Contoh Karangan Punca Kemalangan Jalan Raya

kemalangan jalan raya

Kadar kemalangan jalan raya begitu meningkat setiap tahun. Negara kita merupakan antara negara yang mempunyai angka kematian akibat kemalangan yang tinggi. Huraikan punca-punca kemalangan jalan raya.

Karangan SPM: Punca Kemalangan Jalan Raya

Kemalangan jalan raya ialah peristiwa ngeri yang biasanya melibatkan perlanggaran dua kenderaan atau lebih di jalan raya atau pun lebuh raya. Kemalangan sebegini biasanya boleh membawa kecederaan dan juga kematian. Peribahasa alah bisa tegal biasa kini telah menjadi sinonim dengan masyarakat Malaysia memandangkan saban hari rakyat Malaysia disajikan dengan berita-berita kemalangan jalan raya yang menyayatkan hati sama ada di dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Negara kita merupakan antara negara yang mempunyai angka kematian akibat kemalangan yang tinggi. Kecelakaan jalan raya bukan sahaja malah telah memusnahkan alam sekitar dan kemudahan-kemudahan yang terdapat di jalan raya. Oleh itu ada banyak punca yang harus kita kaji untuk memahami masalah kemalangan jalan raya supaya dapat mengurangkan kadar kemalangan ini.

Kecuaian pemandu

Punca pertama ialah kemalangan disebabkan oleh kecuaian pemandu itu sendiri ketika menggunakan jalan raya. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk dan mengantuk atau tidak sedarkan diri. Risiko untuk seseorang mengalami kecelakaan jalan raya adalah sangat tinggi bagi pemandu yangmabuk atau mengantuk. Ada juga yang tidak suka menjaga kenderaan mereka lalu kemalangan boleh berlaku kerana masalah brek, tayar dan sebagainya. Selain itu, sikap sesetengah pemandu yang leka berbual-bual dengan rakan sebelah serta mengggunakan telefon bimbit ketika memandu turut menyebabkan kemalangan. Mereka tidak menghiraukan keselamatan orang lain ketika memandu kerana menganggap mereka cekap mengawal stering kenderaan. Jadi, kemalangan mudah berlaku akibat kecuaian mereka ini.

Keadaan jalan raya yang tidak baik

Selain itu kemalangan juga disebabkan oleh keadaan jalan raya yang tidak baik. Biasanya jalan raya menjadi lebih bahaya ketika waktu hujan turun kerana air hujan menyebabkan jalanraya menjadi lebih licin lalu sukar untuk dikawal jika pemandunya tidak berhati-hati. Begitu juga denganstruktur jalan raya yang berlekak-lekuk serta mempunyai permukaan yang tidak rata telah menyukarkan pemandu untuk memberi tumpuan lalu mudah berlakunya peristiwa ngeri ini. Keadaan jalan raya yang teruk akan membahayakan pengguna jalan raya khususnya bagi mereka yang memandu pada waktu malam.

Namun, ketiadaan lampu jalan di sepanjang jalan raya telah menyebabkan keadaan sekeliling menjadi gelap dan seterusnya membataskan penglihatan para pemandu terhadap objek di hadapan mereka. Kondisi sebegini bukan sahaja mengganggu tumpuan pemandu malah secara tidak langsung menyebabkan pemandu tidak sedar akan posisi sebenar kenderaan mereka. Maka, keadaan jalan raya harus diubah supaya menjadi lebih selamat buat pengguna jalan raya.

Pemandu baru

Malah, ada pihak yang menyalahkan pemandu baru yang menyebabkan kemalangan terus menerus berlaku di negara ini. Mereka dikatakan tidak mahir untuk mengawal kenderaan terutama ketika dalam keadaan kecemasan yang menyebabkan banyak yang panik. Golongan muda juga diselar kerana mereka biasanya suka memandu dengan bahaya dan laju. Ramai pemandu yang baru gagal mengawal kenderaan yang laju apabila cuba membelok ke kanan atau ke kiri di selekoh-selekoh jalan. Sesungguhnya, satu alat mekanisme baru harus dicari untuk memastikan tahap pemanduan pemandu baru mencapai piawaian yang baik.

Jumlah kenderaan yang bertambah

Jumlah kemalangan bertambah juga berkaitan dengan jumlah kenderaan yang bertambah setiap tahun. Pertambahan bilangan kenderaan menjadikan lalu lintas begitu sibuk dan penuh dengan kenderaan. Sudah pasti keadaan ini meningkatkan peratusan untuk sesuatu kemalangan itu berlaku di jalan raya. Jelaslah, semakin banyak kenderaan di jalan raya risiko untuk kemalangan berlaku amat tinggi.

Kelemahan penguatkuasaan undang-undang

Dalam pada itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan juga merupakan punca kecelakaan di jalan raya. Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat serta mampu memberi kesan terhadap psikologi masyarakat tempatan, namun ketidaktegasan dalam pelaksanaan undang-undang sudah pasti membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk terus melakukan kesalahan di jalan raya. Sebagai contoh, akibat daripada ketidakjujuran segelintir pihak berkuasa yang sanggup menerima rasuah, pemandu bas yang mempunyai banyak saman dan waran tangkap masih terlepas daripada tindakan undang-undang. Tuntasnya, kelemahan penguatkuasaan undang-undang turut menjadi dalang dalam masalah kemalangan jalan raya.

Penutup Karangan Kemalangan Jalan Raya

Secara intihanya, kemalangan maut di jalan raya berpunca daripada pelbagai faktor. Kadar kemalangan jalan raya di negara ini begitu menakutkan kita semua kerana masalah ini mengakibatkan kecederaan serta menyebabkan banyak nyawa terkorban. Hal ini secara tidak lansung telah menyumbang kepada kejatuhan ekonomi negara memandangkan pihak kerajaan terpaksa menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk membaik pulih infrastruktur jalan. Usaha yang berani harus dilaksanakan oleh pihak berkuasa dan pengguna jalan raya untuk menghalang masalah ini menular lagi. Kita harus sedar bahawa nilai nyawa manusia begitu berharga. Pandu cermat jika selamat.


Karangan lain: Langkah Mengurangkan Kemalangan Jalan Raya

4 thoughts on “Contoh Karangan Punca Kemalangan Jalan Raya”

Leave a Reply

Your email address will not be published.