Skip to content

Kemahiran remaja perlu kuasai

buku buku

Kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh remaja dalam mengharungi kehidupan zaman globaisasi. Huraikan kemahiran itu.

Kemahiran remaja bermaksud kelebihan yang dimiliki oleh seseorang remaja itu melalui pendidikan yang diterimanya. Remaja yang berkemahiran boleh mengharungi cabaran kehidupan dengan lebih baik dan mudah terutama apabila mereka dewasa kelak. Pihak media massa juga sering menguar-uarkan kepentingan remaja memiliki kemahiran ini dengan menyiarkan pelbagai berita tentang kemahiran ini. Jadi, apakah kemahiran-kemahiran yang harus dikuasai oleh remaja kita itu semua?

Kemahiran utama yang harus dimiliki oleh remaja kita ialah mempunyai kebolehan berbicara dalam dwibahasa itu. Mereka boleh menguasai bahasa asing ini dengan memasuki kelas bahasa secara peribadi atau  berbual-bual dengan rakan yang berlainan keturunan itu ketika berada di sekolah. Kemampuan berbahasa selain bahasa ibunda ini memberikan satu keyakinan diri kepada remaja dan peluang untuk memperoleh sesuatu kerjaya pada masa depan juga lebih cerah. Ringkasnya, kemampuan untuk bercakap dalam pelbagai bahasa boleh menjadikan diri remaja itu lebih berketerampilan dalam menjalani kehidupan masyarakat moden itu.

Selain itu, remaja yang bijak akan memahirkan diri mereka dalam teknik berkomunikasi yang betul. Kebolehan bertutur ini boleh dikuasai dengan baik menerusi amalan bertutur dengan rakan, guru, dan masyarakat secara umum tanpa mengira situasinya. Kebolehan berkomunikasi bukan sahaja memudahkan remaja meluahkan perasaan mereka tetapi juga kreativiti tertentu dan memahami situasi yang sedang berlaku di depan mereka itu. Jelaslah, kemahiran berkomunikasi ini akan membawa remaja mengharungi kehidupannya dengan lebih yakin terutama alam kerjaya yang penuh celaru tersebut.

Aspek kemahiran kepemimpinan juga penting dikuasai oleh remaja dalam era globalisasi ini. Kelebihan aspek ini dikuasai apabila remaja menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah terutamanya aktiviti berunsur persatuan dan pasukan beruniform itu. Remaja akan dididik cara untuk menguruskan sesuatu projek dengan lancar dan efektif sambil memahami ciri-ciri manusia secara umumnya. Jadi, remaja akan mampu untuk meneruskan kehidupan masa depan mereka dengan penuh keyakinan kerana sedar diri mereka memiliki kemahiran yang diperlukan tersebut.

Dunia zaman ini dikuasai oleh kemajuan teknologi komunikasi berunsurkan komputer, telefon bimbit, dan satelit yang harus difahami oleh remaja. Mereka hendaklah membiasakan diri menggunakan peralatan komputer dan sebagainya untuk memastikan pengetahuan mereka terhadap teknologi komunikasi moden begitu mendalam. Kelebihan dalam situasi ini memudahkan remaja untuk melakukan pelbagai perkara terutama yang melibatkan penggunaan teknologi komputer pada masa depan itu. Lantaran itu, remaja tidak akan tersisih daripada pelbagai kejadian yang melanda dunia ini apabila mereka menguasai kemahiran dalam teknologi komunikasi tersebut.

Akhir sekali, remaja hendaklah memiliki kemahiran berfikir secara rasional dan logik dalam menyelesaikan sesuatu masalah itu. Kemahiran ini mampu dikuasai apabila remaja diajar agar melihat semua sudut pandangan sebelum membuat keputusan terhadap sesuatu isu yang melanda diri mereka itu oleh pihak ibu bapa dan guru. Pemikiran rasional ini akan menjadikan remaja tidak akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan budaya, undang-undang, dan perasaan pihak lain di negara ini. Akibatnya, suasana harmoni di negara ini akan terus wujud kerana rakyat kita mampu untuk menyelesaikan semua kemelut yang berbangkit secara rasional dan mengikut fakta yang sahih itu.

Natijahnya, semua kemahiran yang dihuraikan tadi perlulah dimiliki oleh remaja kita tanpa banyak dalih pula. Pihak ibu bapa dan sekolah perlulah merangka pelbagai aktiviti yang bersesuaian supaya generasi muda itu menerima latihan yang betul untuk menguasai semua kemahiran itu. Kegagalan kita sebagai masyarakat untuk menyediakan remaja dalam mengharungi cabaran hidup masa depan merupakan satu kesalahan yang sukar untuk dimaafkan. Bak kata pepatah pemuda harapan negara, pemudi tiang negara yang membuktikan betapa tingginya harapan masyarakat terhadap kemampuan remaja kita untuk meneruskan perjuangan memajukan negara ini menjadi sebuah negara moden kelak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *