Kebaikan Industri Pelancongan Kepada Malaysia

Karangan Kebaikan Industri Pelancongan

Kehadiran pelancong dari luar negara semakin bertambah di Malaysia. Apakah kepentingan dan kebaikan industri pelancongan kepada negara kita?

Contoh Karangan Kepentingan dan kebaikan Industri Pelancongan

Peta pelancongan dunia sudah membuka mata dan meletakkan nama Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi. Sejak tahun 1985 sehingga kini, Malaysia telah menjadi buah mulut pelancong asing mahupun tempatan. Saban tahun kehadiran pelancong dari luar negara sentiasa bertambah. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan dan pihak swasta sentiasa giat mempromosikan Malaysia diseluruh dunia termasuk ke negara China, negara-negara Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah untuk merancakkan lagi perkembangannya. Usaha ini untuk memastikan pelancong mendapat info yang sebenar berkenaan produk dan kemudahan pelancongan yang disediakan secara lebih dekat.

Antara produk pelancongan Malaysia termasuklah landskap bentuk muka bumi yang menarik, berbagai persembahan kesenian dan kebudayan yang unik, pelancongan sukan dan bangunan warisan sejarah peninggalan penjajah yang sentiasa terpelihara. Ini menjelaskan bahawa, usaha memperkembangkan industri pelancongan membawa banyak faedah kepada sesebuah negara.

Menyumbangkan pendapatan negara

Kebaikan Industri Pelancongan pertama ialah pelancongan dapat menyumbangkan pendapatan negara. Hal ini disebabkan pelancongan menjadi penggerak utama tukaran wang asing. Melalui kedatangan pelancong asing, dapatlah sesebuah negara memperoleh kadar pulangan tukaran wang asing dengan mudah dan banyak. Setiap pelancong membawa mata wang asing untuk berbelanja serta membayar kos penginapannya selama menetap di sesuatu destinasi. Pelancong juga akan menggunakan kemudahan awam, membeli cenderamata, makanan, minuman dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti sebegini dapat menambahkan pendapatan negara. Seterusnya, wang yang diperolehi oleh kerajaan dapat digunakan untuk pembangunan ekonomi, kemudahan-kemudahan pelancongan dan pembangunan fizikal negara.

Membuka peluang pekerjaan yang lebih luas

Selain itu, pelancongan juga membuka peluang pekerjaan yang lebih luas dalam sektor tersebut. Pelancongan merupakan antara industri yang memerlukan ramai tenaga kerja seperti pekerja hotel, pemandu pelancongan, pekerja kedai cenderamata dan pekerja kedai kraftangan. Perkembangan industri pelancongan yang menggalakkan di negara kita ini meningkatkan permintaan tenaga kerja yang terlatih dan berpengalaman dalam industri ini pada peringkat pengurusan dan penyeliaan dan golongan pekerja mahir dan separa mahir. Selain itu, industri pelancongan memberikan peluang perniagaan berangkai kepada rakyat. Perkembangan industri ini menjadikan nadi kepada perkembangan pelbagai sektor lain seperti sektor pengangkutan, makanan dan minuman, bunga-bungaan, kraf tangan, pertanian dan penternakan. Hal ini mampu mengurangkan kadar pengganguran di negara kita. Pada masa sama , taraf hidup rakyat juga akan meningkat.

Memaparkan ketamadunan atau sejarah sesebuah negara

Seterusnya, pelancongan dapat memaparkan ketamadunan atau sejarah sesebuah negara yang memberi seribu satu makna. Warisan kebangsaan merupakan khazanah penting yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas seperti AFamosa, bangunan stesen keretapi Kuala Lumpur, dan Stadium Merdeka. Pengekalan bahanbahan tinggalan penjajah telah menggamit hati para pelancong dari dalam atau luar negara untuk melihat sendiri tentang keunikan seni bina ciptaan masyarakat terdahulu untuk dijadikan sumber inspirasi arkitek pada masa kini. Pelancong generasi muda juga dapat merasai semangat juang pahlawan-pahlawan negara dalam mempertahankan tanah air yang tercinta. Nama-nama pejuang yang telah terkorban ada tercatat di Tugu Negara untuk tatapan semua.

Justeru, generasi muda tidak akan menjadi seperti kacang lupakan kulit kerana mereka akan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan pejuang dalam mempertahankan negara. Oleh itu, pemeliharaan warisan negara membolehkan pelancong mempelajari dan mengenali sejarah asal-usul sesebuah negara dan penduduknya serta melahirkan generasi yang berjiwa patriotik, cinta akan tanah air .

Menarik pelabur asing

Selanjutnya, menarik pelabur asing merupakan kebaikan industri pelancongan. Kegiatan pelancongan yang aktif memudahkan kerajaan menarik lebih ramai pelabur asing untuk menanam modal di negara ini. Industri pelancongan bukan hanya untuk pelabur yang berkaitan dengan aktiviti pelancongan seperti pengusaha hotel, pengusaha taman tema, pengusaha pusat beli-belah, dan sebagainya malahan dapat menarik pelabur asing dalam bidang yang tiada kaitan dengan pelancongan seperti pengangkutan dan pembinaan. Kerajaan dapat mengelakkan pembaziran wang negara digunakan untuk mengindahkan kawasan-kawasan pelancongan yang menelan kos terlalu tinggi.

Sebagai contohnya, Pulau Langkawi yang dibangunkan sebagai pusat pelancongan bertaraf dunia, pihak kerajaan dan swasta terpaksa melabur sebanyak RM4.5 bilion. Adalah lebih bermanfaat kos yang terlalu tinggi disalurkan untuk memenuhi keperluan rakyat yang lebih mendesak dengan membina lebih banyak rumah kos rendah untuk mereka yang masih tidak berumah. Jelaslah, kehadiran pelabur asing yang ramai dapat membantu kehidupan masyarakat kita, terutamanya di kalangan mereka yang miskin dan terabai akan lebih terjamin.

Agen perpaduan antarabangsa

Pelancongan juga dapat dijadikan agen perpaduan antarabangsa. Manusia di dunia ini disekat oleh sempadan politik. Dalam setiap negara pula mereka dikumpulkan mengikut bangsa, agama dan warisan etnik. Apabila ahli-ahli daripada satu kumpulan mengunjungi kumpulankumpulan yang lain, maka proses perpaduan akan wujud. Lama-kelamaan sempadan yang menyekat kumpulan-kumpulan tersebut akan hilang dan berkurangan. Selain itu, penganjuran pelancongan antarabangsa dapat menjalin dan mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara yang terlibat. Kerjasama yang sudah terjalin pula akan bertambah erat.

Sebagai contohnya, Malaysia telah menjalin hubungan kerjasama dengan beberapa buah negara di Asia Tengah, China dan Eropah bagi memajukan pelancongan di Malaysia. Hal ini dapat dilihat apabila para pemimpin dari seluruh dunia akan menghadiri upacara perasmian dan penutupan sesuatu program pelancongan yang diadakan. Dengan cara itu, sudah pasti para pemimpin tersebut akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan hubungan diplomatik antara negara mereka termasuk Malaysia. Dengan adanya hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara- negara yang terlibat, tentunya negara kita akan mendapat kelebihan daripada pelbagai aspek.Melalui pendedahan ini akan wujudlah kehidupan yang harmoni dalam kalangan manusia di dunia walaupun berlainan politik, bangsa dan agama.

Penutup Karangan Kebaikan Industri Pelancongan

Kesimpulannya, kebaikan industri pelancongan terbukti mendatangkan pelbagai faedah kepada pembangunan negara. Semua pihak perlu bahu-membahu bagi memastikan impian negara untuk menjadi destinasi pelancongan utama di dunia dan rantau ini terus subur. Pihak kerajaan terutamanya haruslah sentiasa melipatkan gandakan usaha mempromosikan Malaysia secara kerap agar negara Malaysia akan lebih dikenali. Selain itu, pelancongan juga mampu menjana ekonomi negara yang agak lembap sejak akhir-akhir ini. Hal ini boleh diibaratkan seperti “serampang dua mata”. Oleh itu, kita berharap agar matlamat negara untuk terus menjadi destinasi pelancongan antarabangsa akan berterusan. jelaslah bahawa pelancongan adalah satu industri yang sangat penting untuk jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang.


Contoh Karangan Kesan Industri Pelancongan

Leave a Reply

Your email address will not be published.