Skip to content

Contoh Karangan Keburukan Rancangan televisyen

Karangan Kesan Buruk Rancangan hiburan televisyen

Rancangan hiburan televisyen merupakan salah satu hiburan yang penting kepada manusia. Manakala, rancangan ini akan menjejaskan budaya tradisional. Bincangkan.

Rancangan hiburan televisyen jejaskan budaya tradisional

Televisyen sering dianggap sebagai satu ciptaan moden yang banyak membawa kebaikan kepada manusia pada zaman moden ini. Namun, penyiaran pelbagai rancangan berbentuk hiburan telah menyebabkan ada pihak beranggapan bahawa masyarakat mula mengetepikan budaya seni tradisional pula bak kata pepatah biar mati anak jangan mati adat. Keadaan ini diperkuatkan menerusi kenyataan demi kenyataan pihak media massa yang melihat program hiburan sebegini menghancurkan kebudayaan tempatan seperti tarian dan permainan tradisional. Sesungguhnya, penyiaran rancangan hiburan menerusi televisyen membawa masyarakat melupakan budaya tradisional mereka.

Cara berpakaian yang mencolok mata

Kalau kita kaji secara mendalam kebanyakan rancangan hiburan yang disiarkan itu memaparkan cara berpakaian yang langsung tidak berunsur tradisional. Ada artis terutama dari Barat yang memakai pakaian yang mencolok mata kerana pada mata mereka pakaian sebegini mampu meninggikan lagi populariti seseorang artis itu. Generasi muda yang menonton rancangan hiburan sebegini sudah pasti akan tertarik lalu menganggap cara berpakaian artis itu sahaja yang betul lalu cuba memakainya dalam kehidupan seharian mereka tanpa memikirkan kesan sampingannya seperti daripada pohon dikenal buahnya. Jelaslah, program hiburan yang disiarkan itu menyebabkan masyarakat kita melupakan cara berpakaian yang seiringan dengan kebudayaan tempatan.

Penggunaan bahasa yang rojak

Begitu juga penggunaan bahasa dalam rancangan hiburan yang disiarkan menerusi televisyen telah menyebabkan kebudayaan tradisional kita terjejas. Akibat aspek masa dan cuba menjadikan rancangan hiburan itu lebih menarik, penggunaan bahasa rojak dan tidak tepat digunakan secara meluas sehingga menjadikan masyarakat sukar hendak membezakan penggunaan bahasa yang betul. Keadaan ini menyebabkan ada pihak yang menganggap bahasa dalam televisyen itu lebih betul berbanding dengan tatabahasa yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di negara ini. Maka, kekeliruan sebegini menjadikan bahasa kebangsaan kita akan diperlekehkan penggunaannya oleh pihak-pihak tertentu sehingga menjejaskan imej kebudayaan tradisional negara kita pada jangka masa panjang ini kerana bahasa budaya bangsa.

Pemaparan adat kesopanan barat

Tambahan pula, program berbentuk hiburan itu turut memaparkan pemaparan kesopanan yang bertentangan dengan kebudayaan tradisional kita. Sudah banyak kali kita mendengar komentar masyarakat yang mengaitkan dengan kehilangan adat sopan generasi muda akibat terlalu terpengaruh dengan budaya yang mereka tonton di televisyen itu. Budaya memarahi ibu bapa, bergaduh dengan guru dan mengeluarkan bahasa kesat sudah dianggap biasa kerana masyarakat sering melihat adegan sebegini di televisyen. Jelaslah, masyarakat kita semakin melupakan adat sopan ketimuran yang suatu masa dahulu amat kita banggakan sudah hilang lantaran terlalu banyak menonton adegan yang kurang sesuai di televisyen.

Menghalang pemikiran yang positif terhadap kebudayaan

Malah, penyiaran program hiburan di televisyen berupaya untuk menghalang pemikiran yang positif dalam diri seseorang itu. Pandangan yang melihat kebudayaan negara itu sendiri sebagai satu kebudayaan yang lemah dan tidak sesuai dengan peredaran zaman dipengaruhi menerusi sikap melihat program hiburan yang keterlaluan itu. Keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan menimbulkan satu perasaan yang menolak kewujudan kebudayaan tempatan dalam jiwa bangsa seseorang tersebut. Jelaslah, program hiburan di televisyen menyebabkan pemikiran seseorang akan berubah lalu memandang rendah budaya tradisional mereka sendiri.

Remaja memandang tinggi kebudayaan lain

Pada masa yang sama, tindakan menyalahkan televisyen seratus peratus bukanlah satu tindakan yang bijak kerana berlakunya sesuatu perkara itu sudah pasti banyak berkaitan dengan faktor yang lain juga. Pinggiran kebudayaan tradisional kita turut disebabkan sikap generasi muda kita yang tidak begitu memandang tinggi kebudayaan tempatan sehingga sanggup meniru kebudayaan lain pula. Kita menganggap kebudayaan negara lain seperti Jepun, Korea Selatan dan Barat itu lebih moden dan praktikal lalu segera menirunya tanpa merujuk dahulu aspek menghargai kebudayaan sendiri. Maka, kegagalan menghargai negara, bangsa dan kebudayaan sendiri turut menyebabkan kebudayaan tradisional itu semakin lama semakin hilang ditelan zaman.

Penutup Karangan Keburukan menonton televisyen

Kesimpulannya, rancangan hiburan yang disiarkan menerusi televisyen itu memang menyebabkan kebudayaan tradisional kita mengalami kemerosotan daripada segi imejnya. Semua pihak terutama pihak berkuasa hendaklah lebih peka untuk membuat peraturan yang mengehadkan penyiaran rancangan berbentuk hiburan yang keterlaluan sehingga menjejaskan kebudayaan tradisional kita itu. Kegagalan berbuat demikian dengan segera akan menyebabkan kebudayaan kita terhakis sedikit demi sedikit lalu hilang akhirnya ini disebabkan kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.


Contoh Karangan UPSR: Faedah Menonton Televisyen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *