Skip to content

Contoh Karangan Punca – Punca kemerosotan integriti

Punca kemerosotan integriti

Integriti merupakan nilai-nilai murni yang perlu ada pada setiap individu atau organisasi. Namun, isu kemerosotan integriti semakin berlaku dalam masyarakat kita. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan gejala ini berlaku.

Faktor-faktor kemerosotan integriti

Mutakhir ini, negara kita menghadapi kepincangan yang membimbangkan disebabkan isu rasuah. Rasuah lebih banyak dikaitkan dengan integriti seseorang. Di mana-mana sering dibicarakan tentang kurangnya integriti di kalangan masyarakat, pekerja di sektor awam dan swasta, organisasi, bahkan di kampung. Integriti secara umum merujuk kepada kualiti unggul yang wujud dalam kalangan individu. Kualiti ini berdasarkan prinsip berpegang teguh kepada kejujuran dan amalan bermoral tinggi. Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada kemerosotan integriti iaitu kepimpinan, kelemahan sistem, struktur dan institusi, budaya, dan kelemahan individu.

Isu kepimpinan

Satu faktor yang menyebabkan kemerosotan integriti ialah mengenai kepimpinan. Seorang pemimpin adalah sangat penting dalam mencorakkan budaya dalam keluarga, organisasi dan masyarakat. Kepimpinan dalam pelbagai peringkat perlu mempunyai azam dan iltizam yang teguh untuk memberi pedoman dan petunjuk serta melakukan perubahan untuk kebaikan. Sebagai contoh, Ibu bapa merupakan pemimpin dalam kekeluargaan. Kepimpinan masyarakat dan organisasi, baik dalam sektor awam, swasta, dan sebagainya merupakan tonggak dan peneraju dalam suatu kumpulan yang dipimpin. Pemimpin itu, sama ada dipilih atau menawarkan diri untuk memimpin, memainkan peranan penting. Namun begitu kadangkala wujud iltizam yang lemah, pemimpin tidak menunjukkan teladan yang baik, “cakap tidak serupa bikin”. Oleh itu, kelemahan kepimpinan merupakan sebab kemerosotan integriti.

Kelemahan SOP

Faktor yang kedua ialah wujudnya kelemahan dalam sistem, prosedur dan garis panduan (SOP) dalam pelaksanaan tugas. Akibatnya ialah wujud ketidakcekapan, kecelaruan, dan perselisihan pendapat dalam kalangan petugas. Penguatkuasaan dan tindakan punitif yang kurang berkesan serta gagal mengambil tindakan yang setimpal, kurang penyelarasan, pemantuan dan penilaian mengenai keberkesanan sesuatu strategi atau program, dan kurang ketelusan dalam urusan yang melibatkan kepentingan awam adalah antara punca-punca kelemahan dalam pelaksanaan sistem dan prosedur sedia ada.

Kelemahan struktur dan institusi

Faktor ketiga ialah berkaitan struktur dan institusi, yang merupakan komponen penting dalam menjamin kelancaran pentadbiran kerajaan, swasta dan masyarakat umum. Struktur sesebuah organisasi perlu kemas, berfokus serta mempunyai matlamat yang jelas dan munasabah. Struktur organisasi perlu diubah dan diperkemas dari semasa ke semasa bagi menangani tuntutan dan cabaran baru. Struktur yang tidak kemas, kurang fokus dan berlaku pertindihan akan membazirkan sumber, tidak berkesan, pengabaian tanggungjawab dan tidak diselaraskan dengan sempurna akan gagal mencapai matlamatnya.

Pengaruhan budaya buruk

Faktor keempat yang boleh menjejaskan integriti ialah aspek budaya. Budaya dipengaruhi oleh faktor sejarah dan tradisi, nilai agama, kelompok sesuatu bangsa, persekitaran, proses sosialisasi serta perkembangan semasa. Budaya berubah dan boleh diubah. Budaya yang menjunjungi tinggi integriti akan memberi persekitaran yang kondusif kepada individu untuk tidak menyimpang dalam tingkah lakunya. Sebaliknya, budaya negatif akan mewujudkan kepincangan dalam organisasi dan masyarakat. Gejala dadah, seks bebas, “mat rempit”, “bohsia”, budaya lepak, kutu rayau dan sebagainya merupakan manifestasi budaya “pak turut”. Apa yang orang lain lakukan maka dilakukan pula oleh mereka tanpa menilai baik buruknya.

Kelemahan individu

Seterusnya, faktor kelima yang boleh menjejaskan integriti ialah kelemahan individu itu sendiri. Individu yang lemah didikan agama, akhlak dan moral serta penghayatan nilai-nilai murni, tidak berdisiplin, memiliki sikap tidak peduli, hanya melihat kelemahan orang lain dan enggan mengakui kelemahan diri merupakan antara kelemahan dalam diri individu. Tekanan hidup juga boleh menyebabkan individu terjerumus kepada perkara tidak berintegriti seperti rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan gejala tidak bermoral.

Penutup Karangan kemerosotan integriti

Kesimpulannya, untuk menjamin kejayaan pergerakan peningkatan integriti, pelbagai program penyelarasan dan pemantauan harus dilaksanakan. Pemantauan dan koordinasi yang dilakukan secara pentadbiran yang birokratik boleh menghalang usaha di peringkat asas dan ini perlu dielakkan. Kepekaan pelbagai lapisan atau komponen masyarakat terhadap campur tangan pihak lain juga perlu diambil kira. Masyarakat juga sentiasa harus mengambil sikap yang terbuka, positif dan konstruktif terhadap mana-mana kumpulan atau organisasi. Justeru, sikap toleransi dan konsultasi perlu wujud agar kesefahaman dan perpaduan sentiasa terjalin dalam satu rangkaian kehidupan masyarakat yang berintegriti.


Contoh Karangan: Punca dan langkah mengatasi gejala rasuah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *