Skip to content

Karangan Langkah Menggalakkan Kempen Kitar Semula

Karangan Kempen Kitar Semula

Kesedaran kitar semula di masyarakat Malaysia masih lemah walaupun program ini telah dipromosi beberapa tahun. Apakah langkah yang boleh menggalakkan kempen kitar semula?

Langkah-Langkah Menggalakkan Kempen Kitar Semula

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 telah menjadi penanda aras untuk mencapai kemakmuran dalam semua aspek khususnya ekonomi, sosial dan politik secara adil, saksama. Namun masalah pembuangan sampah yang boleh dikitar semula masih lemah walaupun tahun 2020 telah berlalu pergi. Masyarakat masih di takuk lama kerana sehingga hari ini masalah pencemaran alam dan pembuangan sampah masih berleluasa di negara kita. Oleh itu, satu prakarsa perlu diambil secara drastik lagi efektif bagi menggalakkan kempen kitar semula agar dapat memberi kesedaran kepada masyarakat. Persoalan yang mula menghantui pemikiran kita ialah, apakah langkah bestari yang dapat menggalakkan kempen kitar semula?

Bermula kitar semula dari rumah

Antara usaha bagi menggalakkan program kitar semula adalah dengan bermula dari rumah. Ibu bapa hendaklah menjadi uswah hasanah kepada anak-anak dengan melakukan aktiviti kitar semula di rumah seperti peribahasa yang menyebut bagaimana acuan begitu la kuihnya. Ibu bapa hendaklah melibatkan aktiviti kitar semula di rumah dengan mengasingkan barang buangan yang boleh dikitar semula seperti kertas, botol, tin dan plastik yang terdapat di dalam rumah. Dengan cara ini, anak-anak akan terdidik dari rumah sejak mereka kecil lagi tentang amalan kitar semula dan didikan dari usia muda seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya ini akan dapat menjadi amalan dalam kehidupan apabila dewasa kelak.

Kegiatan kurikulum dan kokurikulum

Usaha seterusnya dilihat dari sudut peranan sekolah yang bertanggungjawab untuk memupuk amalan kitar semula melalui kegiatan kurikulum dan kokurikulum. Sebagai satu contoh yang lazim kita ketahui, pihak sekolah sering menganjurkan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran sekolah dengan mengadakan pertandingan mengumpul barangan kitar semula terbanyak turut menarik minat pelajar untuk menyertai pertandingan kitar semula ini. Malah aktiviti ini mampu memberi kesedaran kepada pelajar dan guru sekolah agar melakukan aktiviti kitar semula. Oleh itu, usaha ini haruslah digiatkan melalui aktiviti di dalam bilik darjah melalui aktiviti pembelajaran.

Kerajaan menetapkan peraturan

Dari sudut yang berlainan pula, kerajaan hendaklah berani untuk menggubal mana-mana polisi yang berkaitan pembuangan sampah sarap dan kitar semula. Kerajaan mestilah menetapkan peraturan tentang tatacara pembuangan sampah mengikut kategori seperti sampah domestik, sampah pukal dan sampah barangan kitar semula. Jadual kutipan sampah hendaklah diselaraskan agar memudahkan pengguna mengeluarkan sampah yang tidak digunakan pada waktu yang telah ditetapkan dalam jadual kutipan sampah. Usaha ini hendaklah dilakukan secara berterusan agar rakyat melihat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serius dalam menggalakkan orang ramai mengamalkan amalan kitar semula.

Korporat menggalakkan aktiviti kitar semula

Tidak dinafikan juga, syarikat-syarikat korporat sewajarnya menunjukkan komitmen dalam menggalakkan aktiviti kitar semula di syarikat mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan syarikat banyak menghasilkan sampah yang boleh dikitar semula seperti kertas, plastik dan tin. Sebagai contoh, firma guaman dan akauntan banyak menggunakan kertas untuk cetakan dokumen. Malah kebanyakan syarikat mengamalkan sistem 5S iaitu Sisih, Sapu, Susun, Seragam dan Sentiasa amalkan. Dengan sistem ini pekerja akan menyisihkan bahan atau dokumen yang tidak diguna pakai lalu dibuang mengikut kategori tong kitar semula. Oleh itu, amalan sistem kerja dalam syarikat swasta turut menjayakan aktiviti kitar semula.

Penutup Karangan Kempen Kitar Semula

Secara keseluruhannya, amalan kitar semula bukanlah suatu yang baharu dalam negara dan program kitar semula ini secara berterusan diamalkan di peringkat kerajaan tempatan di bawah Jabatan Sisa Pepejal. Isu kitar semula merupakan isu global yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak agar dapat memastikan dunia dan alam sekitar terus menjadi sumber untuk dinikmati masyarakat akan datang menjelang 2030 Wawasan Kemakmuran Bersama.


Contoh Karangan: Kebaikan Amalan Kitar Semula

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *