Skip to content

Contoh Karangan – Kebaikan bekerja sendiri

Karangan Kebaikan bekerja sendiri

Pada era globalisasi ini, bekerja sendiri atau menjalankan perniagaan sendiri menjadi pekerjaan yang disukai oleh remaja. Huraikan kebaikan bekerja sendiri atau menjalankan perniagaan.

Faedah-faedah bekerja sendiri dalam era globalisasi

Kata orang setiap masalah yang berlaku pasti memberikan jalan yang membawa munculnya pelbagai kebaikan pula. Samalah dengan kemelut masyarakat yang kini banyak dibuang kerja gara-gara dunia mengalami kemelesetan ekonomi yang ketara itu. Janji kerajaan untuk membuka lebih banyak peluang supaya mereka yang menganggur ini bekerja sendiri harus diterima dengan hati terbuka oleh masyarakat di negara ini kerana inilah jalan penyelesaian yang baik ketika ini. Jadi, memang ada banyak impak positif yang timbul jika seseorang itu bekerja sendiri atau menjalankan perniagaannya.

Perubahan sikapmenjadi positif

Kebaikan ketara yang timbul menerusi amalan bekerja sendiri atau menjalankan perniagaan ialah cara bekerja seseorang itu akan berubah menjadi positif. Kenapakah perubahan sikap ini berlaku dengan senang dan pantas? Mudah sahaja kalau dahulu mereka bekerja dengan orang kini mereka bekerja sendiri lalu setiap tindakan yang mereka lakukan pasti memberikan impak kepada perniagaan mereka itu. Sesungguhnya, seseorang yang bekerja sendiri sedar kejayaan perniagaan mereka banyak bergantung kepada sikap mereka sendiri kerana merekalah pemiliki perniagaan tersebut.

Membawa keuntungan berlipat kali ganda

Sebab utama seseorang itu suka menyertai perniagaan ialah bidang ini membawa keuntungan berlipat kali ganda dalam masa yang singkat pula. Semua pihak sedar jumlah wang yang dihasilkan menerusi perniagaan lebih besar jumlahnya berbanding jika seseorang itu bekerja sendiri kerana keuntungan yang diperoleh diambil secara terus dan banyak. Faktor memperoleh lebih banyak wang dalam tempoh masa yang lebih singkat menjadi daya penarik utama seseorang itu menyertai bidang perniagaan itu. Maka, individu yang memasuki alam perniagaan sedar bahawa diri mereka mampu untuk memperoleh wang yang banyak dengan begitu mudah.

Masa kerja yang tidak tetap

Malah, kerja sendiri juga diminati kerana masa kerja yang tidak tetap sifatnya. Seseorang ahli perniagaan itu boleh menentukan sendiri masa kerjanya kerana perniagaan itu miliknya berdasarkan kepentingan atau keutamaan dalam hidupnya. Situasi sebegini sudah pasti begitu menarik terutama buat mereka yang mempunyai keluarga kerana masa yang lebih berkualiti mampu dihabiskan bersama-sama ahli keluarga selain menjalankan aktiviti perniagaan yang memberikan sumber pendapatan pula kepada keluarga itu. Sesungguhnya, bekerja sendiri memberikan peluang kepada seseorang untuk merancang masa kerjanya dengan lebih teratur dan memberi manfaat yang sebenarnya kepada semua pihak terutama ahli keluarganya.

Menjadikan seseorang itu lebih berinformasi

Tambahan pula, bekerja sendiri menjadikan seseorang itu lebih berinformasi tentang sesuatu produk atau perkhidmatan yang mereka tawarkan. Semua produk atau perkhidmatan yang mereka berikan sudah pasti akan mereka fahami luar dan dalamnya supaya pelanggan yang ingin membeli berasa yakin akan kemampuan mereka sebagai ahli perniagaan. Semua maklumat ini diperoleh oleh seseorang itu menerusi internet, interaksi dengan pelanggan, pembacaannya dan sebagainya yang pada masa yang sama menjadikan seseorang ahli perniagaan itu lebih tahu akan sesuatu perkara tersebut. Jadi, bekerja sendiri menjadikan diri seseorang itu lebih berinformasi dan tahu akan produk atau perkhidmatan yang dijualnya.

Penutup Karangan Kebaikan bekerja sendiri

Kesimpulannya, kerja sendiri atau menjalankan perniagaan membawa banyak kebaikan kepada seseorang itu terutama ketika kegawatan ekonomi melanda negara ini. Semua pihak terutama pihak bank hendaklah bersedia menghulurkan pelbagai bentuk pinjaman untuk memudahkan golongan ini menjalankan urusan perniagaan mereka. Penglibatan lebih banyak individu dalam perniagaan mampu menjadikan pertumbuhan ekonomi negara ini lebih gah di persada dunia. Mungkin kita semua perlu memikirkan jenis perniagaan yang sesuai untuk dijalankan mulai saat ini.


Contoh Karangan:Wajarkah Pelajar Bekerja Secara Sambilan
Contoh Karangan: Langkah mengatasi pengangguran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *