Skip to content

Contoh Karangan Kepentingan Kemudahan Awam

Karangan Kepentingan Kemudahan Awam

Pembangunan kemudahan awam merupakan pembangunan yang penting di negara kita terutamanya di bandar utama. Huraikan kepentingan kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan.

Kepentingan Kemudahan Awam yang disediakan oleh kerajaan

Muktahir ini, kepesatan pembangunan kemudahan awam begitu ketara berlaku di Malaysia terutamanya di bandar utama dan pinggiran bandar. Kemudahan awam secara mudahnya ditarifkan sebagai keperluan asas yang disediakan oleh kerajaan untuk kegunaan rakyat sama ada secara percuma atau berbayar dengan kadar yang minimum. Namun, banyak kemudahan awam menjadi mangsa vandalisme disebabkan tiadanya pemantauan ke atas kemudahan awam tersebut dan akhirnya, kemudahan awam tersebut menjadi salah satu projek gajah putih yang tidak memberi manfaat kepada pengguna. Persoalan yang masih berelegar-legar dalam ruang pemikiran ini ialah, apakah faedah kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan?

Rakyat dapat menikmati kemudahan

Kemaslahatan yang diperoleh daripada kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan adalah semata-mata untuk rakyatnya terutama golongan marhaen agar mereka juga dapat menikmati kemudahan yang sama dirasai oleh semua rakyat di negara lain. Sebagai contoh, kerajaan telah membina laluan tren dari kawasan pinggir bandar ke kawasan bandar bagi memudahkan penduduk di luar atau pinggir bandar pergi ke bandar untuk bekerja. Keadaan ini akan meringankan beban rakyat marhaen yang bekerja menggunakan pengangkutan awam untuk berurusan atau berulang alik dari rumah ke tempat kerja. Tegasnya, kita dapat melihat betapa pentingnya pekemudahan awam kepada rakyat marhaen atau golongan bawahan.

Digunakan pada waktu kecemasan

Selain faedah yang telah dibicarakan, kerajaan turut menyediakan kemudahan awam ini untuk digunakan pada waktu kecemasan seperti ungkapan peribahasa yang menyebut sediakan payung sebelum hujan. Penyediaan tandas awam amat penting di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai seperti di taman rekreasi, taman permainan , hentian bas dan kawasan beli-belah. Penyediaan tandas awam yang mengenakan kadar bayaran yang rendah adalah bertujuan menjamin keselesaan pengguna yang menggunakan tandas awam. Maka, penyediaan kemudahan awam sangat penting ketika waktu yang tidak terduga atau kecemasan.

Kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan juga sebenarnya adalah untuk menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat. Kerajaan yang prihatin ialah kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat. Perkara ini telah diterjemahkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 Datuk Seri Najib bin Tun abdul Razak dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia yang berpaksikan prinsip Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Hasil daripada semangat 1Malaysia, kerajaan telah mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, dan RTC 1Malaysia yang telah memberi banyak faedah kepada orang ramai. Tampak bahawa, keprihatinan kerajaan memberi kemakmuran kepada rakyat.

Meningkatkan taraf ekonomi dan sosial

Dalam isu ini juga, kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan sebenarnya untuk meningkatkan taraf ekonomi dan sosial di sesebuah kawasan. Sebagai contoh, pekan Rawang hanyalah sebuah pekan lama yang terletak di pinggir negeri Selangor. Namun sejak dua puluh tahun yang lalu, pekan Rawang menerima pelbagai kemudahan awam. Kemudahan komuter telah memudahkan perjalanan ke kota raya untuk bekerja. Malah pekan Rawang juga menjadi laluan kereta api laju ke utara bagi mereka yang ingin pulang ke desa. Hal ini menyebabkan pekan Rawang menjadi tumpuan orang ramai untuk menetap dan mencari rezeki bak kata ada semut ada gula, begitulah bandar Rawang yang menerima kepesatan pembangunan hasil daripada penyediaan kemudahan awam.

Penutup Karangan Kepentingan Kemudahan Awam

Pada penghujung bicara ini, kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan ini haruslah dihargai dengan menjaga kemudahan tersebut dengan baik serta tidak merosakkan kemudahan tersebut. Pastinya nama negara akan tercalar ibarat menconteng arang ke muka sendiri jika vandalisme berlaku. Oleh itu, semua pihak perlu mengambil inisiatif untuk membendung masalah vandalisme agar kemudahan awam ini akan dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang.


Contoh Karangan: Langkah memastikan ekonomi negara berkembang

2 thoughts on “Contoh Karangan Kepentingan Kemudahan Awam”

  1. Baru saya tahu macam mana nak buat karangan kalau x menangis dah tadi hahahahhah 😅 doakan saya dan keluarga

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *