini. Persoalan yang berlegar-legar dalam horizon pemikiran kita ialah, apakah kepentingan mempelajari Sejarah dalam membentuk generasi masa hadapan yang cemerlang?
Tidak mengulangi kesilapan masa lalu
Kepentingan mempelajari Sejarah yang utama ialah untuk menghalang generasi muda daripada mengulangi kesilapan masa lalu. Walaupun peristiwa silam berlaku beratus-ratus tahun dahulu, namun tanpa kesedaran sejarah, kita berisiko mengulangi kesilapan yang sama. Hal ini kerana pembelajaran sejarah membolehkan kita menganalisis punca dan akibat peristiwa lampau, seterusnya membuat keputusan yang lebih bijaksana pada masa kini. Seperti kata pepatah, “Jerat tidak pernah melupakan pelanduk, tetapi pelanduk melupakan jerat.” Oleh itu, kepentingan mempelajari Sejarah tidak dapat disangkal lagi kerana ia merupakan panduan berharga dalam membentuk masa depan yang lebih baik dan mengelakkan tragedi sejarah berulang kembali.
Memahami identiti dan budaya bangsa sendiri
Sejarah merupakan cermin yang memantulkan identiti dan budaya sesebuah bangsa. Melalui pembelajaran sejarah, para pelajar dapat memahami asal usul tradisi, adat resam, dan nilai-nilai murni yang diamalkan oleh masyarakat. Sebagai contoh, apabila pelajar mempelajari tentang Kesultanan Melayu Melaka, mereka dapat memahami asas pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia. Kepentingan mempelajari Sejarah dapat dilihat apabila pengetahuan tentang identiti dan budaya sendiri membolehkan pelajar menghargai kepelbagaian warisan budaya yang terdapat di negara kita serta mempunyai pegangan yang kukuh dalam menghadapi arus globalisasi yang semakin mencabar.
Menimbulkan rasa bangga dan cinta akan negara
Selain menjadi iktibar kepada kita, mata pelajaran Sejarah juga dapat menimbulkan rasa bangga, kaum dan cinta akan negara dalam kalangan pelajar. Dengan mempelajari mata pelajaran Sejarah, pelajar akan mengetahui sejarah perjuangan pemimpin terdahulu yang berjuang demi mempertahankan tanahair dan menjadikan bumi Tanah Melayu sebagai sebuah bumi merdeka yang berdaulat. Jasa pemimpin terdahulu akan sentiasa dikenang dari generasi ke generasi kerana harimau mati meninggalkan belang manusia mati meninggalkan nama. Jelas menunjukkan bahawa, sejarah penting untuk dipelajari oleh pelajar.
Perpaduan dan integrasi kaum
Tidak dinafikan juga bahawa perpaduan dan integrasi kaum dapat dipupuk melalui pembelajaran mata pelajaran Sejarah di sekolah. Pelajar mendapat peluang untuk mengenali tokoh-tokoh penting negara kita. Sebagai contoh, perjuangan tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambanthan yang berganding bahu dalam usaha mencapai kemerdekaan membuktikan bahawa perpaduan kaum merupakan kekuatan utama negara kita. Kepentingan mempelajari Sejarah terletak pada keupayaannya menanamkan rasa hormat dan penghargaan dalam kalangan pelajar terhadap sumbangan semua kaum dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Justeru, nilai-nilai kerjasama, toleransi dan persefahaman yang dipupuk melalui pembelajaran Sejarah menjadi asas kukuh dalam membina masyarakat Malaysia yang bersatu padu menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan.

Pembentukan diri pelajar
Satu lagi kepentingan yang tidak boleh dipandang ringan ialah peranan mata pelajaran Sejarah dalam pembentukan sahsiah dan jati diri pelajar. Melalui pembelajaran Sejarah, pelajar bukan sahaja memperoleh ilmu pengetahuan, malah dapat mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis dan analitis. Mereka akan lebih matang dalam membuat pertimbangan dan keputusan kerana telah mempelajari bahawa setiap tindakan membawa kesan jangka panjang, sebagaimana yang ditunjukkan dalam pelbagai peristiwa sejarah. Sebagai contoh, apabila mempelajari tentang kejatuhan empayar-empayar besar akibat salah urus tadbir, pelajar sedar akan kepentingan integriti dalam kehidupan. Seperti kata peribahasa ‘ikut rasa binasa, ikut hati mati’, pembelajaran Sejarah mendidik pelajar untuk sentiasa berhati-hati dan berfikir secara mendalam sebelum bertindak.
Penutup Karangan Kepentingan Mempelajari Sejarah
Secara keseluruhannya, sejarah mungkin berulang lagi dan pasti akan berulang cuma yang berbeza hanyalah watak dan zamannya sahaja. Maka, sejarah lalu harus dijadikan panduan agar pisang tidak berbuah dua kali. Generasi hari ini harus bijak mengkaji sejarah silam agar dapat membezakan antara kaca dengan permata. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah yang proaktif untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran Sejarah lebih menarik agar generasi muda dapat menghayati kepentingan ilmu ini. Sesungguhnya, bangsa yang melupakan sejarahnya adalah bangsa yang menuju kehancuran.
Contoh Karangan: Kepentingan bangunan bersejarah
harap batch 07 berjaya dalam spm !!!!