Skip to content

Karangan UPSR – Cara menghormati ibu bapa

Cara menghormati ibu bapa

Ibu bapa ialah insan yang sangat penting dalam kehidupan kita. Tanpa mereka kita tidak akan berpeluang merasa nikmat kehidupan di muka bumi ini. Justeru sebagai seorang anak, kita perlulah sentiasa menghormati mereka.

Contoh Karangan Cara-cara menghormati ibu bapa

Terdapat banyak cara yang boleh kita lakukan sebagai tanda menghormati mereka. Antaranya ialah dengan menunjukkan kepatuhan dan ketaatan kepada mereka. Sebagai ibu bapa mereka akan menentukan apa yang terbaik untuk anak-anak. Sudah semestinya setiap keputusan atau pilihan yang mereka lakukan adalah bertujuan untuk kebaikan kita. Tidak ada mana-mana ibu bapa di dunia ini pun yang bertindak atau membuat keputusan yang boleh merosakkan kehidupan anakanak.

Kita juga boleh menunjukkan rasa hormat kepada mereka dengan cara mendengar nasihat dan menerima setiap teguran daripada mereka dengan hati yang terbuka. Sebagai manusia biasa kita tidak mungkin lari daripada tersilap langkah dan melakukan kesilapan. Nasihat dan teguran mereka bertujuan untuk memberi bimbingan dan panduan demi kebaikan kita sendiri.

Di samping itu, belajar bersungguh-sungguh dalam pelajaran juga merupakan satu cara yang boleh kita lakukan sebagai tanda menghormati ibu bapa. Ibu bapa telah bersusah payah melahirkan kita, membesarkan dan memberi pendidikan kepada kita. Mereka bermandi peluh untuk menyara dan membesarkan serta bersengkang mata menjaga kita ketika kita sakit. Sebagai membalas jasa mereka, kita hendaklah belajar bersungguh-sungguh agar berjaya mencapai cita-cita. Kejayaan dalam pelajaran pastinya akan membuatkan ibu bapa kita berasa bangga dan gembira.

Selain itu, membantu ibu bapa melakukan kerja-kerja rumah yang bersesuaian seperti mengemas rumah, mencuci pinggan mangkuk selepas makan, membersihkan halaman rumah serta membantu menjaga adik juga adalah merupakan satu lagi cara menunjukkan rasa hormat dan kasih sayang terhadap mereka. Bantuan kita dapat meringankan beban tugas serta keletihan mereka bekerja seharian. Mereka tentunya berasa gembira dan bangga mempunyai anak-anak yang ringan tulang.

Secara ringkasnya dapatlah dirumuskan bahawa terdapat banyak cara untuk menunjukkan rasa hormat kepada kedua-dua ibu bapa kita. Menghormati dan membalas jasa ibu bapa merupakan tanggungjawab anak-anak dan ia juga dituntut oleh agama. Hormati dan sayangilah ibu bapa sementara mereka masih ada.

1 thought on “Karangan UPSR – Cara menghormati ibu bapa”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *