Skip to content

Contoh Karangan SPM: Tanah Runtuh

KAEDAH-KAEDAH MENGATASI TANAH RUNTUH

Apakah cara-cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi kejadian tanah runtuh?

Kejadian tanah runtuh saban tahun berlaku di Malaysia. Peristiwa tanah runtuh di Highland Towers dan bukit kawasan perumahan Bukit Antarabangsa di Kuala Lumpur merupakan kejadian yang paling tragis dan menyayat hati. Kejadian ini telah meragut berpuluh-puluh nyawa yang tidak berdosa. Kejadian tanah runtuh sering dimomokkan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan aktiviti pembangunan yang tidak terancang.

KAEDAH-KAEDAH MENGATASI TANAH RUNTUH

Antaranya syarikat-syarikat pemaju perlulah meneliti kawasan yang ingin dijadikan lokasi pembinaan sebelum membina sebarang bangunan di kawasan tersebut. Mereka hendaklah melakukan pemeriksaan terhadap keadaan tanah serta kedudukan kawasan itu. Hal ini demikian untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Pemaju juga disarankan agar mendirikan bangunan atau kawasan perumahan di tanah lapang dan rata. Mereka perlu mengelakkan kawasan-kawasan seperti bukit dan sungai. Hal ini demikian kerana, kawasan tersebut merupakan kawasan yang berpotensi tinggi mengalami kejadian tanah runtuh.

Selain itu, badan kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu sentiasa menyelenggara jalan-jalan raya di lereng-lereng bukit. Kebanyakan jalan terutamanya lebuh aya di bahagian utara Malaysia melalui kawasan gunung. Hal ini sangat membahayakan keselamatan pengguna jalan raya. Oleh hal yang demikian,  JKR serta pihak pengurusan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) mestilah sentiasa memantau keadaan di situ kerana bak kata pepatah, malang tidak berbau.

PLUS pula disarankan agar mencari jalan untuk memperbesar lebuh raya. Hal ini demikian supaya para pengguna lebuh raya berasa selamat dengan ruang laluan yang lebih luas lebih-lebih lagi ketika melalui kawasan bukit dan gunung. Selain itu, PLUS mestilah mengutamakan keselamatan pengguna lebuh raya. PLUS hendaklah memasang penghadang di kawasan-kawasan bukit dan gunung bagi mengelakkan tanah daripada runtuh. Perkara ini bersesuaian dengan peribahasa melayu, mencegah lebih baik daripada mengubati.

Rentetan daripada huraian di atas, terdapat satu lagi cara yang boleh dilakukan bagi mengatasi kejadian tanah runtuh. Tindakan undang-undang yang lebih tegas mesti dikenakan terhadap pembalak-pembalak haram. Hanya kerana wang, mereka sanggup mengambil risiko dengan menggondolkan kawasan-kawasan hutan yang merupakan tempat tadahan air. Akibat daripada perbuatan mereka, tanah runtuh berlaku. Hal ini demikian kerana ketiadaan pokok-pokok untuk menyerap air hujan yang turun dan menahan tanah daripada runtuh. Kegiatan membalak boleh dilakukan tetapi hendaklah secara sistematik. Pembalakan perlu dilakukan  sehingga pokok-pokok itu tumbuh semula dan membesar. Oleh yang demikian, kejadian tanah runtuh dapat dielakkan.

Kesimpulannya, pihak-pihak berkenaan hendaklah membuka mata dan meneliti masalah-masalah berhubung dengan kejadian tanah runtuh ini. Mereka perlu bekerjasama bagi mengatasi kejadian tanah runtuh kerana tiada penyakit yang tiada penawarnya. Usaha-usaha ini juga perlu dilakukan berterusan dan tidak secara sambalewa ibarat hangat-hangat tahi ayam atau  hanya  seperti melepaskan batuk di tangga. Justeru kejadian tanah runtuh akan dapat di atasi. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *