Skip to content

Contoh Karangan SPM: Kepentingan Sektor Pertanian

Karangan Kepentingan Sektor Pertanian

Pembangunan sektor pertanian dapat menstabilkan negara kita kerana bidang pertanian memainkan peranan yang penting dari segi sosial, ekonomi dan ekologi.Tulis karangan tentang kepentingan sektor pertanian kepada negara.

Kepentingan Sektor Pertanian kepada Negara

Malaysia mengerjakan pelbagai tanaman komersial seperti padi sawah, kelapa sawit, lada hitam dan nanas. Hasil pertanian ini pernah menjadi penyumbang terbesar pendapatan negara dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia. Sektor pertanian merupakan sektor ekonomi primer yang penting dari segi sosial, ekonomi dan ekologi. Kepentingan sektor pertanian tidak harus dikesampingkan malah perlu dibangunkan agar seiring dengan sektor perindustrian supaya negara kita boleh menuju ke Transformasi Nasional 2050 yang merupakan impian dan visi semua rakyat Malaysia.

Sumber pendapatan utama kepada penduduk desa

Kepentingan sektor pertanian yang mampu keadilan sosial dapat dilihat melalui sumbangannya dalam meluaskan peluang pekerjaan dan sebagai sumber pendapatan utama kepada penduduk desa. Majoriti masyarakat desa masih miskin dan ketinggalan malah kehidupan mereka diumpamakan “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Bantuan kerajaan dari segi pemodalan, kewangan, khidmat nasihat, teknologi, penyelidikan dan pembangunan diperlukan supaya pembangunan sektor pertanian dijalankan dengan lancar.

Hasil pertanian dapat dilipatgandakan melalui pembangunan sektor ini dan secara langsung menambahkan lagi peluang pekerjaan masyrakat desa dan meningkatkan pendapatan mereka. Sebagai contoh, salah satu usaha kerajaan yang efektif ialah skim FELDA yang mengagihkan tanah pertanian yang luas mengikut nisbah yang sama rata. Justeru, sektor pertanian penting untuk merapatkan jurang kemiskinan negara kita dan pengagihan kekayaan yang seimbang dapat dicapai.

Bekalan bahan mentah dalam pemprosesan makanan

Salah satu kepentingan sektor pertanian kepada negara ialah hasil pertanian merupakan bekalan bahan mentah yang penting kepada sektor ekonomi sekunder dalam pemprosesan makanan. Hasil pertanian merupakan input yang digunakan dalam proses pengeluaran bahan makanan yang boleh dijadikan sebagai produk eksport. Eksport makanan menggunakan hasil pertanian adalah seperti mentega, serbuk koko, serbuk lada hitam, berus dan sebagainya. Kos pengeluaran dapat diminimumkan untuk pengeluaran optimum kerana harga bahan mentah yang dibekalkam oleh sektor pertanian adalah murah berbanding dengan pasaran antarabangsa.

Hasil pertanian dapat disumbangkan oleh sektor utama adalah untuk kegunaan domestik rakyat sesebuah negara. Sebagai contoh, beras merupakan makanan asas penduduk Asia. Kita dapat menikmati harga makanan yang rendah, hasil sumbangan sektor ekonomi utama negara kita. Contoh yang lain kegunaan domestik hasil pertanian ialah minyak masak kelapa sawit berkualiti tinggi diperoleh dengan murah kerana didapati dalam pasaran tempatan.

Bahan pertanian menjadi eksport utama negara

Industri pertanian mempunyai potensi yang besar untuk menjadi antara punca utama ekonomi negara. Indeks imbangan perdagangan dapat diseimbangkan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara kita melalui pembangunan sektor pertanian. Hal ini disebabkan hasil sektor pertanian dijadikan sebagai bahan eksport utama negara yang mendatangkan hasil yang lumayan seperti getah dan minyak kelapa sawit. Kepentingan sektor pertanian dari segi ini dapat menggantikan import negara sekiranya. Negara kita dengan bangganya pengeluar kedua terbesar di dunia bagi kedua-dua bahan tersebut kerana kecekapan kerajaan Malaysia dalam memajukan sektor ini.

Dasar penggantian import diperkenalkan pada awal rancangan pembangunan Malaysia untuk mengurangkan import dari negara asing bagi bahan mentah sektor pertanian melalui pembangunan sektor ini. Sebagai contoh, buah-buahan merupakan bahan import utama negara kita. Untuk menggantikan import bahan-bahan ini, kerajaan telah mengambil langkah mempelbagaikan lagi tanaman buah-buahan melalui pembangunan yang dilakukan dalam sektor utama. Justeru, kedudukan kewangan negara dan struktur ekonomi yang kukuh dapat diwujudkan melalui kepelbagaian sektor ekonomi negara yang seimbang.

Karangan kepentingan sektor pertanian

Pertanian sebagai ekologi alam sekitar

Kepentingan ekologi terutama dengan menjaga kepentingan alam sekitar melalui pembangunan sektor pertanian yang mesra alam dapat dilaksanakan. Tekanan ekonomi dan pasaran untuk bersaing dengan negara lain melalui peningkatan hasil negara atau tujuan pembangunan dan kemajuan dapat dicapai tanpa mengabaikan amanat Tuhan kepada manusia untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Pembangunan sektor pertanian dapat menjamin hasil yang lumayan dan punca pendapatan yang stabil tanpa mengakibatkan pencemaran alam yang teruk seperti pengaruh luar yang negatif daripada pembangunan perindustrian yang pesat.

Sektor perindustrian yang dibangunkan menjejaskan keseimbangan ekologi melalui pencemaran perkilangan seperti pembebasan asap beracun, pembuangan sisa-sisa toksik ke sungai, kumbahan sisa kilang yang tidak bersistematik dan banyak lagi. Pembangunan sektor pertanian dapat menjaga kepentingan keseimbangan ekologi. Bidang pertanian melibatkan aktiviti-aktiviti seperti penanaman, penyuburan tanah, pembaikan struktur tanah dan sebagainya dapat menjamin hasil ekonomi yang lumayan di samping mengekalkan keseimbangan alam sekitar.

Bidang Pertanian merupakan Sektor ekonomi utama

Untuk kepentingan hubungan yang harmonis dengan negara jiran terutamanya negara yang dilanda keelesetan ekonomi dapat dijaga jika sektor ekonomi utama dimajukan denga pesat. Hal ini disebabkan peluang pekerjaan yang begitu luas diwujudkan setelah berupaya menampung keperluan masyarakat desa dan masih mengalami kekurangan sumber tenaga manusia, buruh asing dari negara jiran yang susah boleh mencari nafkah di negara kita yang kaya ini. Selain dapat menjalin hubungan yang erat dengan negara jiran yang memerlukan bantuan, peperangan dapat dielakkan dan rantau yang aman dapat diwujudkan.

Keadaan ini bukan sahaja dapat menjaga kepentingan diri malah kepentingan negara-negara yang berdekatan kerana rantau yang aman damai dapat menimbulkan keyakinan dan kepercayaan pelabur dan pelancong asing. Secara langsungnya, dapat meningkatkan lagi pendapatan negara malah mampu meningkatkan status negara kita. Sikap saling membantu ini dan tidak mementingkan diri bak pepatah ‘adat kampung, memagar kampung, adat negeri, memagar negeri’ merupakan visi kerajaan Malaysia yang bijak dan mulia.

Penutup Karangan Kepentingan Sektor Pertanian

Kesimpulannya, kepesatan industri pertanian di sesebuah Negara akan membawa keuntungan yang besar kepada negara itu sendiri. Pembangunan sektor pertanian harus sentiasa difokuskan untuk mewujudkan sebuah negara yang stabil dari segi kewangan, ekonomi dan politik. Tidak dapat dinafikan bahawa berkecimpung dalam sektor pertanian ini memerlukan penjagaan yang rapi seperti yang dikatakan dalam peribahasa, berakit-rakit ke hulu, bersenang-senang kemudian. Pembangunan yang seimbang antara sektor pertanian dan sektor perindustrian merupakan langkah yang besar oleh negara kita dalam menuju ke negara yang maju.


Contoh Karangan: Cara-cara Menjaga alam sekitar

1 thought on “Contoh Karangan SPM: Kepentingan Sektor Pertanian”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *