Kandungan
Kadar kemalangan jalan raya begitu meningkat setiap tahun. Negara kita merupakan antara negara yang mempunyai angka kematian akibat kemalangan yang tinggi. Huraikan punca kemalangan jalan raya.
Karangan SPM: Punca Kemalangan Jalan Raya
Kemalangan jalan raya merupakan satu tragedi yang kerap kali berlaku di jalan-jalan raya atau lebuh raya, melibatkan pertembungan antara dua atau lebih kenderaan. Akibatnya, kemalangan ini bukan sahaja mendatangkan kecederaan, malah mengakibatkan kematian. Seperti kata pepatah, “alah bisa tegal biasa,” rakyat Malaysia kini semakin lali dengan laporan kemalangan yang tragis, yang menjadi tajuk utama di akhbar dan berita harian di televisyen. Hakikatnya, Malaysia tergolong antara negara dengan kadar kematian akibat kemalangan yang tinggi. Selain itu, kemalangan jalan raya turut menyebabkan kemusnahan terhadap alam sekitar dan prasarana jalan raya. Justeru, amat penting untuk kita mengkaji punca- punca Kemalangan Jalan Raya agar langkah-langkah pencegahan dapat diambil.
Kecuaian pemandu
Punca pertama ialah kemalangan disebabkan oleh kecuaian pemandu itu sendiri ketika menggunakan jalan raya. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk dan mengantuk atau tidak sedarkan diri. Risiko untuk seseorang mengalami kecelakaan jalan raya adalah sangat tinggi bagi pemandu yangmabuk atau mengantuk. Ada juga yang tidak suka menjaga kenderaan mereka lalu kemalangan boleh berlaku kerana masalah brek, tayar dan sebagainya. Selain itu, sikap sesetengah pemandu yang leka berbual-bual dengan rakan sebelah serta mengggunakan telefon bimbit ketika memandu turut menyebabkan kemalangan. Mereka tidak menghiraukan keselamatan orang lain ketika memandu kerana menganggap mereka cekap mengawal stering kenderaan. Jadi, kemalangan mudah berlaku akibat kecuaian mereka ini.
Keadaan jalan raya yang tidak baik
Selain itu, keadaan jalan raya yang tidak baik turut menjadi punca kemalangan. Ketika hujan, jalan menjadi licin, menyukarkan kawalan kenderaan jika pemandu cuai. Struktur jalan yang berlekuk dan tidak rata juga mengganggu tumpuan pemandu, meningkatkan risiko nahas, terutama pada waktu malam. Tambahan pula, ketiadaan lampu jalan membataskan penglihatan, menyukarkan pemandu mengenal pasti objek di hadapan. Keadaan ini bukan sahaja mengurangkan fokus, malah menyebabkan mereka tersilap menganggar posisi kenderaan sendiri. Oleh itu, pembaikan infrastruktur jalan raya perlu diberi keutamaan demi keselamatan pengguna.
Pemandu baru
Malah, ada pihak yang menyalahkan pemandu baru yang menyebabkan kemalangan terus menerus berlaku di negara ini. Mereka dikatakan tidak mahir untuk mengawal kenderaan terutama ketika dalam keadaan kecemasan yang menyebabkan banyak yang panik. Golongan muda juga diselar kerana mereka biasanya suka memandu dengan bahaya dan laju. Ramai pemandu yang baru gagal mengawal kenderaan yang laju apabila cuba membelok ke kanan atau ke kiri di selekoh-selekoh jalan. Sesungguhnya, satu alat mekanisme baru harus dicari untuk memastikan tahap pemanduan pemandu baru mencapai piawaian yang baik.
Jumlah kenderaan yang bertambah
Peningkatan jumlah kenderaan saban tahun turut menyumbang kepada pertambahan kes kemalangan jalan raya. Lalu lintas yang semakin padat menyebabkan kesesakan di pelbagai kawasan, terutamanya di bandar-bandar besar dan lebuh raya utama. Dalam keadaan ini, pemandu sering kali hilang kesabaran, memandu secara tergesa-gesa, dan melanggar peraturan jalan raya seperti memotong secara berbahaya atau tidak mematuhi lampu isyarat. Selain itu, bilangan kenderaan yang tinggi juga meningkatkan risiko perlanggaran, terutamanya ketika waktu puncak. Ketidaksabaran pemandu serta kegagalan mereka mengekalkan jarak selamat antara kenderaan menjadi faktor utama nahas berlaku. Jelaslah, semakin banyak kenderaan di jalan raya, semakin tinggi risiko kemalangan.
Kelemahan penguatkuasaan undang-undang
Dalam pada itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan juga merupakan punca kecelakaan di jalan raya. Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat serta mampu memberi kesan terhadap psikologi masyarakat tempatan, namun ketidaktegasan dalam pelaksanaan undang-undang sudah pasti membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk terus melakukan kesalahan di jalan raya. Sebagai contoh, akibat daripada ketidakjujuran segelintir pihak berkuasa yang sanggup menerima rasuah, pemandu bas yang mempunyai banyak saman dan waran tangkap masih terlepas daripada tindakan undang-undang. Tuntasnya, kelemahan penguatkuasaan undang-undang turut menjadi dalang dalam masalah kemalangan jalan raya.
Penutup Karangan Kemalangan Jalan Raya
Secara intihanya, kemalangan maut di jalan raya berpunca daripada pelbagai faktor. Kadar kemalangan jalan raya di negara ini begitu menakutkan kita semua kerana masalah ini mengakibatkan kecederaan serta menyebabkan banyak nyawa terkorban. Hal ini secara tidak lansung telah menyumbang kepada kejatuhan ekonomi negara memandangkan pihak kerajaan terpaksa menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk membaik pulih infrastruktur jalan. Usaha yang berani harus dilaksanakan oleh pihak berkuasa dan pengguna jalan raya untuk menghalang masalah ini menular lagi. Kita harus sedar bahawa nilai nyawa manusia begitu berharga. Pandu cermat jika selamat.
Karangan lain: Langkah Mengurangkan Kemalangan Jalan Raya
terima kasih…..sangat membantu
i want cerita
It so helpfull
thanks