Skip to content

Contoh Karangan SPM: Kepentingan Bimbingan dan Kaunseling

Peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah

Masalah disiplin merupakan isu yang membimbangkan masyarakat kita. Unit Bimbingan dan Kaunseling merupakan satu cara untuk menangani masalah disiplin pelajar. Huraikan pendapat anda tentang kepentingan Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah.

Kepentingan Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah

Masalah disiplin yang kian menjadi-jadi dewasa ini antaranya masalah poteng sekolah, merokok, dadah, masalah vandalisme, hedonisme buli, serta tidak ketinggalan masalah jenayah. Permasalahan yang ditimbulkan pelajar menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar. Oleh sebab itu, pada tahun 1996, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menempatkan kaunselor untuk mengelolakan Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah untuk menangani masalah disiplin pelajar yang sebelum ini dikendalikan oleh guru bimbingan kaunseling. Persoalannya, apakah tanggungjawab Unit Bimbingan dan Kauseling di sekolah?

Menyediakan khidmat nasihat kepada pelajar

Antara kepentingan Bimbingan dan Kauseling yang dipertanggungjawab kepada kaunselor sekolah adalah untuk menyediakan khidmat nasihat kepada pelajar. Sebagaimana kita sedia maklum, kini pelbagai masalah pelajar berlaku di sekolah seperti ponteng, merokok, dadah, hendonisme, vandalisme, dan ada juga terlibat dengan masalah jenayah. Antara langkah yang dijalankan untuk membanteras masalah berkenaan adalah dengan memberi bimbingan dan nasihat kepada pelajar agar pelajar dapat mengubah tingkah laku mereka keranamencegah lebih baik daripada merawat. Sekiranya perlu, kaunselor akan menghubungi ibu bapa untuk berbincang dan mendapat bantuan serta pandangan mereka kerana ibu bapa merupakan orang paling hampir dan disegani pelajar. Sekiranya, permasalahan pelajar ditangani dengan baik sudah pasti masalah disiplin dalam kalangan pelajar akan dapat dibanteras. Tegasnya, peranan kaunselor sebagai orang yang dipertanggungjawabkan mengurus Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah adalah untuk menyediakan khidmat nasihat kepada pelajar.

Sumber maklumat berkaitan kerjaya pelajar

Selain itu, khidmat kaunselor juga amat penting sebagai sumber maklumat berkaitan kerjaya pelajar kerana hanya jauhari yang mengenal manikam. Hal ini amat penting kerana pelajar tidak mempunyai cukup maklumat berkaitan kerjaya pilihan mereka serta pakej jurusan mata pelajaran yang dipilih semasa berada di tingkatan empat. Sebagai contoh, pelajar yang mengambil jurusan sains perlu tahu fokus dan jurusan yang ditawarkan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) agar mereka faham jurusan yang perlu mereka pilih selepas keputusan SPM diketahui. Bahkan juga, dengan kefahaman mereka berkaitan pakej dan jurusan yang boleh dipilih sebelum memohon kemasukan ke institusi pengajian tinggi secara langsung akan memberi motivasi untuk mereka menguasai mata pelajaran yang mereka pelajari dan dengan itu mereka akan bersedia untuk menghadapi pengajian mereka semasa di IPT kelak. Malah pengetahuan awal berkaitan pakej jurusan di IPT juga mampu mengelakkan mereka tersilap pilih jurusan semasa memohon kemasukan ke institusi pengajian tinggi. Tegasnya, khidmat kaunselor amat penting sebagai sumber maklumat awal berkaitan kerjaya pelajar untuk mengelak kecundang dalam kehidupan bak kata pepatah yangdikendong tak dapat, yang dikejar berciciran.

Meningkatkan motivasi pelajar

Bahkan juga, kauselor sebagai tunggak utama serta pengelola Unit Bimbingan dan Kaunseling penting untuk meningkatkan motivasi pelajar. Oleh sebab itu seorang kaunselor bertanggungjawab untuk membantu pelajar mengetahui dan memahami kemahiran belajar yang meliputi kemahiran membaca, kemahiran mengambil nota, mengurus pengurusan masa, pengurusan diri, kemahiran mendengar, kemahiran mengingat, mengulangkaji, menjawab soalan peperiksaan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan. Sebagai contoh, kaunselor akan mengatur program kecemerlangan akademik sekolah dengan kerjasama unit akademik sekolah sama ada melibatkan pelajar yang akan menghadapi Penilaian Tingkatan 3 atau pelajar yang akan menghadapi Peperiksaan SPM. Di samping itu, seorang kaunselor berperanan mengumpul data perkembangan akademik pelajar sama data ada ujian, dan peperiksaan pelajar serta bertindak membimbing pelajar sebagai klien sekiranya prestasi mereka merundum. Hal ini kerana tugas kaunselor merupakan tugas sepenuh masa terhadap kemenjadian pelajar dan membantu kecemerlangan seseorang pelajar. Sekiranya, pelajar selalu diberi motivasi sudah pasti prestasi akademik mereka akan cemerlang. Tegasnya, tugas seorang kaunselor adalah untuk meningkatkan motivasi pelajar dalam bidang akademik.

Membentuk nilai dan kemenjadian pelajar

Kaunselor sekolah juga berperanan memberi khidmat nasihat untuk membentuk nilai dan kemenjadian seseorang pelajar agar mereka menjadi insan yang berguna untuk keluarga, masyarakat dan negara. Hal ini kerana, kauselor merupakan individu yang pakar mengesan kebolehan, sikap dan keperibadian seseorang pelajar. Untuk tujuan pengesanan personaliti pelajar, kauselor akan menggunakan ujian psikometrik bertujuan untuk mengesan potensi pelajar, serta menyalurkan maklumat berkaitan personaliti pelajar kepada guru mata pelajaran. Maklumat berkenaan akanmemudahkan guru untuk mengenalpasti strategi, kaedah dan teknik pengajaran supaya guru dapat mewujudkan suasana pembejalaran yang kondusif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa “melentur buluh biarlah daripada rebungnya” begitu jugalah peranan kauselor untuk membentuk jati diri seseorang pelajar daripada keberadaan mereka di tingkatan satu lagi agar mereka menjadi insan cemerlang di dunia dan di akhirat. Jelasnya, jika pembentukan personaliti pelajar diambil berat, pelajar akan gemilang daripada pencapaian akademik dan semerlang daripada segi sahsiahnya. Tegasnya,Kaunselor sekolah penting untuk memberi khidmat nasihat untuk membentuk nilai dan kemenjadian seseorang pelajar agar mereka menjadi insan yang berguna untuk keluarga, masyarakat dan negara.

Penutup Karangan Kepentingan Bimbingan dan Kaunseling

Kesimpulannya, seorang kaunselor penting untuk mengendalikan Unit Bimbingan dan Kauseling ke arah kemenjadian pelajar cemerlang, gemilang dan terbilang. Untuk merealisasikan kecemerlangan pelajar, mereka perlu membimbing pelajar mengurus diri dan masa, mengurus cara belajar, mengurai sebarang masalah diri pelajar dan berkolaborasi dengan guru ibarat aur dengan tebing untuk melahirkan pembelajaran yang kondusif. Sekiranya, kauselor sekolah bejaya melaksanakan program kemenjadian pelajar, sudah sekolah tidak akan ketandusan pemimpin malah pencapaian akademik sekolah akan meningkat saban tahun. Unit Bimbingan dan kaunseling yang proaktif penentu kecemerlangan pelajar dan sekolah.

Contoh Karangan: Peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *