Skip to content

Contoh Karangan PT3/SPM: Kepentingan Bersatu Padu

Karangan Kepentingan Bersatu Padu

Pelbagai usaha telah dilakukan untuk membentuk masyarakat yang harmoni di Malaysia. Apakah kepentingan bersatu padu dalam kalangan pelbagai kaum?

Kepentingan Bersatu Padu dalam Kalangan Pelbagai Kaum

Amalan bersatu padu merupakan aset yang terpenting di Malaysia kerana tanpa amalan ini, tidak mungkin keharmonian dapat dinikmati ibarat ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’. Malaysia merupakan negara yang unik kerana warganya terdiri daripada pelbagai bangsa dan suku kaum yang dapat hidup dengan harmoni. Walaupun setiap bangsa dan suku kaum ini mengamalkan agama, adat-resam dan cara hidup yang berbeza, namun kita dapat hidup dengan semangat perpaduan yang tinggi. Persoalannya apakah kepentingan bersatu padu dalam kalangan pelbagai kaum?

Mengekalkan Keharmonian Dan Kedamaian

Banyak faedah yang diperoleh apabila rakyat Malaysia hidup dalam keadaan bersatu-padu. Antaranya ialah kita dapat hidup dalam keharmonian dan kedamaian. Amalan bersatu padu dalam kalangan masyarakat Malaysia dapat mengelakkan daripada berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham antara satu sama lain. Rakyat Malaysia sedar bahawa sikap bersatu padu penting bagi mengekalkan masyarakat yang berhidup dengan aman dan tenteram. Malaysia yang aman dan damai dapat menjamin kebahagiaan dan keselamatan rakyatnya. Kesannya kita dapat belajar dengan tenang dan selesa di sekolah tanpa rasa bimbang akan keselamatan diri.

Mencapai kemerdekaan

Kepentingan bersatu padu ialah semangat ini dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka. Rakyat Malaysia dapat bekerja dan mencari rezeki dengan baik dan selesa pada masa kini. Sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, pelbagai ranjau berduri yang dilalui oleh generasi terdahulu untuk menuntut kemerdekaan. Masyarakat Tanah Melayu ketika itu yang mengamalkan amalan bersatu padu dan berganding bahu telah berjaya untuk menuntut kemerdekaan dari pihak Inggeris. Implikasinya, masyarakat kini hidup harmoni tanpa gangguan dan kongkongan penjajah. Amalan bersatu padu yang telah wujud kini adalah warisan daripada warisan nenek moyang yang harus dikekalkan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Membangunkan ekonomi negara

Selain itu, amalan bersatu padu dalam kalangan rakyat juga mewujudkan kestabilan politik dan membangunkan ekonomi negara. Masyarakat Malaysia dapat berkongsi ilmu antara satu sama lain dalam membangunkan negara. Hal ini sudah pasti menarik minat para pelabur asing melabur dalam pelbagai sektor di negara kita. para pelabur tidak perlu risau akan mengalami kerugian dalam pelaburan kerana perpaduan yang wujud menjamin keamanan. Rentetan itu, perpaduan kaum yang mampu meningkatkan taraf ekonomi negara akan menjadikan Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain.

Menarik minat pelancong asing

Di samping itu, keharmonian yang wujud dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum juga menarik minat pelancong asing untuk melancong di negara kita. Pelancong asing berminat untuk mengenali dengan lebih dekat lagi budaya masyarakat Malaysia yang berbeza kaum dan agama tetapi dapat hidup dengan harmoni di bawah satu bumbung. Para pelancong tidak risau akan keselamatan diri mereka sepanjang berada di negara kita. Mereka juga dapat menikmati pelbagai budaya yang ada di negara kita. Kedatangan pelancong asing ini memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negara kita seperti dalam sektor perhotelan, pengangkutan dan bidang kraftangan.

Penutup Karangan Kepentingan Bersatu Padu

Kesimpulannya, amalan bersatu padu di negara kita memberikan pelbagai kebaikan atau manfaat kepada negara dan juga masyarakat. Hasilnya negara kita menjadi maju dan mempunyai perkembangan yang baik dalam pelbagai bidang dan sektor. Pihak kerajaan harusnya mepertingkatkan pelbagai langkah yang proaktif untuk mengekalkan dan meningkatkan amalan ini di negara kita. Di samping itu, bersatu padu dalam kalangan pelbagai kaum boleh direalisasikan dengan kerjasama semua pihak, “seperti isi dengan kuku”. Oleh yang demikian, semua warga perlu memelihara dan mengekalkan semangat hidup bersatu-padu ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *